Saturday, March 20, 2010

Kisah Botak Chin dalam ‘Suatu KetikaTangkal Besi’

Suatu Ketika...adalah sebuah kempen di antara Astro Citra (saluran 131) dan Astro Prima (saluran 105) untuk terus memaparkan cerita sejarah dan perjuangan anak bangsa.

Terbaru, Astro Citra dengan kerjasama dengan Red Communications telah menerbitkan sebuah lagi drama bersiri iaitu Suatu Ketika... Tangkal Besi.

Mengisahkan tentang pemburuan pihak berkuasa terhadap Huat lakonan pelakon berbakat Muniff Isa seorang penjenayah licik yang paling dikehendaki era 1970-an.

Sebuah pasukan khas yang dianggotai oleh 12 anggota polis diketuai oleh Deputi Superintendan Kamal lakonan Aaron Aziz telah ditubuhkan untuk menumpaskan penjenayah yang sangat dikehendaki itu.

Drama lapan episod ini mendapat kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan penggambaran telah dilakukan sekitar Perak dan Kuala Lumpur.

Pengarahnya Saw Teong Hin berkata, walaupun dokumentari mengisahkan jenayah yang dilakukan oleh Botak Chin, drama tersebut telah diubah suai meliputi nama, watak dan lokasi.

“Kita tidak tertumpu pada jenayah Botak Chin malah diselitkan juga beberapa penjenayah lain. Apa yang mahu dipaparkan hanyalah keberanian dan ketangkasan pihak berkuasa dalam menangani segala jenayah yang berlaku di dalam negara dalam era 70-an.

Penerbit Red Communications, Lina Tan yang menambah, kos serta jangka masa penggambaran untuk lapan episod ini melebihi untuk menghasilkan sebuah filem.

“Bukan mudah untuk melakukan penggambaran era 70-an. Di mana pakaian, lokasi juga perlu sama. Jika tidak, orang tidak tahu cerita apa. Mujur, kami dapat kerjasama yang baik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Membariskan pelakon yang mantap seperti Aaron Aziz, Muniff Isa, Radhi Khalid, Bront Palare dan Vanida Imran, diharapkan drama ini akan menjadi iktibar kepada anak bangsa di Malaysia.

Aaron Aziz yang membawakan watak seorang anggota polis berkata, pengalaman beraksi untuk drama ini begitu mengujakan.

“Bukan mudah untuk berlakon dalam drama seperti ini yang banyak kisah sejarahnya. Tapi atas tunjuk ajar, saya berjaya juga.

“Tambahan pula ini merupakan kisah sejarah di Malaysia, saya ini orang luar. Kesempatan ini saya dapat belajar mengenai sejarah di sini,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: