Saturday, March 20, 2010

Ketelitian demi nyawa




APAKAH perbezaan antara menjadi pengeluar raket badminton dengan peralatan payung terjun? Berkongsi genre sama sebagai salah satu aktiviti sukan diminati remaja, bagaimanapun dalam pembuatan peralatan payung terjun, jika ia tidak dihasilkan dengan penuh teliti, nyawa pemainnya mungkin boleh terkorban bila-bila masa.

Itulah cabaran besar bergelar usahawan yang mengeluarkan payung terjun untuk digunakan pasukan tentera beberapa buah negara di dunia.

Malah, kerana itu setiap payung terjun yang dihasilkan perlu mengikut spesifikasi tanpa mengubah satu perkara pun seperti mana yang ditetapkan.

Namun, semua cabaran dan syarat pembuatan ketat itu bukanlah penghalang bagi syarikat PNP Parachute Industri (M) Sdn. Bhd., berkecimpung dalam menghasilkan payung terjun berkualiti.

Malah, menariknya syarikat yang mempunyai kilang di Kajang, Selangor itu menjadi satu-satunya kilang menghasilkan payung terjun di Asia Tenggara (ASEAN).

Pertemuan dengan Pengurus Operasi PNP Parachute, Kapten (B) Zainol Abdullah di kilangnya baru-baru ini, menyingkap lebih banyak kisah menarik tentang pembuatan produk sukan yang diklasifikasikan ekstrem itu.

PNP Parachute yang membuka kilang sejak tahun 2000 di Malaysia merupakan syarikat hasil kerjasama di antara syarikat pengeluar payung terjun terbesar di dunia dari Afrika Selatan, PISA dengan syarikat tempatan NHSB.

Menurut Zainol yang juga bekas Pasukan Gerak Khas Komando yang pernah mendapat latihan lanjutan di Amerika Syarikat, payung terjun yang dihasilkan PNP Parachute ialah payung terjun untuk pasukan militari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Mengakui faktor keselamatan dan keselesaan menggunakan produk tersebut adalah satu keutamaan, jelas Zainol, tiada tolak ansur dalam aspek itu apabila menghasilkan payung terjun.

"Kilang itu memenuhi semua kriteria utama yang diperlukan untuk mengeluarkan produk payung terjun. Malah, selain mengikut standard yang ditetapkan beberapa pertubuhan, PNP Parachute juga memiliki sijil Kualiti ISO tertinggi dan sijil Kualiti TUV Rheinland.

"Kami juga berdaftar dengan PIA (Persatuan Industri Parachute) selain memiliki sijil pengiktirafan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)," ujarnya.

Tukang jahit khas

Menjengah ke kilang membuat payung terjun tersebut di Bukit Angkat, Jalan Sungai Chua, persekitaran di dalam isi perut kilang yang mempunyai kira-kira 64 buah mesin jahit itu tenang sekali.


ZAINOL menunjukkan payung terjun yang sudah siap dijahit di kilang PNP Parachute di Kajang.


"Semua pekerja perlu memberi fokus kepada jahitan, kerana jika berlaku kesilapan, ia menyebabkan kerosakan kepada payung terjun. Akibat kesilapan itu nyawa pengguna boleh terancam apabila payung terjun rosak atau tidak dapat berfungsi dengan betul," ujarnya serius.

Jelas Zainal, kilang itu mempunyai tiga bahagian utama iaitu penyediaan bahan, pemotongan dan jahitan.

Material untuk membuat payung terjun yang menggunakan fabrik nilon akan disediakan dan dipotong mengikut saiz ditetapkan.

Kain nilon yang sukar diperoleh di Malaysia dan biasanya diimport dari Korea, Afrika Selatan atau Amerika Syarikat dipilih kerana ia sejenis fabrik yang sangat kukuh dan sukar terkoyak.

"Untuk memotong fabrik nilon kita perlu menggunakan mesin dan alat tekap untuk memastikan ukur lilit kanopi payung terjun ialah 35 kaki," ujarnya yang turut mendapat latihan khas membuat payung terjun di Korea dan Afrika Selatan.

Apabila bahagian penyediaan dan pemotongan bahan asas sudah siap sedia, fabrik nilon itu akan dicantum dan dijahit untuk membentuk sebuah kanopi payung terjun.

Memandangkan, tugas menjahit adalah antara peringkat yang paling penting dalam menghasilkan payung terjun, maka akui Zainol, mereka menggunakan tukang jahit khas dan berpengalaman. Kebanyakannya adalah lulusan Institut Pusat Giat Mara.

"Mencantumkan 30 helai kain nilon ini lebih rumit dan mengambil masa yang lama. Kerana itu, ia tidak boleh dijahit oleh sebarangan orang," ujarnya sambil memberitahu benang yang digunakan untuk menjahit juga adalah daripada jenis nilon.

Tidak boleh senget


PROSES jahitan payung terjun perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan tiada jahitan yang senget atau tidak mengikut spesifikasi sehingga mengundang bahaya.


Melengkapkan sebuah payung terjun, abah-abah juga disediakan dan dijahit sepenuhnya di bahagian itu.

Menggambarkan kesukaran dan ketelitian membuat payung terjun itu, Zainol memberitahu, sejurus selepas selesai proses menjahit payung terjun tersebut, ia akan diletakkan di bawah cahaya lampu untuk membolehkan setiap jahitan diperiksa.

Proses itu perlu untuk memastikan setiap inci kain yang dijahit tidak tertinggal atau tidak senget.

"Setiap jahitan mesti mempunyai tujuh hingga 11 tikaman jahitan iaitu merujuk kepada jarak dalam jahitan. Kalau ada yang senget atau terlebih tikaman jahitannya, payung terjun itu tidak boleh digunakan. Jahitan lama akan dibuka dan benang ditanggalkan agar proses jahitan baru dapat dilakukan semula," ujarnya.

Tambah Zainol yang pernah berkhidmat selama 27 tahun sebagai komando, seiring perkembangan teknologi semasa beberapa buah mesin di kilang itu dilengkapi dengan sistem komputer untuk memastikan pembuatan payung terjun lebih sistematik.

Jelasnya dalam proses menyiapkan payung terjun, sekeping traveller card digunakan untuk merekod setiap pembuatan payung terjun.

"Bermula dari pengumpulan material sampai ia disiapkan, kita akan rekod. Ia bertujuan memudahkan kami membuat semakan jika berlaku kerosakan. Dengan cara itu juga kami dapat mengesan pada tangan siapa payung terjun itu rosak," katanya sambil memberitahu sikap amanah paling penting untuk menjadi tukang jahit payung terjun tentera itu.

Menurut Zainol lagi, payung terjun dari kilang itu dihasilkan lengkap sebelum dihantar kepada pembeli. Sampai di kem tentera, pihak yang dilantik di sana akan memeriksa semula payung terjun sebelum digunakan oleh pasukan tentera.

Sempat bertemu dengan Pengurus Besar PNP Parachute Industri (M) Sdn. Bhd., Kolonel Ray Burgess yang kebetulan datang dari Afrika Selatan, Horizon dimaklumkan syarikat tersebut mampu menghasilkan sehingga 50 hingga 70 buah payung terjun sebulan.


PAYUNG terjun tentera berwarna hijau menggunakan fabrik jenis nilon


"Saya di sini mewakili syarikat Aerodyme di Afrika Selatan yang menyalurkan teknologi pembuatan ke kilang ini. Bagaimanapun saya hanya sesekali saya di sini untuk memantau kualiti penghasilan produk," ujar Burgess yang pernah terlibat dalam perang saudara di negara yang pernah mengamalkan Dasar Aparteid itu.

Menurut Burgess lagi, setiap payung terjun yang dihasilkan PNP Parachute mempunyai ketahanan sehingga 10 tahun jika dijaga dengan betul.

Tambahnya, dijual pada harga di antara RM10,000 hingga RM15,000 sebuah, antara jenis payung terjun yang dikeluarkan PNP Parachute termasuklah Round Static Line Personnel Parachute dan Tactical Gliding System.

Ia dibahagikan kepada beberapa jenis model iaitu Saviak MK4, Saviak MK3 (reserve), T10, T10B dan MCI-1C.

Bagaimanapun ketika diminta menyenaraikan pasukan tentera yang menjadi pelanggan PNP Parachute, atas faktor keselamatan Burgess tidak dapat mendedahkannya.

Katanya, bagi menjamin kualiti produk payung terjun yang dihasilkan PNP Parachute, ia diberi jaminan selama 10 tahun dengan khidmat selepas jualan termasuk memeriksa dan membaiki segala kerosakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: