![]() |
| Selain aktiviti keagamaan, penghuni juga dilatih ilmu kemahiran. |
SUKARNYA menjadi ibu bapa pada hari ini. Dalam dunia yang serba canggih dan tanpa sempadan ini, anak-anak remaja suka benar mengikut kata hati.
Bagi mereka, dunia remaja penuh dengan cabaran dan kebebasan yang mesti diterokai biarpun tidak membataskan tata susila.
Sebaik sudah terleka, sudah pasti padahnya akan menimpa mereka yang masih lagi mentah dalam mengenal ujian dunia. Jika tidak diselamatkan dari awa, anak-anak ini akan terus menjadi insan yang tidak berguna kepada agama, masyarakat dan negara.
Hanya baru dua bulan beroperasi, Pusat Taqwa Genius sudah mempunyai 20 penghuni remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 14 hingga 18 tahun.
Bertemu dengan penyelaras pusat berkenaan, Taufik Ibrahim, 46, beliau memberitahu ia diwujudkan atas kapasiti untuk memberi bimbingan kepada remaja-remaja lelaki yang dikategorikan sebagai terbiar dan 'liar' serta bermasalah di luar daripada kebiasaan.
Taufik juga tidak menafikan ada di kalangan penghuni yang ditempatkan di sini buta huruf, tidak pandai mengaji dan tidak tahu bersolat.
''Mereka ke sini sama ada dihantar oleh ibu bapa, keluarga mahu pun penyelia rumah anak-anak yatim yang menempatkan mereka. Ada juga yang ke sini dengan semangat sukarela mahu memulihkan diri menjadi seorang remaja yang berdikari,'' katanya.
Menurut Taufik, mereka yang dibenarkan ditempatkan di sini adalah daripada kalangan yang berisiko untuk terjerumus ke dalam masalah tingkah laku atau moral tapi masih pada tahap awal.
''Antaranya ialah remaja yang enggan ke sekolah, terlibat dengan kes hidu gam, bergaduh, lari dari rumah, mencuri dan sebagainya.
''Kita tidak terima mereka yang telah terlibat dengan najis dadah atau kes-kes tegar kerana kita tidak mahu mereka mempengaruhi penghuni lain,'' jelasnya.
Pusat itu terletak di kawasan seluas kira-kira empat hektar di Sungai Serai, Kuang, Selangor.
Sebelum ini lokasi berkenaan ialah sebuah pusat memancing riadah bagi penggemar kaki pancing.
Sudah bertahun tempat itu ditutup. Kini dibuka semula apabila dilihat sesuai dijadikan pusat untuk anak-anak remaja seperti ini.
Kena pula dengan suasananya yang tenang, hening, penuh kehijauan, damai dan mempunyai tempat untuk beriadah serta aktiviti kemahiran.
Apabila ditanya berapa lama jangka masa yang diambil untuk anak-anak remaja ini ditempatkan di situ, Taufik berkata, tiada tempoh tertentu ditetapkan.
''Terpulang kepada masing-masing, sekiranya mereka rasa telah bersedia untuk pulang semula ke dunia luar, kita akan lepaskan. Tapi kita akan pantau keadaan mereka dari semasa ke semasa sehingga kita benar-benar pasti mereka telah pulih.
''Mereka juga akan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk belajar semula secara formal atau ditempatkan di pusat-pusat kemahiran,'' katanya.
Ditanya kaedah yang digunakan dalam usaha membimbing insan-insan seperti ini, Taufik menjelaskan mereka lebih menggunakan pendekatan keagamaan dan aktiviti.
''Remaja 'hiperaktif' seperti ini tidak boleh menumpukan perhatian kepada kelas-kelas formal lebih lama. Kita isi masa mereka dengan pelbagai aktiviti dan program. Pendedahan ilmu kepada mereka dilakukan secara spontan, alamiah, kasih sayang, kemahiran dan tazkirah.
''Mereka juga dibenarkan membela ternakan seperti itik dan ayam, beriadah di sungai, berkanu dan sebagainya. Seminggu sekali kita minta bapa-bapa bermalam di sini untuk meninjau perkembangan anak-anak mereka,'' katanya.
Walaupun masih baru, beberapa prasarana dilihat sudah mula dibina untuk memberi kelengkapan dan keselesaan kepada penghuni pusat ini.
Antaranya ialah mengubah suai asrama, memperbesarkan surau untuk solat berjemaah, pondok istirehat, kelengkapan aktiviti dan kemahiran lain.
''Malah kami bercadang untuk menaikkan tempat ini sebagai inap desa yang diuruskan sepenuhnya oleh anak-anak ini pada masa depan,'' tegasnya,
Ditanya bagaimana anak-anak remaja menjadi begitu bebas sosial, Taufik berkata, kebanyakan terjadi apabila ibu bapa terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak mereka.
Ada juga yang terlalu mempercayai anak-anak sehinggakan kesempatan ini diambil oleh anak-anak untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang selain khayal dengan pengaruh rakan-rakan sebaya.
''Kita sebagai ibu bapa tidak boleh terlalu percaya dengan anak-anak. Sebahagiannya memang pandai berpura-pura. Di depan kita nampak baik, tapi di belakang kita rupanya sudah berhari-hari tidak ke sekolah. Bila tembelang mereka diketahui, semuanya sudah terlambat,'' katanya serius.
Memandangkan tempat ini masih baru, Taufik mengakui memerlukan banyak sumbangan seperti wang ringgit untuk kelengkapan penghuni.
Apa yang paling utama katanya ialah mengalu-alukan kedatangan ahli-ahli sukarelawan yang tampil untuk mengisi masa dengan anak-anak remaja itu dengan membawa kepakaran masing-masing sama ada dari segi psikologi, agama, motivasi dan kemahiran.
Malah, pihaknya mengalu-alukan sekiranya ada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu bekerjasama termasuk dari pihak kerajaan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Bagi mereka yang mahu sedikit sebanyak maklumat mengenai pusat ini boleh menghubungi talian 019-0202 2830 atau 012-201 3512.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: