BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan para pemimpin kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah gagal mencapai sebarang persefahaman dalam satu rundingan sebuah institut yang disiarkan di saluran televisyen semalam berhubung cara untuk menyelesaikan krisis politik Thailand.
Bagaimanapun, mereka bersetuju untuk berunding sekali lagi pada petang ini.
Rundingan yang diadakan di sebuah institut akademik di pinggir bandar Bangkok itu meredakan seketika demonstrasi yang telah berlangsung selama lebih dua minggu.
Demonstrasi itu dicemari dengan pelbagai insiden pengeboman.
Pagi semalam, empat orang askar Thailand cedera apabila dua butir bom tangan dilontar ke berek tentera Rejimen Infantri ke-11 yang menjadi tempat tinggal Abhisit sejak 12 Mac lalu.
Dua stesen televisyen dan jabatan kastam turut diserang pada Sabtu lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang tercedera.
Kedua-dua pihak itu duduk bertentangan di sebuah meja rundingan dan berjabat tangan.
Dengan senyuman, masing-masing menegaskan pendirian berbeza sebelum bersurai tiga jam kemudian tanpa memperoleh sebarang penyelesaian.
"Permintaan kami mudah. Bubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat membuat keputusan," kata seorang ketua penunjuk perasaan, Veera Muksikapong.
Beliau ditemani oleh dua orang lagi pemimpin yang semuanya memakai kemeja berwarna merah.
Sementara itu Abhisit yang kelihatan tegang ditemani oleh dua orang penasihat dan memakai baju berwarna biru.
"Saya perlu membuat keputusan berdasarkan kepada kepentingan seluruh negara, termasuklah kumpulan Baju Merah. Adakah pembubaran Parlimen benar-benar boleh menyelesaikan masalah?," soal Abhisit.
Abhisit sebelum ini telah berulang kali menolak desakan supaya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan. Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok menunggu arahan pemimpin mereka apa yang perlu dibuat jika rundingan tersebut gagal.
Sepanjang demonstrasi itu, bilangan peserta mencecah sehingga 100,000 orang.
Sebahagian besar kumpulan Baju Merah terdiri daripada golongan prodemokrasi dan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: