Seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhuh yang ditemui mati di dalam bilik hotelnya di sebuah hotel mewah di Dubai pada Januari lalu didapati telah diberi dadah sebelum dia mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kata polis semalam.
Pendedahan polis Dubai itu sekali gus memperkukuhkan dakwaan bahawa pembunuhan tersebut dilakukan mengikut gaya agensi perisikan Mossad semasa era Perang Dingin.
"Pembunuh-pembunuh tersebut mengguna dadah jenis succinylcholine sebagai sedatif untuk Mahmoud sebelum mereka melemaskannya sehingga mati," kata Timbalan Ketua Polis Dubai, Mejar Jeneral Khamis Mattar al-Mazeina.
"Pembunuh-pembunuh itu menggunakan cara tersebut agar kematian Mahmoud kelihatan seperti kematian biasa.
"Tiada tanda-tanda bahawa mangsa melakukan tentangan," katanya.
Khamis berkata, hasil ujian bedah siasat yang dilakukan itu menunjukkan dadah tersebut digunakan.
Menurutnya, hasil ujian bedah siasat itu tidak dapat mengesan jumlah sebenar dadah tersebut disuntik kerana ia sukar untuk dikesan.
Dadah succinylcholine atau turut dikenali sebagai suxamethonium pada kebiasaannya digunakan untuk menenangkan otot dan sangat digemari oleh pakar bius dan doktor kecemasan kerana ia memberi kesan dengan cepat.
Mahmoud yang merupakan salah seorang pengasas sayap ketenteraan kumpulan Hamas ditemui mati di dalam bilik hotelnya pada 20 Januari lalu.
Secara umumnya, Mossad didakwa melakukan pembunuhan tersebut.
Mahmoud dianggap oleh Israel sebagai orang yang mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan senjata api ke Genting Gaza.
Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan telah meminta Ketua Agensi Perisikan Mossad, Meir Dagan untuk datang ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memberi penjelasan.
"Ketua Mossad, Meir Dagan sepatutnya mengaku telah melakukan jenayah itu atau bangkit untuk menafikan kejadian berkenaan," kata Dahi menerusi satu kenyataan kepada akhbar Emarat Al-Youm kelmarin.
"Namun Dagan ketika ini menunjukkan sikap penakut. Dia sepatutnya berani seperti lelaki dan nyatakan hal sebenar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: