SEJAK akhir-akhir ini pelbagai cerita yang Diva dengar tentang penyanyi lincah ini. Diva memang suka tengok persembahan Stacy kerana persembahannya yang sentiasa ada pembaharuan.
Tetapi dalam masa yang sama, Diva dengar cerita yang tidak enak tentang juara Akademi Fantasia 6 ini. Khabarnya sekarang dia sudah semakin lambat sampai ke sesi penggambaran atau majlis yang melibatkan dirinya.
Pernah teman Diva terpaksa menunggu berjam-jam untuk melihat kelibatnya. Baru-baru ini juga teman Diva sempat memerhati perangai Stacy selepas sebuah konsert besar di Pulau Pinang.
Selesai membuat persembahan, peminat-peminatnya menunggulah di belakang pentas sambil menjerit namanya dengan harapan dapat bertemu dan bergambar dengan penyanyi tersebut.
Namun Stacy buat-buat tidak dengar. Lebih menyedihkan lagi, peminat Stacy hanya dapat melihat penyanyi kesayangan mereka masuk ke dalam khemah tanpa menghiraukan mereka. Kecil betul hati mereka.
Telinga Diva turut dimasuki khabar, yakni ada yang pulang dengan hati yang remuk gara-gara perangai Stacy.
Diva rasa bukan selalu peminat di utara dapat menyaksikan persembahan Stacy lebih-lebih lagi bergambar dengannya.
Paling kurang pun, layangkanlah lambaian atau senyuman buat mereka yang setia berpusu-pusu ke belakang pentas.
Diva cuma menegur apa yang patut agar Stacy boleh membuat perubahan yang baik untuk dirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: