Di sebalik refleksi imej formal dan serius, Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed sebenarnya memiliki sisi santai, humor dan setia pada cita rasa tersendiri dalam bergaya.
SERAGAM Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau sut angkasawan yang kadangkala dilihat membaluti tubuh lelaki ini sering hadir bersama gambaran sifat seorang lelaki yang tegas dan serius.
Hakikatnya, gaya hidup Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed, hanya diketahui oleh ahli keluarga dan kelompok rakan terdekatnya.
Apabila tidak dibatasi protokol atau aturan tugas rasmi, bujang idaman itu mengaku gemar menghabiskan pusingan jam dengan aktiviti ringkas seperti bersosial di kafe mahupun beriadah di gimnasium.
Jelas, pada satu pertemuan Stailo di pusat kecergasan Celebrity Fitness di puat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik berat badan 68 kilogram (kg) itu ramah mengatur perbualan laksana seorang rakan lama.
Berkongsi rutin latihannya di pusat tersebut, jejaka berusia 29 tahun itu mendakwa dia telah diasuh dengan didikan gaya hidup sihat sejak kecil oleh keluarganya.
Disebabkan sudah terbiasa dengan aktiviti bersukan, Faiz menyifatkan dirinya sebagai seorang yang 'gila' ke pusat kecergasan. Segala-galanya bermula daripada minat terhadap sukan angkat berat yang dicuba Faiz ketika berusia 19 tahun.
"Ketika itu, saya 'mencuri-curi' bersenam di Raintree Club, Ampang kerana sering dibawa keluarga ke tempat tersebut sebagai mengisi aktiviti kekeluargaan," katanya yang mendapat tali pinggang hitam karate-do pada umurnya 16 tahun.
|
|
Kini dia membina disiplin kecergasan di Celebrity Fitness dengan mengehadkan tempoh masa dua jam bagi setiap sesi kunjungan. Baginya, gimnasium ibarat terapi tekanan. Selain membebaskan peluh, dia mahu menjana stamina demi kesihatan.
"Walaupun mempunyai peralatan senaman ringkas di rumah, saya perlu memanfaatkan kemudahan di gimnasium sebagai pelengkap," ujar anak pertama daripada tiga beradik itu.
Namun, ada pendapat umum yang menyatakan bahawa sebahagian besar orang yang datang ke pusat kecergasan kerana tuntutan gaya hidup urban lantaran mereka berkemampuan.
Sedangkan golongan itu sebenarnya boleh mencapai tahap kecergasan dengan menjalani kegiatan sukan secara percuma di luar rumah. Apakah pandangan Faiz berhubung persoalan itu?
Menurut Faiz, dia yakin bahawa kebanyakan peminat pusat kecergasan mempunyai matlamat tersendiri.
"Saya percaya mereka ke sana bukan sekadar suka-suka. Ia dapat dinilai daripada sikap mereka yang bersungguh-sungguh melakukan senaman baik wanita mahupun lelaki.
"Mereka yang datang kesemuanya dengan niat yang sama iaitu untuk kecergasan. Misalnya, bagi yang mempunyai masalah berat badan, mereka mahu menyertai sistem tertentu yang boleh membantu mereka mendapatkan ukuran ideal.
"Bagi wanita pula mereka ingin kelihatan kekal cantik dan ramping. Jadi tiada istilah datang ke pusat kecergasan untuk tuntutan gaya hidup sahaja," ulasnya.
Faiz turut berkongsi pengalaman mengamalkan konsep latihan kecergasan berdasarkan pengambilan makanan. Itu bermakna, rutin senamannya akan digandakan sekiranya dia 'melanggar' aturan diet iaitu apabila terlebih makan.
|
|
Tambah pakar pergigian ATM itu, keseimbangan corak pengambilan makanan perlu dijaga. Memang sukar untuk seseorang itu langsung tidak menjamah makanan yang berat, maka ia perlu diseimbangkan dengan jadual senaman yang teratur.
Sarapan pagi
Jadual pemakanan angkasawan kedua negara itu dimulakan dengan sarapan pagi. Telur separuh masak, bijirin dan minuman kopi antara menunya.
"Sarapan pagi memang saya wajibkan kerana saya memerlukan tenaga untuk memulakan kerja. Hidangan tengah hari pula, saya memilih hidangan yang tinggi kandungan protein.
"Makan malam, saya makan nasi seperti orang lain tetapi kuantitinya cuma setengah pinggan atau memilih makanan yang tidak terlalu berat," terang Faiz yang tidak menolak makanan kegemaran seperti nasi lemak, roti canai dan sate.
Faiz sempat berpesan, tingkah laku sesetengah individu yang sanggup berlapar demi mendapatkan tubuh badan menawan adalah salah. Konsep sebegitu perlu diubah kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
"Jangan terlalu mengongkong selera. Yang penting, seseorang itu perlu bijak memilih makanan dan disiplin melakukan aktiviti senaman. Masalah kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan makanan dapat dielakkan jika keseimbangan itu dipatuhi," terangnya.
Faiz berpendapat, golongan lelaki masa kini secara puratanya tidak lagi memandang rendah mengenai hal kesihatan. Bagaimanapun, dia tidak menafikan tentang golongan yang terbelenggu motivasi dan komitmen untuk bersenam.
|
|
"Tiada alasan untuk tidak melakukannya. Walau sesibuk manapun anda, senaman boleh dilakukan melalui pelbagai cara. Teknik bersenam sebenarnya luas," katanya.
Destinasi untuk menguji kecergasannya pada waktu senggang kini bukan sahaja dihabiskan di gimnasium. Faiz begitu teruja memberitahu bahawa dia baru beberapa bulan berjinak-jinak dengan keseronokan aktiviti memanjat dinding.
Mengakui dirinya masih kurang mahir, Faiz positif menyeru golongan muda supaya sentiasa melibatkan diri dengan mencuba cabaran fizikal baru yang mendatangkan faedah.
Selain kemahiran interaksi sosial dan tumpuan penuh terhadap komitmen kerjaya, Faiz menyimpulkan bahawa lelaki yang mengisi waktu dengan menyertai pelbagai aktiviti riadah dan senaman dapat mengangkat status hidup mereka menjadi lebih bermakna.
"Bagi membentuk peribadi yang membolehkan kaum lelaki berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar, mereka perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Aktiviti sihat ini bukan sahaja melatih fizikal, malah mencerdaskan fikiran.
"Kriteria penting lain yang boleh menentukan kejayaan seorang lelaki adalah perasaan ingin tahu dan kesediaan untuk memperbaiki kelemahan diri," ungkapnya bersemangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: