Thursday, March 18, 2010

Kunjungan menteri suntik semangat


JAMIL Khir menghulurkan sumbangan kepada Patimah Isa di Kampung Gelong Machang, Kelantan, baru-baru ini.


DAN barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedangkan dia orang yang berbuat demikian maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala urusan. (Luqman: 22)

Atas tanggungjawab sebagai menteri, yang antara lain menerima amanah untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat jelata maka Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum baru-baru ini sempat bertemu rakyat dan menyampaikan sumbangan kepada individu penduduk kampung di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Selepas merasmikan Muzakarah Haji Kebangsaan ke-26 di Pusat Dagangan Kota Bharu anjuran Lembaga Tabung Haji (LTH), beliau terus berkejar ke Masjid Kampung Telaga Bata di Mukim Sering untuk bersama-sama dengan para jemaah menunaikan Solat Jumaat.

Beliau sempat bertanyakan khabar dan bermesra dengan para jemaah kemudiannya terus mengunjungi penduduk kampung yang kurang bernasib baik terutama diuji Allah dengan ujian penyakit.

Jamil Khir menghabis masa melawat Muji Abdullah dari Kampung Telaga Bata yang menderita penyakit ahmar. Kemudian pula memberikan semangat dan mendoakan kesembuhan Mohd. Faizal Akimi Sakri, remaja yang menderita penyakit saraf dan tinggal di rumah orang tuanya di Kampung Dusun Durian.

Seterusnya, beliau merasmikan dan bersama-sama dengan penduduk Kampung Chicha Menyabung, Machang untuk sambutan Maulidur Rasul.

Jamil Khir melakukan kunjungan terakhir ke Kampung Gelong Machang menziarahi warga emas, Patemah Isa yang mengalami penyakit angin ahmar. Beliau yang masih tidak mampu untuk bergerak sendiri kecuali terpaksa mendapatkan bantuan ahli keluarga kelihatan gembira dalam keharuan dengan kunjungan itu.

"Kunjungan beliau membuatkan saya rasa lebih sihat hari ini dan sebagai warga tua yang dalam keadaan uzur seperti ini, kunjungan menteri ini benar-benar memberikan suntikan semangat untuk makcik kembali sihat dan boleh berjalan seperti biasa, insya-Allah" katanya.

Walaupun tidak mewakili mana-mana kawasan parlimen, ternyata ia tidak menghalang Jamil Khir untuk bertemu, bermesra dan mengambil tahu susah payah rakyat tanpa mengira tempat dan kawasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: