Saturday, March 20, 2010

Jaga hubungan artis, wartawan



Isu menghina wartawan hiburan tempatan menerusi satu akaun Facebook oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini ternyata turut mendapat perhatian penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang menyifatkan perkara itu agak keterlaluan.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tak tahu apakah agenda orang yang melakukan perkara ini, sama ada kerana marahkan wartawan ataupun ada agenda peribadi yang lain. Walau apa pun agendanya sekalipun, bagi Siti perkara ini tidak sepatutnya diperbesarkan sampai ke tahap itu (menghina wartawan),” katanya yang ditemui ketika majlis pengumuman Top-5 Anugerah Industri Muzik (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sebagai artis yang terkenal dengan sikapnya yang mesra dan akrab dengan media, nama Siti turut diheret sama dalam akuan Facebook yang menghina wartawan itu.

Mungkin cemburu di atas hubungan baik yang terjalin antara Siti dan pihak media, ada pihak menuduhnya ‘membayar’ wartawan demi menjaga reputasinya sebagai artis nombor satu negara.

“Kalau kita tahu berbudi dan berbahasa, orang pun tahu menghargai kita. Sejak dulu lagi, Siti jadikan media sebagai rakan Siti kerana selagi berada dalam industri ini, artis dan media saling memerlukan antara satu sama lain.

“Tapi sepanjang Siti dalam bidang ini, tidak bermakna Siti tak pernah diduga. Apa pun yang berlaku, Siti tak perlu melatah atau marah membuta tuli. Yang penting berbincang dan berkomunikasi dengan baik. Dengan cara itulah hubungan Siti dan media boleh baik hingga ke hari ini,” katanya.

Menyentuh tentang sikap segelintir artis hari ini yang mudah melatah bila ditegur pihak media, Siti berkata, sebagai artis mereka harus menyiapkan diri terlebih dahulu sebelum melangkah ke dunia hiburan yang bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Siti pun pernah diboikot dan dimarah wartawan. Tapi kita kena tahu cara hadapinya dan harus tahu berdepan dengan wartawan,” katanya yang turut menafikan khabar angin sedang berbadan dua.

Sementara itu, menerusi AIM19, Siti telah berjaya meraih sebanyak 5 pencalonan menerusi dua albumnya, Tahajud Cinta dan CTKD (album duet bersama Kris Dayanti). Selain tercalon untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Siti juga tercalon untuk kategori yang sama bagi vokal berkumpulan bersama rakan duetnya, Kris Dayanti menerusi lagu Amarah yang sememangnya popular di kalangan peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: