Sunday, March 28, 2010

Tegas dengan Aleesya

ENGKU Aleesya memberi kehidupan baru kepada bekas Ratu Cantik Malaysia, Erra Fazira. Segala fokusnya beralih kepada anak kecil yang bakal mencecah usia setahun tanggal 30 Mac ini.

pix_middle
pix_topright

Sebagai ibu, dia berazam memberi kehidupan serta didikan terbaik buat zuriatnya. Setiap hari dia tidak pernah lupa memohon doa ke hadrat Ilahi moga pengikat kasihnya dan suami itu menjadi insan bertakwa dan indah budi bahasanya.


"Hidup Erra lebih lengkap dan bahagia dengan adanya Aleesya, bahkan lebih tahu apa Erra mahu. Kerja sampai bila-bila pun tak pernah rasa puas, tetapi kini Erra tahu dan pandai meletakkan koma demi Aleesya kerana dia lebih penting daripada karier Erra.


"Kalau sebelum ini Erra bekerja keras demi persediaan hari tua, kini ada tanggungjawab lebih berat yang perlu diberi keutamaan. Erra juga perlu bijak merancang kewangan. Tidak boleh lagi membeli-belah seperti dulu, sebaliknya Erra kena menyimpan untuk masa depan Aleesya.


"Manalah tahu kalau ada rezeki dia menyambung pengajian di luar atau dalam negara, setidak-tidaknya ada simpanan untuk dia. Erra tak mahu jadi Melayu yang mengharapkan subsidi. Menabunglah walaupun RM1 sehari.

"Setakat ini Erra buat simpanan dan insurans untuk Aleesya. Jadi impian Erra dan suami untuk belikan dia sebuah rumah, kecil pun tidak mengapa, kerana ia hadiah kami untuknya," katanya yang turut memberi penekanan didikan agama terhadap puteri kesayangannya.


Percaya setiap manusia berhak membuat pilihan, Erra memberi kebebasan kepada Aleesya untuk menentukan hala tuju hidup dan selagi tidak bertentangan dengan tuntutan agama, dia akan memberi sokongan.


"Seperti kita, anak juga punya impian dan kerana itu kita tidak boleh terlalu mengikut rasa hati hingga menyekat minat mereka. Beri mereka peluang menentukan apa yang mereka suka dan Erra yakin jika diberi asuhan sivik dan agama yang sempurna, Insya-Allah mereka tidak akan mengecewakan kita.


"Erra pernah mendengar keluhan beberapa teman dan anak muda yang terpaksa memenuhi hasrat ibu bapa walhal bukan itu kemahuan mereka yang sebenar.


"Erra tidak mahu Aleesya berdepan situasi sama dan kerana itu memberi kebebasan kepadanya mencorakkan masa depan.


"Terpulang kepadanya untuk memilih kerjaya impian dan Erra tidak akan mendesaknya supaya menurut jejak langkah Erra atau suami," katanya yang profesional memberi pose terbaik kepada jurugambar bertugas.


Di sebalik raut wajah lembut, Erra ibu yang tegas. Jelas primadona filem Melayu ini, sebagai ibu dia tidak mahu terlalu memanjakan anak hingga si anak tidak dapat membezakan yang mana baik atau buruk.

Mengikut resam ibunya yang mementingkan disiplin, sejak kecil Erra dididik supaya menghormati orang sekeliling, terutama yang lebih tua, dan ajaran itu diperturunkan kepada zuriatnya.


Jika anak kecilnya melakukan kesalahan, dia pasti menegur dan jika sebaliknya, dia tidak lokek memberi pujian. Bahkan jika perlu menjentik, Erra tidak teragak-agak melakukannya demi kebaikan pembentukan sahsiah Aleesya.


"Siapa yang tidak sayang anak, tetapi dalam sesetengah perkara kita perlu bertegas. Jangan kerana terlalu memanjakan, anak kita susah dilentur.


"Setakat ini suami banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik anak kepada Erra. Dia sibuk dengan urusan pejabat, jadi jika di rumah dia curahkan sepenuh kasih sayang kepada Aleesya. Tidak hairan mengapa Aleesya sangat manja dengan Imran.


"Kalau Erra suruh tidur bukan main liat lagi tapi bila bapanya suruh tidur, dia akur. Aleesya akan duduk diam-diam di sebelah bapanya walaupun ada ketikanya Imran yang tidur dulu," kata Erra seraya ketawa.


Biarpun Aleesya ada bersama ketika sesi fotografi berlangsung, anak kecil itu cukup 'sporting' memberi laluan kepada ibunya bergaya depan lensa kamera.


Seakan-akan memahami komitmen Erra, tidak sedikitpun si comel itu merengek menagih perhatian, malah aksinya yang ceria mencuri perhatian ramai.


Jelas Erra, mudah menjaga Aleesya kerana dia tidak banyak kerenah, bahkan dari kecil sudah menunjukkan ciri-ciri pandai berdikari.


Biarpun anak zaman sekarang biasa ditinggalkan ibu bapa demi tuntutan kerja, Erra tidak mahu terlepas momen melihat pembesaran cahaya matanya.


Justeru, dia meletakkan satu titik dalam rutin kerjayanya yang mana tidak akan menghabiskan masa terlalu lama di lokasi penggambaran demi Aleesya.


"Alhamdulillah, Erra gembira dengan rutin kerja sekarang walaupun jarang muncul di layar perak. Tawaran banyak tapi terpaksa tolak kerana tidak sesuai dengan keadaan Erra sekarang.


"Jika tidak menyusahkan pihak produksi, Erra tidak mahu duduk di lokasi hingga lewat malam atau pagi. Erra juga tidak mahu bekerja tujuh hari seminggu kerana ada anak yang perlu diberi perhatian.


"Namun jika tidak boleh dielakkan, Erra akan pastikan rehat selama seminggu untuk habiskan masa bersama Aleesya.


"Kontrak bersama Astro yang akan berakhir pada 2012 memenuhi masa Erra. Projek tahun ini bersama Astro hampir selesai. Setakat ini Erra jayakan telefilem 30 Hari Mencari Cinta, Pontianak Kampung Batu dan Selamat Tinggal Alexandria, manakala siri pula Kasih Tercipta dan Mentua vs Menantu.


"Hanya tinggal satu siri lagi yang menunggu masa untuk memulakan penggambaran," katanya yang merancang menambah zuriat apabila usia Aleesya mencecah dua tahun.


Biarpun populariti bintang jelita ini tidak pernah surut meskipun bergelar isteri dan ibu, pernah terlintas di fikiran untuk menoktahkan kembara seninya.


Jika bukan kerana berada dalam industri, dia tidak suka berada di khalayak ramai, apatah lagi diperhatikan.


Hakikatnya, dia dilahirkan sebagai insan berjiwa pemalu, namun sikap itu terpaksa diketepikan demi tuntutan kerjaya diceburi.


Akal dan hatinya memberi 'isyarat' supaya memperlahankan langkah dan pembabitannya dalam industri bukan lagi kerana tuntutan mencari nafkah, sebaliknya rasa kecintaan terhadap bidang diminati sejak kecil. Dan, apabila tiba masanya, dia akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamor.


Namun sebelum itu, perlu ada perancangan rapi supaya masa depannya terjamin. Justeru, Erra kini rancak merancang perniagaan yang membolehkannya bekerja dari rumah atau paling tidak, bisa bawa Aleesya bersama ketika berurusan.


"Erra cenderung dengan fesyen dan mungkin membabitkan diri dengan perniagaan francais. Apapun, biarlah perniagaan itu nanti bukan saja beroperasi untuk mencari keuntungan semata-mata, sebaliknya boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Itu penting untuk bekalan di kemudian hari.


"Dalam masa sama Erra tertarik dengan kerja-kerja kebajikan. Terus-terang, jiwa Erra tersentuh dengan peningkatan kes pembuangan bayi dan kini memikirkan cara-cara terbaik bagi mengatasi permasalahan ini.


"Erra rasa terkilan dan sedih bila ada bayi yang tidak berdosa ditemui dalam keadaan menyedihkan, malah ada antara mereka meninggal dunia.


"Ada banyak lagi cara untuk menyelesaikan masalah ini selain membuang bayi, namun dek kerana takut dengan dosa dilakukan (mengandung luar nikah), ibu bapa tergamak bersikap kejam.


"Ada kalanya Erra merasakan pendekatan digunakan masyarakat kita terlalu keras hingga menyebabkan mereka yang terlanjur sanggup membunuh demi menutup kesilapan daripada berdepan orang ramai.


"Bukan menggalakkan gejala sosial ini, tetapi kita perlu mencari jalan penyelesaian terbaik. Adakah kita perlu takutkan golongan ini atau dekati mereka untuk menyuntik keinsafan? Yang mana satu lebih molek?" tanya Erra.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: