Tuesday, March 2, 2010

Karadzic anggap perjuangan suci


KARADZIC mengemukakan hujah pembelaannya kepada Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Negara Yugoslavia di The Hague, Belanda semalam.


THE HAGUE, Belanda - Perjuangan bangsa Serbia dalam Perang Bosnia adalah adil dan suci, tegas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic ketika perbicaraan terhadapnya disambung semula di sini semalam.

"Saya tetap akan mempertahankan negara Serb-Bosnia dan perjuangan mereka," kata Karadzic kepada Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Negara Yugoslavia (ICTY) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Karadzic didakwa sebagai komander tertinggi kempen penghapusan etnik Croatia dan Islam dalam Perang Bosnia dari tahun 1992 hingga 1995 yang menyebabkan kematian lebih 100,000 orang manakala 2.2 juta yang lain terpaksa menjadi pelarian.

Dalam perbicaraan itu, Karadzic menafikan semua 11 dakwaan ICTY terhadapnya.

Dia mula mengemukakan hujah membela diri semalam.

"Bangsa Serb menuntut wilayah mereka sendiri dalam perang itu dan tindakan tersebut bukan satu jenayah," katanya.

"Kami tidak pernah berniat, apatah lagi merancang untuk mengusir orang Islam dan Croatia dari Republik Srbska (wilayah yang diperjuangkan Serb-Bosnia).

Katanya, puak Serb-Bosnia mahu hidup bersama penduduk Islam tetapi tidak mahu diperintah oleh mereka walaupun puak Serb-Bosnia ketika itu merupakan golongan minoriti.

Karadzic, 64, menambah bahawa penduduk Serb-Bosnia cuma mempertahankan diri dan wilayah mereka daripada dirampas orang Islam dalam perang itu.

Bekas pemimpin Serb-Bosnia itu yang ditahan di Belgrade oleh pihak berkuasa PBB pada 2008, berdepan dua tuduhan melakukan pembunuhan besar-besaran selain jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: