
BERLIN - Sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan senapang Kalashnikov, bom tangan dan parang menyerbu satu pertandingan poker di Hotel Grand Hyatt, Berlin, Jerman dan melarikan wang tunai AS$1.1 juta (RM3.69 juta).
Rompakan itu mirip satu adegan dalam filem Hollywood, Ocean's Eleven lakonan George Clooney dengan aksi mereka disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
Laman perkongsian klip video, YouTube turut menyiarkan aksi mereka sedang merompak itu.
Dalam rakaman video itu, peserta-peserta pertandingan poker tersebut sedang melihat kad masing-masing sebelum permainan mereka tiba-tiba terjejas disebabkan oleh bunyi tingkap kaca dipecahkan dan orang ramai menjerit.
Ratusan peserta itu dan kakitangan pertandingan kemudian melarikan diri.
Jurucakap polis, Carsten Mueller berkata, empat perompak itu memaksa pekerja-pekerja pertandingan menyerahkan wang sebelum mereka melarikan diri.
"Sebahagian orang cedera apabila mereka panik dan melarikan diri," katanya.
Pada satu rakaman video, seorang pengawal terpaksa melepaskan seorang perompak yang telah ditangkap apabila seorang daripada kumpulan perompak itu mengacukan parang ke arahnya.
Bekas bintang tenis terkenal, Boris Becker merupakan antara peserta pertandingan tetapi dia telah meninggalkan tempat kejadian semasa rompakan bermula.
Sebanyak 400 peserta menyertai pertandingan itu yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM3.36 juta).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: