Sunday, March 21, 2010

Cabut bulu satu seni


TEKNIK mencabut bulu kening menggunakan benang hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk disiapkan.


SEDEKAD lalu, wanita kelahiran Petaling Jaya ini sangat meminati bidang korporat. Malah demi memenuhi impian tersebut, Mai Mazme Azlyn Meor Chek Hussien sanggup berjauhan daripada keluarga untuk menghabiskan pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa di Universiti Huron, London, Britain.

Namun, selepas tiga tahun berkecimpung dalam arena perhubungan awam, beliau akhirnya melepaskan jawatan untuk membantu perniagaan keluarga.

“Menjadi pegawai perhubungan awam adalah kerja yang menyeronokkan malah ia merupakan pengalaman manis untuk graduan muda seperti saya. Namun saya memilih untuk membantu perniagaan bapa,” ujarnya.

Berpenampilan ringkas dan ranggi, anak bekas Ketua Polis Selangor berusia 32 tahun itu mempunyai minat yang besar dalam bidang kecantikan.

Nenek moyang

Mesra dengan panggilan Lynn, beliau mengaku obses terhadap kening yang dicantas rapi dan bulu mata melentik serta tubuh tanpa bulu-bulu kasar. Badan licin mulus sudah menjadi sebahagian daripada karakter peribadinya.

“Saya sangat meminati seni mencabut bulu mengunakan benang yang juga dipanggil sebagai threading. Ia adalah satu tradisi kecantikan yang sangat mempesonakan, malah ia turut diamalkan oleh nenek moyang saya sejak dahulu lagi,” jelas Lynn.

Bermula secara sambilan di rumah, ibu kepada Miqael Aimar Thaqif, 8, dan Zara Anna-Camelia, 6, itu mendapat dorongan kuat daripada ibunya, Datin Mazwin Lian Abdullah untuk membuka salon A-Lister yang menyediakan kepakaran dalam mencabut bulu

Lynn mula mengatur langkah pada 2004 dan tidak siapa menyangka, minat kemudian membawanya mendalami ilmu mencabut bulu dengan mengikuti kursus di beberapa akademi kecantikan di Britain seperti Persekutuan Estetik Antarabangsa (IFA), World Master dan Phoenix Academy Essex.

Perekat

Di dalam negara, beliau turut ke Top To Toe College Kuala Lumpur untuk menjadi seorang pakar terapi kecantikan yang diiktiraf.

“Untuk mempersiapkan diri sebelum memberi perkhidmatan kecantikan, saya juga perlu arif tentang biologi dan kulit manusia,” katanya.

Kini, selepas sekian lama impian untuk memiliki salon yang memiliki kepakaran mencabut bulu dan perapian kening, Lynn sudah boleh tersenyum melihat perkembangan A-Lister.

Sejak mula dibuka pada tahun 2008 di Centerpoint, Bandar Utama, Damansara, wanita yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, Kantonis dan Hokkein itu turut membuka sebuah lagi cawangan di Sunway Giza Mall, Kota Damansara.

Tidak hanya mencabut bulu di kawasan muka, Lynn menerusi salonnya turut menawarkan rawatan di seluruh tubuh pada harga serendah RM5.

Ironinya, masih ramai pelanggan yang mahukan rawatan mencabut bulu walaupun mereka mengetahui kulit bagai dicarik-carik tatkala pita berlumur lilin direntap dari kulit.

“Malah ada yang mahu perkhidmatan mencabut bulu itu dilakukan di bahagian sulit mereka!

“Perkhidmatan tersebut memang disediakan di A-Lister. Namun, tidak semua orang boleh mencabut bulu menggunakan teknik lilin Brazil (Brazillian wax) di tempat sulit kerana ia bahagian yang sangat sensitif.

“Kalau tak kena gaya, kulit pelanggan boleh mendapat radang, rengsa dan rasa tidak selesa.

Lelaki

“Walaupun kebanyakan pelanggan yang inginkan perkhidmatan tersebut adalah wanita, jangan terkejut kerana ada juga pelanggan kami (yang mencabut bulu kemaluan) terdiri daripada kaum adam,” ujarnya yang menerima pelanggan lelaki yang dirujuk sahaja.

Tidak jemu melayan kerenah pelanggan daripada pelbagai bangsa dan latar belakang, Lynn mengakui beliau menemui kepuasan dalam kerjaya mencabut bulu.

“Saya gembira apabila pelanggan berpuas hati terhadap hasil kerja saya dan kakitangan salon yang lain.

“Malah ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang dan Johor Bahru setiap tiga minggu semata-mata mahu mendapatkan rawatan di A-Lister.


MENCABUT bulu dengan cara lama dianggap satu seni kecantikan yang mempesonakan. - Lynn


“Bagi golongan ekspatriat dan pelancong asing, mereka juga gemar datang ke salon (A-Lister) kerana tubuh mereka cenderung berbulu lebat terutama di bahagian belakang.

“Setiap pelanggan dialu-alukan ke salon ini dan perkhidmatan yang diberi tanpa sebarang prejudis,” ujarnya.

A-Lister turut memberi potongan separuh harga kepada pelanggan yang dirawat oleh kakitangan yang masih dalam tempoh latihan, katanya.

Biarpun ada suara-suara yang memperlekeh bentuk perniagaannya, Lynn tidak mudah melatah, jauh sekali mengalah. Bahkan, setiap pandangan didengar dan dijawab penuh diplomasi.

“Membuang bulu yang tidak diperlukan di tubuh bukan hanya soal stailo atau trend, sebaliknya ia adalah keperluan bagi sesetengah golongan.

“Tidak dinafikan, ada juga yang selesa menyimpan bulu-bulu di badan mereka, namun bagi yang tidak suka, kami menawarkan khidmat membuang bulu kepada mereka.

“Dari aspek kebersihan juga, bulu dan helaian rambut di tubuh kita perlu sentiasa bersih dan dirapikan agar ia tidak mengundang rasa kurang selesa orang yang berdampingan dengan kita,” jelasnya.

Mendapat sokongan penuh daripada keluarga, Lynn enggan berpatah balik kepada kerjaya lamanya.

“Selagi saya masih ada kudrat, selagi itu saya akan mencabut bulu,” ujarnya.

2 comments:

  1. berdosa tu hukumnya untuk muslim

    ReplyDelete
  2. nie bkn melayu/islam kot..sengal-sengal..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: