Wednesday, March 17, 2010

Faizal masih sakit hati


FAIZAL kukuh merahsiakan status dirinya kini daripada umum.


SEBELUM ini, khabar angin mengenai perkahwinan kali kedua pelakon terkenal, Faizal Yusup dengan wanita yang dikenali sebagai Munirah pada 10 Januari lalu heboh diperkatakan.

Bagaimanapun Faizal enggan mengulas panjang untuk berkata ya atau tidak mengenai hal perkahwinannya itu.

Bertemu pelakon berusia 32 tahun itu pada majlis doa selamat penggambaran drama Adamaya baru-baru ini, Faizal masih lagi tetap dengan pendiriannya tidak mahu memberikomen berkenaan rumah tangga yang baru dibinanya itu.

Walaupun gambar perkahwinannya sudah tersebar di Internet serta pernah dikeluarkan di sebuah akhbar, dia masih lagi memberi jawapan sama.

"Tak berani nak komen. Ya atau tidak, saya tak mahu beritahu. Mana yang dah tahu kehidupan saya, tahulah dan mana yang tidak tahu, biarkan.

"Saya ambil langkah selamat supaya dapat menjaga hati pihak lain dan saya tak mahu kisah saya dijaja. Memang saya tak mahu orang tahu tentang hal peribadi saya. Setakat ini, keluarga menyokong keputusan saya.

"Mengenai gambar yang tersebar, itu memang satu masalah besar. Apa masalahnya? Tak perlulah tahu. Biarlah mereka nak buat kerja-kerja yang tidak berfaedah itu.

"Kalau sebelum ini orang kata saya cuba melarikan diri untuk mengelak soalan-soalan ini, ya benar. Tapi saya lari buat sementara waktu sahaja," katanya.

Faizal turut memberitahu dia tidak mahu memberi sebarang komen berdasarkan pengalaman perkahwinannya bersama penyanyi Siti Nurdiana itu.

"Bayangkan masa saya kahwin dengan Nana dulu, saya banyak menerima tohmahan. Kononnya saya ambil duit dia dan macam-macam lagi orang kutuk. Adakah itu patut diterima akal?

"Mungkin orang anggap perkara ini dah lepas, tapi saya masih lagi sakit hati. Penat saya kerja kuat, orang pula cakap macam-macam.

"Kalau saya tidak ada tawaran berlakon, adakah mereka yang mengata tentang saya, memberi duit atau membeli susu anak saya?"

Disoal pula adakah punca penceraiannya dengan Nana pada 14 September lalu disebabkan tohmahan yang sering diterima, Faizal mengakui tentang hal itu.

"Saya mengaku ini salah saya. Apapun saya bercerai dengan cara baik. Saya sayang anak saya dan menjaganya bergilir-gilir dengan Nana.

"Malah saya memberi Nana menjaga anaknya lebih masa berbanding saya kerana seorang anak lebih memerlukan perhatian ibunya," kata Faizal serius.

Sedih

Selama 11 tahun bergelar anak seni, sepatutnya populariti Faizal sebaris dengan pelakon-pelakon terkenal sekarang.

Kurang diberikan publisiti, Faizal tidak kisah jika dirinya tidak sepopular teman-temannya yang lain kerana dia bangga dengan pencapaiannya sepanjang bergelar pelakon.

"Setakat ini saya gembira dengan watak-watak yang saya pernah lakonkan kerana kebanyakannya bersifat pelbagai.

"Cuma saya begitu mengidamkan watak aksi. Baru-baru ini saya ada ditawarkan untuk telefilem aksi Muay Thai dan penggambarannya dilakukan di Kelantan. Bagaimanapun saya terpaksa tolak kerana bayarannya agak sedikit," katanya.

Bukan sengaja mahu meletakkan harga yang tinggi, sebaliknya Faizal sedih kerana masih ada pihak yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang murah kepada pelakon-pelakon berpengalaman.

Kata Faizal, dia hairan bila harga bayaran seorang pelakon semakin murah. Justeru dia juga menyeru rakan-rakan lain agar tidak melayan tawaran yang terlalu murah.

"Saya mahu mengambil inisiatif untuk memberitahu para artis untuk tidak mengambil tawaran berlakon dengan harga yang terlalu rendah atau tinggi.

"Kalau melihat tawaran-tawaran yang diterima, harga yang ditawar semakin kurang pula. Saya sedih kerana ada beberapa pihak produksi yang memandang ringan tentang hal ini. Sedangkan kudrat kita tidak dihargai," katanya kesal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: