Thursday, March 11, 2010

Misi Ziana dalam Mentor 4


ZIANA (berdiri, empat dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta uji bakat Mentor 4.


PIJA, Fiq dan Black merupakan mereka yang pernah bergelar juara dalam siri program realiti, Mentor sebelum ini. Diam tak diam, Mentor sudahpun memasuki musim keempat (Mentor-4) dengan barisan mentornya yang baru.

Bagi Mentor 4, mereka yang bertindak sebagai mentor adalah Mas Idayu, Azmeer, Joe Flizzow, Dayang Nurfaizah dan Mus May.

Dalam pencarian protege, Mentor 4 turut memberi laluan kepada penyanyi Ziana Zain dalam menggerakkan perjalanan program tersebut untuk duduk di kerusi mentor.

Sama seperti mentor yang lain, misi Ziana hanyalah satu iaitu mencari bakat-bakat baru yang mampu digilap dalam bidang nyanyian.

Namun begitu, di sebalik misi umum berkenaan, Ziana mempunyai kriteria sendiri yang membuatkannya bersedia untuk memilih peserta yang hadir di sesi uji bakat Mentor 4, Sabtu lalu.

Kata penyanyi yang dikurniakan bayi kembar 23 Julai lalu, kriteria yang ditetapkannya cukup jelas iaitu memiliki identiti dan gaya tersendiri serta suara yang bagus.

''Saya tidak mahu mereka ini jadi seperti atau meniru gaya Ziana Zain. Itu tidak perlu. Mereka harus ada identiti sendiri ketika menyanyi. Tetapi, vokal juga haruslah bagus.

''Kalau uji bakat bersama Ziana Zain, saya tidak diskriminasi jantina. Mana yang bagus, itulah yang saya pilih,'' kata Ziana ketika ditemui di sesi uji bakat Mentor 4 yang dilangsungkan di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Ini merupakan kali pertama Ziana dipilih sebagai mentor dan lebih 300 orang telah mendaftar untuk menjalani sesi uji bakat bagi mencari peluang menjadi protege penyanyi tersebut.

Mentor 4 akan memulakan siarannya pada 11 April ini iaitu setiap Ahad, pukul 9 malam. Konsert mingguan pula akan bermula 18 April.

Selepas Ziana dan Mas Idayu, masing-masing uji bakat dijalankan 6 dan 7 Mac, Mentor 4 akan meneruskan pencarian protege pada 13, 14, 20 serta 21 Mac ini.

Uji bakat pada 13 Mac ini akan membabitkan mentor Mus May manakala 14 Mac (Azmeer) diikuti 20 Mac (Joe Flizzow) dan 21 Mac (Dayang Nurfaizah).

Menyambung bicara mengenai Mentor 4, ulas Ziana, selain kriteria yang disebutkan, dia turut mencari protege yang boleh menerima teguran dan kritikan.

Bagaimanapun katanya, apa yang paling penting untuk menjadi protege di bawahnya ialah menepati masa.

Ditanya mengenai sikapnya selaku mentor, Ziana bertegas bahawa dia tidak akan menjadi seperti orang lain.

''Saya tetap saya. Saya tidak mahu mereka atau mencipta sikap lain sepanjang berada dalam Mentor 4.

''Saya lebih bersikap spontan. Tetapi, jangan main-main. Kalau ada silap dan salah, pastilah saya akan marah,'' katanya.

Pengalaman pertama kali

Diaju persoalan berhubung perasaannya tatkala pertama kali terlibat dalam Mentor 4, Ziana menjelaskan, ia merupakan pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Tetapi, dalam keseronokan yang dilalui, Ziana mengakui, hatinya sedikit tersentuh apabila ada kalangan yang hadir di sesi uji bakat terdiri daripada mereka yang mahu mengubah hidup.

''Ada peserta yang datang dari jauh dan berlatarkan keluarga yang kurang berkemampuan. Ia cukup menyentuh hati saya.

''Namun, saya perlu pisahkan antara kasihan dan matlamat Mentor 4 iaitu mencari mereka yang berbakat.

''Yang tiada bakat dan mahu mengubah hidup, saya memang tidak boleh bantu. Kadang-kadang rasa serba salah. Tapi, apa boleh buat," ujar Ziana penuh sayu.

Jelasnya, mengenai komen dan kritikan terhadap peserta yang gagal meneruskan peringkat seterusnya, dia mengakui ada peserta yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

''Ada juga yang marah dengan komen yang saya berikan. Inilah antara pengalaman saya,'' katanya.

Perkembangan karier

Sementara itu, Ziana sempat berkongsi perkembangan kariernya yang bukan sahaja sibuk dengan Mentor 4 tetapi beberapa aktiviti hiburan lain.

Selain terlibat dengan lakonan teater Gamat 2, Ziana bakal menjadi hos untuk program Hip TV di TV9.

''Sekitar April ini saya akan jadi hos Hip TV untuk 13 episod. Bukannya apa, saya mahu 'tukar angin' daripada menyanyi sahaja.

''Sampai satu tahap, saya merasakan perlu untuk mencuba sesuatu yang baru.

''Saya juga akan bergandingan dengan Iqram Dinzly sebagai hos bersama untuk Parti Hip TV yang bakal diadakan 25 Mac ini,'' kata Ziana.

Mengenai single Pawana yang menjadi tanda tanya bila ia akan berada di pasaran, Ziana berkata, pihaknya sedang menunggu surat 'pelepasan' daripada syarikat muzik EMI.

''Saya sedang tunggu surat itu. Untuk Pawana, saya tidak boleh lakukan apa-apa kerana EMI bertindak sebagai pengedar.

''Selepas menerima surat nanti, mungkin saya sendiri akan pasarkan Pawana,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: