LONDON - Pengeluar kereta lumba Formula Satu (F1), McLaren kelmarin melancarkan kereta sport komersial terbarunya, MP4-12C untuk menawan pasaran kereta berprestasi tinggi.
Dalam kenyataan sempena pelancaran kenderaan itu kelmarin firma itu memberitahu, MP4-12C direka dengan mengguna pakai teknologi canggih pasukan F1 McLaren.
Buat permulaan, sebanyak 1,000 buah kereta itu akan dipasarkan tahun depan pada harga sekitar AS$230,000 (RM760,494) sebelum kapasitinya ditingkatkan kepada 4,000 unit menjelang 2015.
Harga tersebut lebih murah berbanding kereta kategori sama keluaran jenama ternama seperti Ferrari 458; Lamborghini Gallardo; Porsche 911 Turbo; Bentley Continental GT dan Aston Martin DB9.
Bekas juara F1 yang juga pemandu kereta lumba McLaren, Lewis Hamilton dan rakan pasukannya yang juga juara F1 tahun lalu, Jenson Button merasmikan kereta sport itu di Pusat Teknologi McLaren di Woking, England.
Sebelum ini kereta kategori sama seperti Ferrari dan Lamborghini berharga sekitar AS$450,000 (RM1.4 juta).
"Kami telah lama mengimpikan untuk mengeluarkan pelbagai kereta sport McLaren bercirikan F1," kata pengerusi firma berkenaan, Ron Dennis.
Menurutnya, McLaren akan melantik pengedar di 19 buah negara bagi menjual kereta itu dengan 40 peratus jualan disasarkan di rantau Amerika Utara.
Berat cesi kereta MP4-12C itu memiliki berat cuma 81 kilogram dan boleh membawa dua orang.
Cesinya diperbuat daripada gentian karbon dan dijana enjin berkapasiti 3.8 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 600 kuasa kuda.
Kereta itu mampu mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/h) dalam masa cuma 3.4 saat dengan had laju maksimum melebihi 320 km/h.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: