Tuesday, March 2, 2010

Polis Israel tingkat kawalan di Al-Aqsa


BEBERAPA anggota polis Israel ditempatkan di kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Polis Israel meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis semalam selepas beberapa orang cedera dalam insiden ketegangan yang berlaku di sekitar tapak suci yang menjadi rebutan antara penduduk Islam dan Yahudi.

"Kami telah meningkatkan penguatkuasaan di Bandar Lama dan akan terus menghadkan kemasukan ke Masjid Al-Aqsa kepada lelaki Islam berusia lebih 50 tahun ke atas termasuk wanita.

"Kawasan itu juga akan dibuka kepada pelancong seperti hari-hari biasa," jelas jurucakap polis Baitulmuqaddis, Shmulik Ben Rubi.

Kekecohan pada Ahad lalu timbul apabila penganut Islam membaling batu ke arah sekumpulan pelawat yang didakwa sebagai pelampau Yahudi sekali gus mengakibatkan ketegangan berkaitan hak di tapak masjid tersebut.

Seramai 17 orang termasuk dua anggota polis cedera dalam kejadian berkenaan.

Semalam, seorang paderi Yahudi, Shmuel Rabinovitch, cuba untuk meredakan ketegangan dengan mengingatkan golongan Yahudi bahawa mereka dilarang daripada memasuki tapak tersebut atas alasan keagamaan.

"Halacha (undang-undang agama Yahudi) melarang penganut Yahudi daripada memasuki Masjid Al-Aqsa.

"Oleh itu tidak ada sebab untuk berasa takut bahawa kami akan masuk," katanya kepada sebuah stesen radio tentera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: