Friday, March 19, 2010

Penyesalan Nabil




GENAP dua tahun usia penglibatan pelawak popular Ahmad Nabil Ahmad dalam dunia seni dan dia sudah menerima 'hadiah' terbesar yang tidak pernah diduga iaitu saman RM2 juta daripada syarikat perfileman, SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri De Movie.

Semuanya gara-gara ketulusan Nabil memberi komen tentang lakonannya dalam filem itu yang diarahkan oleh Aminah Rhapor.

Nabil yang ditemui di studio Wake The Baby, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, dia tidak pernah menyesal meluahkan kata-kata tersebut tetapi tidak menyangka ketulusan itu mengundang padah pada dirinya.

"Saya tidak menyesal dengan apa yang saya cakap kerana ia sesuatu yang betul. Tanyalah mana-mana penonton yang telah tengok filem itu, pendapat mereka serupa dengan saya.

"Jadi, salahkah kalau saya hanya beri pendapat tentang mutu lakonan saya sendir? Saya bukan kata jangan tengok filem itu. Tidak sangka pula dapat saman RM2 juta hanya kerana beri pendapat," ujar jejaka berusia 27 tahun itu lagi.

Bagaimanapun, sebagai seorang pelakon, Nabil amat menyesal kerana tidak meneliti kontrak sebelum menandatanganinya.

"Saya cuma menyesal sebab tidak baca kontrak betul-betul. Saya tidak tahu, saya tidak boleh beri sebarang pendapat terhadap filem lakonan saya sendiri.

"Selain itu, saya juga menyesal kerana bersetuju untuk berlakon dengan pengarah tersebut, sedangkan saya banyak mendapat tawaran lakonan yang lebih baik," jelasnya.

Jejaskan nama




Tambah Nabil, namanya selaku pelakon lebih terjejas berbanding pengarah, apabila filem tersebut mendapat komen negatif bukan sahaja daripada pihak media tetapi juga penonton.

"Nama siapa yang lebih terjejas? Filem ini berkenaan dengan diri saya, malah menggunakan tagline saya Lu Fikirlah Sendiri. Mestilah saya ambil berat.

"Malah, Lu Fikirlah Sendiri itu bukan sekadar tagline tetapi juga satu jenama kerana saya mempunyai syarikat berlesen menggunakan nama yang sama," ucapnya.

Tegas Nabil, selepas apa yang berlaku dia menerima banyak pengajaran yang berguna dan yang pasti dia akan lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran.

"Saya akan lebih memilih dan sangat berhati-hati supaya perkara yang serupa tidak berulang dua kali. Selepas ini, saya tidak hanya tengok jalan cerita atau janji-janji yang dilaburkan oleh pihak produksi tetapi juga kontrak, penerbit, pengarah serta syarikat produksi yang menerbitkan sesebuah filem atau drama itu," katanya.

Selepas menerima notis saman daripada pengarah Aminah Rhapor, Nabil memberitahu, dia telah menyerahkan semua perkara berhubung isu saman kepada peguam yang telah dilantik iaitu firma J.S Pillay & Mohd. Haaziq.

Jika perkara saman itu berlarutan dan semakin memburukkan keadaan, Nabil berkata, pihaknya akan mengadakan satu sidang media khas.

"Itu jika tiada jalan penyelesaian dan kalau masalah ini semakin teruk, saya dan peguam akan adakan satu sidang media khas. Tarikh dan lokasinya belum lagi diputuskan. Andai benar sidang media ini berlaku, saya umumkan kepada semua media," tuturnya dalam nada tegas.

Filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie menelan kos sebanyak RM1.8 juta dan sehingga kini telah mengutip keuntungan melebihi RM2.1 juta.

Rakam album


DALAM tempoh dua tahun, Nabil sudah mengumpul kontroversi dan sensasinya sendiri.


Sejak bergelar juara program Raja Lawak terbitan Astro, Nabil meraih populariti yang menggunung. Secara tiba-tiba banyak pula pihak yang memandang Nabil seperti lubuk emas dan mengambil kesempatan terhadap popularitinya.

Sungguhpun begitu, Nabil mengatakan dia tidak kisah jika diambil kesempatan kerana menyifatkan perkara itu sangat perlu untuk membantu kedua-dua belah pihak.

"Jika orang tidak ambil kesempatan pada diri saya, saya pun tidak dapat apa-apa. Ia umpama rantai makanan yang amat perlu. Kalau tengok dengan mata kasar memang nampak seperti kejam tetapi ia amat logik.

"Walau popular mana sekali pun tetapi tiada kerja, buat apa. Saya tidak kisah kalau orang nak cakap banyak orang mengambil kesempatan terhadap diri saya. Lebih baik diambil kesempatan daripada tiada apa-apa langsung," katanya penuh serius.

Meskipun dilanda badai, rezeki Nabil tidak pernah putus. Katanya, dia amat bertuah kerana bekas mat rempit sepertinya boleh menjadi artis popular.

Tidak pernah bermimpi dan terlintas dalam fikirannya untuk menjadi seorang pelawak, pelakon, pengacara dan terbaru sebagai penyanyi, Nabil bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan kepadanya.

"Saya tidak sangka, sekarang saya berada di studio merakam lagu bersama komposer terkenal, abang Ajai. Walaupun dunia nyanyian masih baru buat saya, saya akan cuba yang terbaik," katanya.

Nabil yang akan muncul dengan single pertama yang berjudul Lu Fikirlah Sendiri tidak lama lagi menjelaskan dia bukanlah mahu menggantikan penyanyi hebat yang ada di Malaysia. Tetapi kehadirannya, hanya untuk memeriahkan lagi industri seni suara.

"Saya tahu di mana tahap vokal diri sendiri. Saya bukannya Anuar Zain atau Faizal Tahir tetapi saya Ahmad Nabil. Saya hanya akan menyanyi secara rap dalam lagu-lagu saya," ujarnya.

Bekerjasama dengan Ajai, Nabil juga mencurahkan idea kreatif sebagai penulis lirik bukan sahaja untuk lagu Lu Fikirlah Sendiri tetapi juga dua lagu lain yang telah dirakam iaitu Barang Baik dan Ambil Baliklah.

"Setakat ini baru tiga lagu yang dirakam, kemungkinan besar saya akan kumpulkan sehingga lima buah lagu dan keluarkan satu album," tuturnya.

Ajai yang turut berada di studio memberitahu, dia melihat Nabil mempunyai pakej yang lengkap memandangkan industri hiburan tempatan kekurangan lagu-lagu berunsur komedi.


NABIL tidak kisah kalau banyak orang mengambil kesempatan terhadap popularitinya.


"Dia mempunyai identiti sendiri dan suka menyampaikan kisah masyarakat. Sebab itu saya beri kebebasan kepadanya untuk tulis lirik. Saya yakin dia boleh pergi jauh kerana komitmen dan minat yang ditunjukkan," ulas Ajai.

Tiket sehala

Saat ditebak, tidakkah dia menyesal menjadi seorang yang dikenali seperti hari ini dan terpaksa mengharungi pelbagai dugaan yang berada di luar jangkauannya, Nabil menggelengkan kepalanya.

"Saya tidak menyesal jadi diri saya hari ini. Saya juga manusia normal yang sebelum ini tak pernah bermimpi untuk jadi artis. Sudah rezeki daripada Allah, inilah jalan yang baik buat saya untuk ubah nasib diri dan keluarga... satu perubahan yang tidak disangka-sangka," katanya.

Ungkapnya lagi, apabila menjejakkan kaki ke dalam industri hiburan ia umpama membeli tiket sehala yang tiada jalan untuk berpatah balik.

"Bila sudah jadi artis, saya tidak dapat patah balik untuk menjadi diri saya yang dulu. Kalau 10 tahun akan datang saya nak jual burger tepi jalan saya tidak kisah, tetapi orang tetap akan kenal saya walaupun mungkin waktu itu saya sudah tidak aktif lagi," luahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: