Monday, March 22, 2010

Fesyen artistik kitar semula


PENGUNJUNG berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen dan dandanan rambut menarik.


DERUMAN enjin jentera Formula Satu (F1) kini menggegar kembali apabila 12 buah pasukan F1 akan berkampung di Malaysia untuk perlumbaan di Litar Sepang pada 4 April ini. Apa yang pasti, kehebatan jentera F1 tidak hanya berlaku di trek perlumbaan, tetapi tempiasnya turut dirasakan sehingga ke pentas peragaan fesyen.

Sempena musim F1 itu, lebih 70 fesyen bakal ditonjolkan dalam Festival STYLO yang mana bertemakan Fashion To Art, Art To Fashion: The 7 Deadly Sins.

Dalam festival fesyen selama lapan hari itu, beberapa lokasi di sekitar ibu kota akan dijadikan pentas peragaan dengan mempersembahkan pelbagai potongan rekaan.

Antara lokasi yang bakal menjadi pentas peragaan Festival STYLO termasuklah di Jalan Bukit Bintang dan pusat beli-belah Pavilion.

Tema tersebut dipilih berdasarkan isu pemanasan global. Mesej tanggungjawab terhadap alam sekitar dianggap begitu sesuai disampaikan menerusi sesi penjelajahan festival itu yang bermula 25 Mac ini.

"Setiap rekaan akan diketengahkan oleh pereka muda tempatan akan menggunakan bahan buangan kitar semula sebagai terasnya. Kebanyakan daripadanya merupakan sampah-sarap yang dibuang setiap hari seperti plastik, kertas, tin dan sebagainya.


PERTUNJUKAN fesyen Festival STYLO bakal mengangkat tema pemanasan global yang bertujuan menyemai perasaan kasih dan sayang terhadap alam sekitar.


"Kira-kira 30 sehingga 50 kilogram barangan buangan akan dikitar semula untuk dijadikan sebahagian daripada material busana fesyen yang akan ditonjolkan ketika F1 di Sepang nanti," jelas Presiden STYLO, Datuk Nancy Yeoh ketika majlis pelancaran di Pavilion baru-baru ini.

Beberapa nama pereka muda yang bakal menunjukkan bakat mereka pada pentas Festival STYLO sempena perlumbaan F1 ialah Hatta Dolmat dan Amir Luqman.

Bagi menarik perhatian orang ramai, sebanyak 28 arca bersaiz besar yang diperbuat daripada bahan kitar semula juga akan diletakkan di lokasi yang sering dikunjungi sekitar ibu kota.

Dalam pada itu, fesyen tersebut juga akan ditonjolkan berasaskan emosi manusia. Selain itu, peluang keemasan turut diberi kepada para pelajar tahun akhir pengajian fesyen untuk mengetengahkan idea rekaan menarik.

Para pereka baru yang mengambil bahagian dalam pertujukan tersebut juga bakal bersaing menerusi Anugerah Fesyen Mercedes Benz STYLO.

Tambah menarik, festival itu akan disinari dengan pemandangan kesenian Minggu Fesyen London iaitu ONES to WATCH.


BARANGKALI pereka fesyen ini ingin mengetengahkan mesej tentang impak negatif penggunaan beg plastik.


Pereka antarabangsa Marko Mitanovski yang merupakan orang yang bertanggungjawab menata gaya penyanyi terkenal Lady Gaga turut turun ke padang memberikan ilham sentuhannya.

Mitanovski dan pasukan pendandannya akan menghadiri Anugerah Fesyen Mercedes Benz untuk memberi kejutan kepada peminat fesyen dengan koleksi The Lady Macbeth.

Kelainan yang ditonjolkan pada festival kali ini adalah gabungan industri pendandan rambut dengan memaparkan potongan rambut cukup luar biasa.

Justeru itu, anda bukan sekadar dapat menyaksikan keunikan baju daripada para pereka bahkan mengagumi gaya rambut yang dibawakan oleh The Hair Couture.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: