Wednesday, March 17, 2010

One Nation Emcees Angkuh




DILAYANG kritikan perasan bagus tidak membuatkan juara Gangstarz musim kedua, One Nation Emcees melatah. Malah tiada sebab empat anak muda yang membentuk satu formasi itu mahu terus tunduk.

Hakikatnya grup yang dianggotai oleh Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) mengaku tidak kisah dilabel angkuh. Bahkan sudah menjadi pegangan One Nation Emcees bersikap hebat di depan peminat.

Mewakili empat sahabatnya, Mimi, 23, memberitahu terbiasa mendengar pelbagai jolokan diberi kepada One Nation Emcees selepas beradu nasib di lapangan seni.


ONE NATION EMCEES percaya masih ada ruang untuk mereka menonjolkan diri di sebalik lambakan band indie.


"Kami memang perasan bagus. Malah One Nation Emcees sokong orang lain panggil kami berlagak dan poyo. Terus-terang, kami diajar jadi manusia yang suka menutup bayang penyanyi lain ketika buat pertunjukan nyanyian.

"Kalau boleh, kami ingin muncul dengan gaya dan stail tersendiri. Ia diamal sejak berada dalam Gangstarz lagi. One Nation Emcees ada peraturan tidak membenarkan sesiapa 'curi' kredibiliti kami.

"Tapi jangan salah sangka, perasaan hendak tampilkan diri bagus hanya di atas pentas. Ketika inilah kami kena bersungguh memperlihat corak persembahan energetik demi memuaskan hati penonton.

"Dalam kehidupan realiti, kami tidak meninggi diri. Kami masih sama seperti orang biasa yang tidak kisah dikomen apatah lagi One Nation Emcess masih baru. Kami perlu kritikan demi memperbaiki diri," katanya ketika majlis pelancaran album perdana One Nation Emcees di Dragnfly, Kuala Lumpur minggu lalu.

Mengangkat nama One Nation Emcees sebagai judul di kulit album, Mimi mengharap supaya sesetengah pihak di luar sana tidak bersikap skeptikal atau menilai luaran mereka.

"Kami akui One Nation Emcees tidak sama macam Ahli Fiqir, Thoo Phat atau lain-lain. Sukar hendak cari rujukan kami dalam bidang seni tempatan. Sampaikan ada menganggap kami bawa konsep macam Black Eyed Peas.

"Sebenarnya tidak sama sekali. Malah kami sentiasa berusaha cari identiti agar tidak disamakan dengan kumpulan lain. Sejujurnya, kami tidak kisah apabila kumpulan ini dikait dengan Black Eyed Peas.

"Cuma kami tidak suka dikatakan meniru bulat-bulat grup terkenal itu. Kalau mereka cakap corak persembahan kami bertenaga macam Black Eyed Peas maka ia menjadi kebanggaan kami.

"Kami juga tidak rap dalam bahasa Inggeris. One Nation Emcees hadirkan irama tradisional dalam karya kami," jelas Mimi mempertahankan pendirian grupnya yang menjulang genre hip hop.

Biarpun masih mentah, keupayaan mereka sudah diintai artis terkenal dari negara seberang. Bukan calang-calang apabila penyanyi itu sendiri memunculkan idea menjalani kolaborasi dengan One Nation Emcees.

Berduet dengan Inul

Hati siapa tidak teruja apabila pemilik gelaran Ratu Goyang Gerudi, Inul Daratista, 31, menggenggam album single One Nation Emcees, Raja Gelek dalam sebuah program televisyen tempatan baru-baru ini.


AKSI tarian yang mantap juga menjadi pertaruhan mereka.


"Kami diberitahu Inul mengenali One Nation Emcees melalui laman video, YouTube semasa menyanyikan lagu Goyang Inul pada konsert Gangstarz. Daripada situ Inul menunjukkan kesudian bergabung dengan kami.

"Kami baru bercakap dengan wakil Inul dari Indonesia yang melamar One Nation Emcees berduet dengan artisnya. Ini adalah peluang sekali seumur hidup, jadi kami tidak mahu melepaskannya.

"Kebetulan kami dalam proses menghasilkan lagu berjudul Kerana Wang maka One Nation Emcees merasakan ia cukup sesuai dengan corak nyanyian kami dan Inul. Ia kedengaran hip hop, rock dan dangdut.

"Mungkin tajuknya bakal diubah menjadi Karena Uang untuk pasaran Indonesia. Kami akan pergi ke Jakarta untuk membincangkan urusan ini," tutur Mimi sambil Jojoe, Kozae, Zydee mengangguk kepala tanda mengiyakan perkara mengujakan itu.

Sebagai orang baru, Mimi tanpa berselindung menunjukkan air muka kebimbangan berpadu suara dengan Inul. Siapalah mereka kalau mahu disukat populariti dengan Inul.

"Selepas difikir semula, artis lain yang dapat peluang sama dan mengecap kejayaan hari ini juga barangkali ada perasaan sama macam One Nation Emcees. Cuma sampai bila kami kena akur dengan kegusaran ini. Kalau bukan sekarang, bila lagi hendak cuba?

"Justeru, kami nekad bergandingan dengan Inul. Mana tahu kami dapat masuk pasaran luas di Indonesia," ungkap Mimi yang menggunakan empayar Sonic Velocity sebagai orang tengah mewakilkan grupnya di Indonesia.

Kepuasan

Demi sebuah album berjudul One Nation Emcees yang memuatkan sebanyak enam buah lagu, mereka sanggup berbuat apa sahaja agar impian dicita tidak menjadi bayang semata. Kini ahli kumpulan itu mampu tersenyum sementelah usaha ditaburkan selama setahun mencambah hasil.


MAJLIS pelancaran album sulung mereka turut dilancarkan bersama pengurus kumpulan, Jai, (baju putih) dan Setiausaha Bahagian Muzik Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Mokhzani Ismail.


Dalam nada teruja, Kozae menjelaskan, album itu bukan sahaja penanda aras kesinambungan One Nation Emcees, tetapi turut menyelitkan keistimewaan tersendiri kepada mereka.

"Album yang dibikin ini mencerminkan sebenar One Nation Emcees. Ia adalah jati diri kami. Contohnya lagu Dendangkan ciptaan Damian Mikhail dan liriknya ditulis oleh kami, ia mendengarkan suara kami mahu diterima peminat dalam bisnes hiburan.

"Lagu Laungkan ciptaan Man Felda ihsan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan liriknya disusun semula One Nation Emcees merupakan lagu tema Piala Dunia 2010. Selain itu, lagu berkonsep ketuhanan, Syukur (Kau Yang Satu) menzahirkan kesyukuran kami meraih sokongan umum," terangnya tentang kelebihan karya One Nation Emcees.

Kelahiran album dengan bajet sendiri sebanyak RM25,000 itu juga sebagai pelengkap apresiasi kepada pemuja One Nation Emcees bermula zaman Gangstarz hingga saat ini.

"Peminat layak dapat penghargaan daripada One Nation Emcees. Lagipun sebelum ini mereka mahu kami tandatangan di poster yang tiada kaitan dengan One Nation Emcees. Jadi kami sepakat bikin album secepat mungkin supaya orang ramai dapat autograf atas kulit album," luahnya sambil Zydee yang duduk di sebelah tersenyum bangga dengan produk grup di bawah payung O.N.E Nation Emcees Sdn. Bhd. itu.

Belum lagi dijual di pasaran, peminat boleh membeli terlebih dahulu di Internet melalui laman sosial One Nation Emcees di MySpace atau Facebook dengan harga RM15 termasuk caj penghantaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: