Sunday, March 28, 2010

Rossa belum ada cinta

CURIGA juga rasanya apabila mendengar keluhan Sri Rossa Roslaina Handayani.

pix_topright

Kononnya jiwa penyanyi jelita ini yang bakal menginjak usia 32 tahun pada Oktober depan tidak sesekali terusik sejak kembali solo selepas berpisah dengan bekas suaminya, Yoyo pada Julai lalu.


Bicaranya dengan selingan gelak tawa ketika berkongsi kisah teman hatinya kini benar-benar membekaskan tanda tanya.


"Sejujurnya saya masih keseorangan tanpa lelaki bergelar kekasih selain anak kesayangan iaitu Rizky Langit Ramadhan. Tiada siapa inginkan saya," katanya berseloroh.


Percaya atau tidak, itulah jawapannya. Mustahil wanita secantik ini gagal memancing perhatian lelaki yang memandang, apatah lagi mereka yang ingin mendampinginya.

Bagaimanapun, benarlah usikan sebelum ini yang mengakui sering tewas apabila berdepan persoalan media Malaysia. Usah kata ingin berdalih atau cuba berselindung, malah reaksi wajahnya yang nyata menyembunyikan jawapan sebenar tidak mampu disorok.


Persepsi lain menyingkap, itulah Rossa yang berbeza daripada bintang seberang yang lain. Mungkin di sebalik populariti dan pesona miliknya sebagai selebriti terkenal, namun jika diajak bersembang, jelas tiada sempadan memisahkan penyanyi kelahiran Sumedang, Indonesia ini dengan teman media Malaysia.


Bingkas menyusun kata-kata saat akur dengan sogokan kisah cinta terbarunya. Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Pudar, Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini masih teragak-agak untuk membuka segenap pelusuk sanubarinya kerana setakat ini tiada pengesahan.


"Pasti saya terperangkap dengan persoalan begini dan terus-terang saya sememangnya gagal menepis meskipun ini bukan pertama kali teman media dari Malaysia menjerat.


"Benar, saya mengakui kini hadir seorang lelaki yang mula mendekati jiwa saya. Bagaimanapun, saya tidak inginkan sebarang spekulasi wujud di antara kami kerana segala-galanya masih di garis permulaan.


"Saya akui dia teman paling rapat ketika ini. Penting untuk dikongsikan bahawa teman saya itu bujang dan masih bersendirian. Namun saya tidak lagi memandang jauh hingga ke tahap lebih serius kerana buat masa ini keutamaan saya adalah anak dan kerjaya," katanya sambil bercanda yang temannya tidak lagi botak seperti bekas suaminya dulu.


Mungkin peminat di Malaysia tidak mengetahui berita bahawa penyanyi yang pernah muncul sebagai pelakon sinetron Dua Sisi Mata Uang dan Perisai Kasih ini dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat keletihan yang serius serta impak daripada tabiat dietnya.

Namun yang lebih menarik, Rossa dihantar ke hospital oleh lelaki yang kini mula mengintai ruang hatinya. Tahan dengan asakan media yang menanti jawapan di depannya, Rossa kelu dan terus mengakuinya.


"Saya tidak mampu berlari lagi. Justeru, lelaki itulah yang membantu saya untuk dikejarkan ke hospital. Keluarga dan adik yang selalu menemani saya pulang ke Bandung ketika itu dan saya tidak punya sesiapa yang boleh membantu. Mulanya di sini segala kisah terbongkar.


"Saya sendiri terkejut dengan kesihatan saya. Saya wanita biasa yang selalu takut masalah naik berat badan. Mungkin kerana itu saya sanggup berdiet hingga membahayakan diri. Tambahan pula saya sibuk dengan segala persiapan untuk persembahan dan konsert buat masa sekarang.


"Apapun, setakat ini saya masih berseorangan dan pasti saya tidak akan bersembunyi jika benar saya bercinta semula," katanya.


Sesekali wanita yang pernah diangkat Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-15 dan 16 menerusi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara melalui lagu Terlalu Cinta dan Ayat-Ayat Cinta ini sempat mencubit teman di sebelah yang tidak henti-henti mengorek kisah cintanya. Belum sempat bertanya lanjut, Rossa mencelah menghentikan segala tembakan.


"Ayuh kita bicara soal konsert saya akan datang di Malaysia. Usah lagi kita cerita mengenai lelaki kerana itu semua masih belum pasti," katanya.


Senyum meleret dengan penampilan penuh gaya, Rossa selesa ketika ditemui di majlis sidang media sempena Konsert Melodi Cinta Rossa yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei depan.


Mencipta rekod sendiri, Rossa dijulang sebagai artis Indonesia pertama menganjurkan konsert solo di ibu kota. Menghimpunkan pengalaman lebih 15 tahun sebagai anak seni, Rossa menjanjikan sesuatu yang luar biasa.


Konsert yang dianjurkan oleh syarikat miliknya, Limaduabelas Production dengan kerjasama TV3 dan Hot FM sebagai rakan media rasmi, persembahan eksklusif ini turut mendapat sokongan kuat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sudi menjadi penaungnya.


"Saya bersedia untuk menghiburkan peminat di Malaysia dengan menyampaikan rangkaian lagu hits saya di sini. Saya juga mengundang kumpulan ST12 dan Ungu untuk turut sama memeriahkan lagi persembahan.


"Lebih istimewa kerana saya juga menjemput penyanyi muda berbakat besar dari Malaysia iaitu Aizat. Persembahan dua jam itu nanti akan didukung oleh kanak-kanak Permata Seni Choir Tunas Budaya yang dipimpin oleh Syafinaz Selamat.


"Gementar rasanya kerana memikirkan ia konsert besar. Alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama baik, terutama pihak penaja dan Datin Seri Rosmah yang tidak henti-henti membantu.


"Pastinya konsert itu nanti akan memperlihatkan usaha saya selama ini bagi memperkenalkan muzik saya pada skala yang jauh lebih luas buat semua peminat di sini," katanya.

1 comment:

  1. Bantu kami - Kami ingin berkembang: Blog tuan/puan ini telah kami link di website kami (Bahagian Blogroll), harap tuan/puan dapat membantu kami dengan meletakan link

    kami pula di blog tuan/puan....Terima kasih

    http://mybloghub.my/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: