Wednesday, March 10, 2010

Dondang sayang etnik Melaka




KEPADA mereka yang pernah menyaksikan persembahan dondang sayang di Melaka tentu terpegun dengan kebolehan pelbagai etnik di negeri itu mendendangkan lagu warisan tersebut dengan baik.

Bukan penyanyi Melayu saja petah berpantun secara sepontan malah masyarakat Baba Nyonya, Portugis dan Chitti juga membuktikan bakat mereka.

Dondang sayang ialah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu bersama kaum lain. Hiburan itu menuntut mereka berbalas pantun secara spontan dalam gaya santai dan kadangkala melucukan.

Dondang sayang wujud di Melaka sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut sejarah, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, nyanyian itu dipersembah untuk menghiburkan tetamu dan pedagang-pedangan yang singgah di Melaka.

Penyanyi biasanya diiringi oleh alat-alat muzik seperti biola, rebana, tetawak iaitu sejenis gong, akordian dan dibantu dengan alat muzik lain seperti tabla.

Baru-baru ini, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan dondang sayang oleh pelbagai etnik di atas satu pentas pada program 1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Melaka yang diadakan di dataran Klebang, Melaka.

Acara itu anjuran bersama kerajaan Melaka dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


NYONYA TAN (dua dari kanan) dan Abas Katan (kiri) bersama rakan seperjuanganya membuat persembahan lagu dondang sayang.


Menurut tokoh dondang sayang, Abas Katan, 63, kekuatan dondang sayang terletak kepada kebolehan seseorang penyanyi itu berbalas pantun secara spontan.

"Dondang sayang ini kekuatan terletak pada pantun. Pantun itu pula banyak jenis antaranya ialah kiasan, kasih, budi dan sindiran," katanya ketika ditemui.

Abas, yang pernah dinobatkan tiga kali juara pertandingan dondang sayang peringkat negeri dan sekali sebagai naib juara peringkat kebangsaan berkata, hanya pantun empat kerat digunakan dan beliau mampu menguasai lebih 300 pantun.

"Dondang sayang ini bukan kata kita ikut lagu lama, cuma iramanya lama, kemudian kita jadikan rentak baru, kalau dulu kita dengar dondang sayang lemah gemalai, lentoknya iaitu lagu asli tetapi sekarang kita tambah rentak inang, zapin, mambo dan joget," katanya.

Era kegemilangan

Beliau berkata, dondang sayang juga dinyanyikan oleh penduduk Singapura dan Indonesia terutama di Sumatera, tetapi yang membezakan dondang sayang Melaka dengan tempat lain ialah lenggok dan loghat penyanyi itu.

Abas yang aktif berdondang sayang sejak umurnya 20 tahun dan mengetuai Kumpulan Dondang Sayang Hiasan Budaya berkata, beliau pernah membuat persembahan bersama penyanyi kaum Baba Nyonya dan Chitti di atas satu pentas.

"Kami (Melayu) menyanyi bercampur antara masyarakat Baba Nyonya dan Chitti dalam satu majlis berdendang dondang sayang dalam satu irama, dia dengan loghat dia, kami dengan loghat kami," katanya.

Tambah Abas, pada masa dahulu persembahan dondang sayang sering menjadi pilihan untuk memeriahkan majlis-majlis perkahwinan. Ada yang bermula selepas waktu solat maghrib hingga masuk waktu subuh.

Abas sendiri pernah menyertai persembahan dondang sayang 24 jam tanpa henti di Pantai Puteri pada 2007 yang melibatkan lapan kumpulan.

Bagi Nyonya Tan Abdullah, 60, dondang sayang memang sinonim dengan masyarakat Baba Nyonya. Ia mungkin ada kaitan dengan hasil perkahwinan campur pada zaman dahulu.


MELAKA bukan saja terkenal dengan destinasi pelancongan bahkan budaya pelbagai etnik.


Melibatkan diri sejak berusia 19 tahun, nama Nyonya Tan sentiasa bermain di bibir peminat dondang sayang terutama ketika era kegemilangan dondang sayang sekitar 1970-an dan 1980-an.

Pesara POS Malaysia itu pernah meraih johan peringkat kebangsaan Pertandingan Dendang Rakyat dan sering menjadi johan pertandingan peringkat negeri sekitar 70-an dan 80-an.

Beliau yang kini aktif dengan lagu warisan Melaka pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka (2003), Anugerah Penyanyi Sepanjang Zaman daripada Persatuan Penyanyi-penyanyi Tanah Air (Papita/2006) dan dianugerahkan bintang dan pingat kebesaran oleh kerajaan negeri Melaka.

Nyonya Tan diundang membuat persembahan selama dua minggu bermula 4 April 2008 untuk tontonan para perwakilan 21 negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang bersidang di Paris, ketika Melaka melobi untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Saya mewakili etnik warisan Baba Nyonya dan warisan budaya dondang sayang negeri Melaka...dondang sayang ialah satu warisan budaya negeri Melaka," katanya.

Pengiktirafan Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO diumumkan pada Julai 2008 selepas 21 negara anggota UNESCO yang menghadiri Mesyuarat Ahli Warisan Dunia Ke-32 di Quebec City, Kanada memutuskan untuk memilih kedua-dua bandar itu.

Nyonya Tan terpikat dengan dondang sayang selepas sering menonton persembahan penyanyi veteran ketika itu yang pandai berpantun secara spontan dan mencuit hati.


ABAS KATAN (duduk paling kanan) bersama barisan asal ahli Kumpulan Dondang Sayang Hiasan Budaya.


"Masa saya muda-muda dulu, kita tengok veteran menyanyi pantun spontan, pantun dia boleh mencuit hati penonton boleh jadi hiburan, daripada pantun dia boleh menyindir orang, boleh ajak orang berkasih, daripada pantun itu juga orang yang datang menonton dengan penyanyi boleh tersangkut hati dan terus kahwin," katanya.

Beliau berkata, seiring dengan perubahan masa dondang sayang juga mengalami perubahan dari segi muzik yang dianggap lembik oleh generasi muda kepada rentak rancak seperti mambo, inang dan joget tetapi mengekalkan melodi aslinya.

"Inilah yang menarik minat anak-anak muda sekarang terhadap persembahan dondang sayang. Kita tidak mahu satu masa nanti dondang sayang warisan budaya jati negeri Melaka tinggal nama," katanya.

Bakat beliau itu kini tumpah kepada dua anaknya Hairul Asraf Abu Hussain, 27, dan Hidayu Murni, 24.

Dua beradik itu pernah menggondol juara beberapa pertandingan dondang sayang peringkat kebangsaan dan negeri.

Nyonya Tan yang turut menjadi tenaga pengajar mencungkil bakat baru berkata, untuk menjadi penyanyi yang baik, seseorang itu perlu menyertai bengkel, banyak berlatih dan mengadakan persembahan pentas.

"Kalau setakat berpantun, ramai boleh berpantun tetapi pantun yang berkualiti itu payah, pantun yang berkualiti pembayangnya mesti ada sangkut paut antara baris satu dengan baris kedua serta ada makna," katanya.

Generasi ketujuh

Bagi K. Arunasalam Pillay, 50, dondang sayang sememangnya tidak asing bagi masyarakat Chitti Melaka. Nama seperti Meenachi ialah tokoh yang pandai berpantun.

Arunasalam merupakan generasi ketujuh masyarakat Chitti, bersama isteri K. Vimala Devi, 42, anak lelakinya Pavithran Pillay, 12, dan anak perempuan mereka Savithri Pillay, 7, giat mengembangkan minat dan bakat mereka dalam persembahan dondang sayang.


ABAS KATAN mampu menguasai lebih 300 buah pantun.


Beliau berkata, masyarakatnya merupakan India peranakan yang berketurunan daripadapedagang India yang datang dari Koromandel, selatan India.

"Masyarakat Chitti mengamalkan kepercayaan Hindu tetapi menjalani kehidupan harian seperti kaum Melayu dari segi pakaian, makanan dan lain-lain," katanya ketika ditemui di Kampung Chitti, Jalan Gajah Berang.

Pada masa ini, terdapat 30 buah keluarga mendiami kampung itu yang wujud sejak kurun ke-15. Istimewanya, mereka masih mengamalkan budaya Melayu tradisional.

Mereka juga fasih bertutur bahasa Melayu tetapi berpegang kuat kepada ajaran agama Hindu.

Arunasalam, seorang peniaga dan isteri yang giat mempromosi seni budaya masyarakatnya akan terus mempopularkan dondang sayang agar tidak pupus dalam masyarakat Chitti.

"Kehidupan masyarakat dahulu di persekitaran orang Melayu membuatkan orang Chitti juga pandai berpantun, sekali gus boleh menyanyi dondang sayang," katanya yang mengakui tidak ramai masyarakat Chitti yang boleh berdondang sayang dengan baik.

Melihat Arunasalam berjoget bersama isteri sambil berbalas pantun, persembahan mereka cukup mempersonakan apatah lagi dengan memakai pakaian tradisi masyarakat Chitti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: