Thursday, March 11, 2010

Tiada hantaran pernikahan


Bakal pengantin baru, Umie Aida (berdiri, tujuh dari kiri) bersama rakan-rakan artis yang hadir pada majlis berinai yang berlangsung di kediamannya di Kuala Lumpur Isnin lalu.


MEMILIH untuk bernikah di Masjidil Haram di kota suci Mekah sebetulnya sudah lama menjadi keinginan aktres Umie Aida.

Biar apa sekalipun tafsiran orang ramai terhadap hasratnya itu, Umie atau nama sebenarnya, Umie Khalsum Rahmad Ali berpendapat, dia mahu ikatan suci itu dinoktahkan di rumah Allah.

Bersyukur benar Umie kerana keinginan itu disokong oleh bakal suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang turut menyimpan hasrat yang serupa.

Lebih bermakna lagi, hasrat dan cita-cita murni itu disambut baik oleh seluruh ahli keluarganya khususnya ibu Umie, Asmah Ali.

"Tiada apa yang lebih bermakna buat saya selain daripada berpeluang disatukan dengan lelaki yang yang saya sayangi itu di rumah Allah," kata pelakon utama filem Embun berkongsi perasaannya dengan media pada majlis berinai yang berlangsung Isnin lalu.

Keputusan Umie memilih Mekah juga bukanlah semata-mata untuk mencipta sejarah.

Jauh sekali untuk membangga diri atau menunjukkan kemampuannya bernikah di kota yang menjadi idaman ramai.

Berkongsi hasrat itu, Umie berkata, ia saling tidak ubah sekadar impiannya.

"Setiap wanita mempunyai impian perkahwinan sendiri. Begitu juga saya. Sewaktu saya menunaikan umrah beberapa tahun lalu, saya memasang impian bahawa Mekah adalah kota jodoh dan ajal saya.

"Kerana itu akhirnya, apabila saya ingin menikah, saya memilih Mekah sebagai lokasi pernikahan. Tidak ada sebab lain seperti mencipta sejarah atau sebagainya," tegas Umie mengenai keputusannya itu.

Berbeza dengan laporan pernikahan artis-artis popular sebelum ini, Umie yang terpancar seri pada wajahnya memaklumkan tiada sebarang wang hantaran yang ditetapkan pada majlis pernikahannya itu.

"Tiada sebarang hantaran pada majlis pernikahan itu nanti kecuali pertukaran cincin nikah antara saya dan pihak lelaki serta mas kahwin dalam dirham," kata Umie menjelaskan tanda tanya banyak pihak.

Selesai bernikah, Umie dan Khairuddin juga akan meraikan majlis tersebut dengan sebuah resepsi sederhana untuk ahli rombongan yang mengikuti perjalanan mereka di Hotel Zam Zam Tower pada sebelah malamnya.

"Semuanya dilakukan secara sederhana. Tiada pertukaran hantaran. Sebaliknya, hanya bertukar cincin dan kami membuat majlis makan malam kecil untuk semua rombongan yang terlibat," kata Umie yang bakal menyarung telekung rekaan Jovian Mandagie pada majlis pernikahan tersebut.

Dan ketika ini, Umie masih belum merasakan debaran sebagai pengantin baru.

"Setakat ini memang tidak berdebar. Tapi agaknya pada 13 Mac nanti baru saya akan berdebar," katanya seraya melemparkan senyuman penuh bermakna.

Ketika anda membaca artikel ini, Umie dan rombongannya seramai 20 orang sudahpun berlepas ke Mekah menuju destinasi pernikahannya.

Berdasarkan rancangan yang diatur oleh Umie dan tunangnya yang juga seorang usahawan itu, mereka akan dinikahkan pada pukul 8 pagi (waktu Mekah) 14 Mac ini dengan berwalikan abang pelakon itu, Ahmad Reduan.

Umie yang berusia 37 tahun bertemu jodoh dengan Khairuddin, 47, yang juga seorang duda beranak dua.

Pasangan itu memilih untuk disatukan selepas enam bulan bertunang iaitu pada 29 September tahun lalu.

Selain berpeluang berkahwin di Mekah, apa yang turut menggandakan kegembiraan Umie ialah tarikh pernikahannya itu bersamaan dengan tarikh kelahiran kakaknya, pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima.

"Saya dapat rasakan kemanisannya pada masa depan. Ulang tahun perkahwinan dikongsi dengan ulang tahun kelahiran kakak saya, ia pasti akan menawarkan kami pengalaman yang indah," kata Umie sambil tersenyum memandang Erma.

Erma tumpang gembira

Tiada apa yang mampu dilafazkan kakak tercinta, Erma Fatima selain menumpang tuah dan kegembiraan bersama adik tercinta.

Bagi sutradara popular itu, doanya buat Umie ialah moga perkahwinannya kekal hingga ke akhir hayat.

"Jika saya punya pilihan, dulu pun saya mahu bernikah di Mekah. Siapa yang tidak mahu bernikah di kota suci tersebut? Tapi usah lokasinya dipersoalkan kerana di mana pun kita bernikah, jika niat suci, pasti ia berjalan lancar. Yang penting kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk rumah tangga yang dibina," kata Erma yang turut ke Mekah menemani adiknya itu.

Berhubung pemilihan tarikh 14 Mac sebagai tarikh pernikahan yang sama dengan ulang tahun kelahirannya, Erma berkata, dia bersyukur kerana Umie memilih tarikh itu sebagai lambang dedikasi buatnya.

Harapan Erma persamaan tarikh itu akan lebih mengakrabkan hubungan kasih sayang dia dan adiknya.

Majlis persandingan

28 Mac

Sekembali dari Mekah, Umie dan Khairuddin akan memberi tumpuan pada majlis persandingan mereka berdua.

Pasangan itu merancang untuk mengadakan majlis berkenaan pada 28 Mac ini di Hotel One World, Bandar Utama, Damansara berkonsepkan taman Inggeris dan tradisional kontemporari oleh perancang perkahwinan, Jovian Mandagie.

Menurut Umie, beliau dan bakal suaminya menjangkakan seramai 1,200 tetamu jemputan termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan hadir pada majlis berkenaan.

"Majlis persandingan itu akan diadakan untuk meraikan kaum keluarga serta rakan-rakan rapat," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: