
APABILA Nadjib Sirat nekad menyarungkan kasutnya untuk menjadi rakyat Afghanistan pertama menakluki puncak tertinggi di dunia, dia didorong oleh semangat dan keghairahan bukan kerana politik negara.
Lelaki berusia 30-an itu percaya dengan menjadi lelaki pertama negaranya yang menawan puncak itu dia boleh menyampaikan maklumat bahawa Afghanistan mampu melakukan sesuatu selain daripada perang, kesengsaraan, penderitaan dan kemiskinan.
"Terdapat banyak puncak dan destinasi meluncur salji yang menarik di sini jika dibandingkan dengan Tibet, Kashmir dan Nepal kerana sebahagian daripada negara berbukit-bukit dan mempunyai salji setebal 2,000 meter.
"Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui mengenainya kerana keadaan yang melanda Afghanistan," katanya yang merujuk kepada perang di antara masyarakat Islam dengan tentera Afghanistan yang dibantu oleh lebih 100,000 askar Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sirat berhasrat untuk mengubah tanggapan masyarakat dunia mengenai Afghanistan dengan memperkenalkan beberapa puncak tertinggi dunia yang secara tidak langsung memperkenalkan keindahan alam semula jadi.
Ia bagi membuktikan Afghanistan mempunyai banyak nilai-nilai yang boleh ditawarkan kepada dunia selain daripada pahlawan perang.
Dengan bantuan pengembara Perancis, Charles Hedrich dan sokongan Jawatankuasa Olimpik Afganistan, Sirat menubuhkan Persekutuan Pendakian Gunung Afghanistan untuk menjadikan negaranya sebagai sebutan dalam kalangan peminat sukan pergunungan dan menukarkan daripada zon perang kepada destinasi sukan ekstrem.
Sebagai presiden kepada pertubuhan itu, Sirat memberitahu dia tahu kini bukan masa yang sesuai untuk menarik pelancong ke Afghanistan.
Sehubungan itu, situasi tersebut memberi masa kepadanya untuk meneliti aset semula jadi Afghanistan sebagai persiapan apabila keadaan kembali aman dan pelancongan akhirnya menjadi satu realiti.
Minat pendakian
Dia akan berkunjung ke Nepal pada bulan April depan dan memanjat gunung keenam tertinggi di dunia iaitu Cho Oyu. Cho Oyu mempunyai ketinggian 8,201 meter.
Jika segala-galanya berjalan lancar, pada September ini dia akan kembali ke Himalaya untuk menawan puncak tertinggi dunia Everest yang berketinggian 8,848 meter.
Ini sekali gus melayakkannya sebagai ketua pendaki ekspedisi di mata rakan dan mentornya iaitu Hedrich. Hedrich mahu seorang pendaki yang mempunyai kemahiran untuk mengetuai organisasi yang bertanggungjawab dalam industri pelancongan Afghanistan.

Kedua-dua mereka diperkenalkan oleh Duta Afghanistan ke Perancis selepas Hedrich mendapat sokongan daripada kedutaan.
"Saya bertemu dengan seorang anak muda yang mempunyai gabungan minat terhadap pendakian dan juga kebolehan menerima cabaran bahaya," kata Hedrich, 52, yang merupakan seorang pelayar, pendaki, pakar pergunungan dan juga pemandu rally Paris-Dakar.
Selepas Hedrich mengujinya dengan pendakian setinggi 1,200 meter pada waktu malam, Sirat menjelaskan: "Hedrich merasakan saya adalah calon yang sesuai untuk tugas itu."
Tugas menubuhkan persekutuan itu yang mempunyai ahli seramai sepuluh orang bermakna Sirat harus meninggalkan pekerjaannya di Perancis untuk kembali ke Kabul di mana ibu serta tujuh adik-beradiknya tinggal dan perlu mengekplorasi gunung-gunung di negara itu.
Sirat memberitahu, Pamir Range yang terletak di Wakhan Corridor merupakan sasaran pengganas di antara Tajikistan dan Pakistan dan lokasi untuk usahanya kelak.
Namun, hentian pertamanya selepas penubuhan persekutuan tersebut dengan Hedrich sebagai ahli kehormat adalah meluncur salji di Lembah Panshir di utara Afghanistan merupakan tempat kelahirannya pada 1980.
Kata Sirat, pada umur 18 tahun dia terpaksa bergelut menyelamatkan diri daripada keganasan puak rejim Taliban sementara bekerja dengan pertubuhan amal Perancis yang membina sekolah untuk remaja perempuan.
Dia menyeberangi sempadan untuk ke Pakistan. Selepas enam bulan di Peshawar, dia berhijrah ke Paris sebelum memohon suaka politik. Dia menyambung pelajaran dan telah dilatih sebagai juruteknik pergigian.
Dia berpindah ke Grenoble, di kaki bukit French Alps yang telah mendorong minatnya dalam pendakian dan penjelajahan gunung.
Sirat tidak mempunyai minat dalam hal-hal politik. Apa yang dilakukannya bersama Hedrich adalah untuk memberi contoh kepada anak-anak muda Afghanistan mengenai apa yang boleh mereka capai dari segi peribadi dan profesional dalam keadaan yang aman.
"Kerajaan dengan sokongan antarabangsa kini menggunakan cara baru bagi mengatasi ancaman puak Taliban.
"Adalah mustahil untuk kita memikirkan mengenai pelancong bebas datang ke sini untuk mendaki dan meluncur salji. Keadaan terlalu bahaya.
"Buat masa ini kita hanya perlu berbincang dan cuba berusaha. Pada masa hadapan Afghanistan akan menjadi seperti Kashmir yang menjadi destinasi yang ingin dikunjungi ramai," katanya.
Kashmir, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Himalaya dipisahkan secara politik antara India dan Pakistan yang pernah satu ketika dahulu dirujuk oleh Switzerland sebagai Selatan Asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: