Bermula dengan membaiki kepala singa yang rosak, hari ini Master Lim berjaya mencipta kostum kepala singanya sendiri. Lengan yang cedera dan berparut akibat terkena rangka rotan sudah sebati dengan dirinya.
WALAUPUN ruang atas bangunan yang agak usang itu sejuk dengan putaran angin kipas, tetapi Lim Meng Kok, 63, tetap berpeluh. Memakai baju tanpa lengan dan berseluar pendek, Meng Kok cukup berhati-hati ketika melukis corak-corak yang sukar pada kostum kepala singa. Saiz kostum kepala singa yang diukirnya itu hampir menutup separuh daripada badan Meng Kok.
Biarpun Meng Kok atau lebih dikenali dengan panggilan Master Lim berpengalaman luas dalam mencipta kostum kepala singa hampir tiga dekad, namun pengasas kelab Meng Kok Lion Dance Association itu seorang yang teliti. Mengapa?
"Jika tidak berhati-hati, lukisan di kepala singa akan comot. Sebelum melukis corak, kepala singa perlu dibentuk dengan rotan mengikut lengkung rim aluminium.
"Jika salah melengkung rotan, kepala singa gagal dibentuk dengan cantik. Kepala singa nampak cacat dan tidak sempurna.
"Semasa melengkung rotan juga perlu berhati-hati. Jika tersilap langkah, rotan yang dilengkung akan tercabut dan melibas tangan atau muka sehingga boleh mencederakan si pembuat," katanya yang sehingga kini masih tercedera terkena rotan semasa membuat kostum kepala tarian singa.
Master Lim merupakan sifu generasi pertama melatih penari-penari tarian singa di Meng Kok Lion Dance Association.
|
|
Dahulu, pembuatan kostum kepala tarian singa dilakukan mengikut adat, sebaliknya pada hari ini ukirannya lebih bersifat moden.
"Dulu kostum kepala tarian singa cuma menggunakan beberapa warna sahaja tetapi sekarang pelbagai warna digunakan mengikut permintaan pelanggan. Antaranya warna merah, kuning, hijau dan biru," kata Master Lim ketika ditemui di tempat pembuatan kostum singanya di Alam Jaya Cheras, Kuala Lumpur.
Master Lim yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur memberitahu, permintaan kostum kepala tarian singa bertambah pada sambutan Tahun Baru Cina.
Sehubungan itu, beliau perlu pantas menyiapkan kepala tarian singa. Paling cepat, Master Lim dapat menyiapkan kostum tersebut dalam masa tujuh hari. Jika pelanggan mahu kepala singa yang dipenuhi kepala naga, ekor ikan, kelawar, burung phoenix dan bola naga, Master Lim memerlukan masa sebulan untuk menyiapkannya.
Hiasan rumah
"Kos pembuatannya juga agak mahal, satu set ia boleh mencecah sehingga RM5,000.
"Dalam seni pembuatan kepala singa, sebenarnya ia bukan sahaja digunakan untuk tarian.
"Kepala singa juga digunakan untuk perhiasan kedai atau rumah dengan tujuan-tujuan tertentu. Biasanya ia lebih rumit kerana dilengkapi dengan pelbagai bentuk haiwan lain yang lebih kecil di atas kepala singa," kata Master Lim.
Sebagai contoh, kepala naga disatukan dengan ekor ikan, manakala pada sebelah kiri dan kanan kepala singa dihiasi dengan burung pheonix.
|
|
"Di bahagian belakang kepala singa akan diletakkan lima ekor kelawar yang mengelilingi sebuah pintu manakala di atas mata kepala singa dipasangkan bebola naga kecil," terang Master Lim.
Katanya, bentuk-bentuk haiwan dan objek di sekeliling kepala singa untuk hiasan itu membawa maksud tertentu contohnya kelawar yang mengelilingi pintu membawa maksud tuan rumah atau pemilik kedai akan dilimpahi rezeki.
Berbeza dengan kostum kepala singa untuk tarian, pembuatannya ringkas dan harganya lebih murah. Ia dijual dari RM1,800.
Fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Master Lim memberitahu, terdapat perbezaan saiz kostum kepala singa untuk tarian.
Penari tarian singa bukan saja terdiri daripada golongan dewasa, bahkan remaja dan kanak-kanak. Sehubungan itu, sudah tentu saiz badan mereka juga berbeza-beza.
"Saiznya bermula dari satu hingga lapan. Saiz satu dimiliki oleh orang dewasa yang memiliki saiz badan yang besar, manakala saiz lapan untuk kanak-kanak.
"Kepala singa juga terbahagi kepada dua jenis iaitu Fu San (mulut besar) dan He san (mulut muncung seperti itik)," kata Master Lim yang mempunyai 40 orang anak buah.
Walaupun saiz kepala singa berbeza-beza, tetapi panjang ekor kostum singa tetap sama iaitu dua meter.
Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang mahu panjang ekor singa tiga meter.
Jika ditambah dengan kepala singa, panjang kostum singa boleh mencecah sehingga empat meter.
Menurut catatan sejarah, singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan kepercayaan masyarakat Asia terutamanya mereka yang berketurunan Cina. Tarian singa menjadi satu budaya di China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam.
Setiap negara mempunyai corak dan tarian yang berbeza-beza. Tarian singa dipercayai sebahagian daripada warisan masyarakat Cina kerana sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang popular ialah tarian singa utara dan tarian singa selatan.
Tarian singa utara berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian sebagai hiburan diraja. Kostum singa terdiri daripada warna merah, jingga dan kuning (warna hijau bagi kostum singa betina).
|
|
Tarian singa utara lebih banyak melakukan pergerakan akrobatik dan bertujuan hiburan. Tarian singa selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar.
Tariannya dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan meminta tuah.
Tarian singa selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada singa utara. Ia juga mempunyai cermin dan sebatang tanduk di kepalanya.
"Sebab itulah pada musim perayaan Tahun Baru Cina setiap rumah akan mengadakan tarian singa.
"Bermula pada hari pertama raya sehinggalah hari ke-15 tahun baru Cina, permintaan dan jadual persembahan tarian singa cukup padat.
"Dahulu mercun lebih banyak digunakan, jadi permintaan tarian singa agak kurang. Tetapi selepas kerajaan mengharamkan mercun, tarian singa mula mendapat sambutan," kata Master Lim bahawa Tahun Baru Cina disambut selama 15 hari oleh masyarakat Cina.
Sementara itu, sifu generasi kedua kelab Meng Kok Lion Dance Association Lawrence Ng, 38, memberitahu, sudah 15 tahun beliau tidak menyambut Tahun baru Cina kerana mengabdikan diri pada kelab itu.
"Macam mana nak sambut tahun baru jika pada hari raya pertama seawal pukul 8 pagi lagi sudah buat pertunjukan hingga pukul 5 petang.
"Dalam sehari kadangkala kami kena buat persembahan di 12 buah rumah. Kebiasaannya, pada hari raya pertama hingga hari raya keempat, tarian singa dilakukan di rumah-rumah pelanggan, manakala pada hari kelima hingga ke-15, persembahan tarian singa dianjurkan oleh syarikat-syarikat swasta," kata Lawrence yang berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu.
Ekspresi singa
Menurut bapa kepada dua orang anak itu, disebabkan terlalu banyak permintaan persembahan tarian singa, kostum singa hanya bertahan untuk dua tahun sahaja. Kostum singa yang tidak boleh dibaiki akan diganti dengan kostum baru.
Kelab Meng Kok ditubuhkan oleh Master Lim pada 1987. Sehingga kini kelab tarian singa itu sudah menyertai pertunjukan dan pertandingan di merata-rata tempat.
Persembahan tarian singa Kelab Meng Kok biasanya mengambil masa selama 15 minit pada harga RM1,000. Harga tersebut tidak tetap kerana jika permintaan tarian melebihi masa dan menggunakan pelbagai lagu serta rentak, harganya boleh mencecah sehingga RM3,000.
"Tarian singa melibatkan dua orang penari. Dua ekor singa terlibat dalam persembahan. Penarinya seramai empat orang. Selain itu, persembahan juga melibatkan seorang pemain gendang, dua atau empat orang pemain simbal dan seorang pemain gong.
"Tarian singa terbahagi kepada dua jenis iaitu akrobatik dan tradisional. Bagi tarian akrobatik, penggerak utamanya adalah pemain di belakang yang memerlukannya melompat dan berputar.
"Bagi tarian singa tradisional, pemain yang memegang kepala singa lebih sukar. Singa perlu menunjukkan pelbagai ekspresi muka. Penarinya juga perlu mempunyai stamina yang tinggi untuk mengangkat kepala singa yang beratnya mencecah tujuh kilogram (kg)," kata Lawrence.
Tambahnya, muzik dalam tarian singa juga pelbagai bergantung kepada ekspresi muka singa. Apabila singa marah, muziknya lain dan apabila singa gembira muziknya berubah.
Muzik kata Lawrence, memainkan peranan yang penting dalam tarian singa. Terdapat banyak tenaga ying dalam muzik singa kerana ia dipercayai mampu mengusir makhluk halus.
Bagi gong dan simbal yang diperbuat daripada tembaga, ia dikatakan boleh menukarkan qi negatif kepada qi positif.
Bagi sifu generasi ketiga kelab Meng Kok, Kau Wei Chin, 28, beliau berharap kelab Meng Kok terus kukuh pada masa akan datang.
"Master Lim bersusah payah menubuhkan kelab ini dengan pengalaman yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
"Beliau gigih mendapatkan ilmu mengenai tarian singa daripada lima orang sifu sejak umurnya tujuh tahun. Sebaliknya, dalam pembuatan kostum singa, Master Lim tidak memperoleh ilmu daripada sifu-sifu itu. Pengalaman membaiki kostum yang rosak banyak membantunya.
"Dari situ, beliau mendapat idea untuk membuat kostum singanya sendiri," cerita Wei Chin yang juga menantu kepada Master Lim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: