LOS ANGELES: Rumah tangga Kate Winslet runtuh kerana aktres handalan itu kecewa dengan hubungan istimewa suaminya, Sam Mendes, dengan pelakon muda, Rebecca Hall, kata sumber semalam.
TAK SEKATA...Kate dan Mendes dakwa mereka berpisah secara baik.
REBECCA...memiliki dua ciri kesukaan Mendes, iaitu jelita dan pintar.
Dia dikatakan menjadi tempat Mendes mengadu apa saja masalah dihadapinya selepas rumah tangga berusia enam tahun pengarah terkenal itu bermasalah.
Sumber berkata, hubungan Mendes, 44, dengan Rebecca sebenarnya tidak lebih daripada kawan biasa dan bekerja sama menjayakan projek teater di London dan New York sejak tahun lalu.
Jurucakap Rebecca turut mengesahkan aktres itu sekadar berkawan biasa dengan Mendes. Namun, sumber yang rapat dengan Kate berkata, aktres itu cemburu dengan kemesraan Mendes dan Rebecca.
“Kate tidak senang dengan kehadiran Rebecca dalam hidup Mendes, terutama apabila aktres muda itu memang memiliki ciri-ciri yang digemari suaminya, iaitu jelita dan cerdas,” katanya.
| |
Kate dan Mendes mengumumkan perpisahan mereka semalam dan mendakwa keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama.
Kate, 34, kini bercuti di Mexico dengan dua anaknya dan rakan, Emma Thompson, manakala Mendes menghabiskan masa di New York untuk bersama kenalan, termasuk Rebecca.
Rebecca yang pernah menuntut sekerat jalan dalam bidang kesusasteraan di Universiti Cambridge mula mencipta nama dalam industri hiburan selepas muncul dalam filem arahan Woody Allen, Vicky Cristina Barcelona. Difahamkan, dia berpisah dengan teman lelakinya - seorang pemuzik, Freddie Stevenson, beberapa tahun lalu.
Rebecca bertemu Mendes kali pertama ketika mengikuti penggambaran filem Starter For 10 pada 2006.
Ketika itu, Mendes menjadi penerbit eksekutif filem berkenaan.
Musim panas lalu, Rebecca menjadi sebahagian daripada pelakon Mendes dalam dua produksi drama pentas di New York dan London.
Persembahan Rebecca dalam drama pentas itu mendapat pujian pelbagai pihak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: