Monday, March 22, 2010

Penjaga tekstil unggul negara




DUDUK santun di atas singgahsana yang dihias indah sambil menggayakan persalinan songket corak bunga tabur, gelaran raja sehari perlu seiring dengan faktor penampilan hebat pasangan mempelai.

Si jejaka segak dan tampan dengan lilitan tengkolok di atas kepala, berbaju Melayu dan keris tersemat di pinggang, manakala pengantin perempuan pula kelihatan anggun dengan busana kebaya, cucuk sanggul dan aksesori emas.

Penampilan pasangan di persandingan lazimnya ditata secara sedondon. Ia bagai menghidupkan aura kegemilangan pemerintahan raja-raja Melayu sejak dahulu kala. Namun, pengalaman menyaksikan pasangan pengantin dalam penampilan sedemikian sudah jarang dinikmati pada hari ini. Cuma yang kekal hanya lilitan tengkolok dan kain samping.

Jika penelitian aspek ini tidak diberi perhatian khusus, tidak mustahil suatu hari nanti kain songket yang digunakan untuk menghasilkan tengkolok dan samping turut digantikan dengan fabrik lain.

"Perkahwinan sekitar tahun 1980-an dan pada era milenium ini memperlihatkan jurang yang terlalu besar. Sebelum ini bakal pengantin berebut-rebut mencari fabrik songket berkualiti untuk dijadikan busana pada hari persandingan. Tapi kini tidak lagi kerana fabrik yang kerap menjadi pilihan ialah kain renda Perancis.


BAJU Melayu memang segak dipakai si jejaka yang yakin dengan semagat kemelayuannya.


"Persoalannya, mengapa tekstil dari luar negara yang direbutkan? Apakah fabrik songket warisan kita tidak mampu untuk menyerlahkan seri pengantin? Sedangkan kain songket yang ditenun dengan benang emas atau perak itu kelihatan cukup eksklusif untuk digayakan. Buktinya, lihat saja betapa anggunnya busana Puteri Perak dan Cik Siti Wan Kembang," keluh Kurator Muzium Tekstil Negara, Rosidah Abdullah kepada Stailo.

Kekecewaan Rosidah tentang kain songket yang dianaktirikan jelas terpancar. Tambahnya, segelintir masyarakat menjadikan soal harga songket sebagai alasan mengapa mereka beralih pada fabrik import. Sedangkan harga songket yang tinggi adalah seiring dengan kualiti dan kepayahan proses membuatnya.

"Secara tidak langsung nilai eksklusif pasangan mempelai terjejas dek menyarungkan busana yang diperbuat daripada kain renda Perancis.

"Sebabnya rata-rata pakaian tetamu yang hadir turut dihasilkan daripada kain yang sama. Jadi apa bezanya raja sehari yang sedang bersemayam di atas pelamin dengan para tetamu? Semuanya nampak sama," kata Rosidah sewaktu menunjukkan cara-cara pembuatan dan asal usul fabrik songket yang dipamerkan di muzium tersebut.

Galeri-galeri muzium

Diberi peluang meneroka setiap pelosok pameran di dalam Muzium Tekstil Negara, ternyata usaha mewujudkan sebuah muzium yang mengangkat martabat tekstil negara tidak sia-sia. Muzium yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Endon Mahmood itu secara tidak langsung menjadi pusat yang bertanggungjawab mengumpul, menyelidik dan mengekalkan koleksi tekstil negara.

Pada masa yang sama, ia mempamerkan himpunan fabrik pelbagai etnik di Malaysia. Selain pakaian tradisional masyarakat Melayu, Cina dan India, turut dihimpunkan adalah koleksi pakaian peribumi Sabah, Orang Asli dan Sarawak.

Misi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap nilai, etika dan estetika dalam penghasilan, penggunaan, pemakaian, pembudayaan serta perkembangan tekstil.

Apabila melangkah ke dalam perut muzium, pengunjung diajak menyusuri galeri Pohon Budi terlebih dahulu. Galeri yang terletak di hadapan pintu masuk muzium itu ibarat pembuka panggung pentas tekstil.

Sarat dengan kisah-kisah sejarah tekstil yang bermula dari zaman pra sejarah dan dikembangkan melalui jalan perdagangan.


PRAKTIKALITI dan keanggunan busana Puteri Perak yang berasaskan songket sungguh istimewa.


Galeri Pohon Budi merupakan lubuk ilmu yang menerangkan kepada pengunjung tentang proses pembuatan kain tradisional dan penggunaan bahan-bahan semula jadi.

Itu termasuklah penjelasan mengenai lembaran kain yang dihasilkan daripada kulit kayu terap, serat nanas dan anggerik hutan. Kaedah tersebut cukup dikenali di kalangan masyarakat Orang Asli dan peribumi Sabah serta Sarawak suatu ketika dahulu.

Keseronokan pembelajaran lebih dirasai apabila dibantu dengan sesi demonstrasi oleh patung-patung khas dan keterangan yang tertera pada papan kenyataan.

Selain mengetahui teknik tenunan pengunjung turut diberi peluang meninjau proses sulaman, tekatan, mengait dan hiasan manik pada tekstil unggul negara seperti songket, pua kumbu, telepuk, tekatan, keringkam, linangkit dan kain pis.

"Pihak muzium berusaha mempamerkan artifak yang terbaik agar dapat menyemai perasaan kasih dan sayang dalam diri masyarakat tempatan terhadap tekstil warisan negara.

"Malah, kami turut mempamerkan kain cindai berusia antara 300 hingga 400 tahun yang telah dibawa oleh pedagang dari India ke Tanah Melayu.

"Negara kita juga kaya dengan tekstil menawan dan berkualiti serta memiliki 16 proses penghasilan fabrik," terang Rosidah yang turut memberitahu terdapat tiga lagi galeri yang harus dikunjungi iaitu galeri Pelangi, Teluk Berantai dan Ratna Sari.

Galeri Pelangi menghimpunkan koleksi tekstil tradisional kain pelangi yang turut dikenali sebagai kain benang raja kerana terdiri daripada bermacam-macam warna.

Begitu juga dipamerkan koleksi masyarakat Cina, Baba dan Nyonya yang kaya dengan sulaman benang sutera, benang emas dan manik-manik serta koleksi kain etnik Sarawak dan Sabah yang penuh dengan kehalusan dan motif yang beraneka.


SELAIN pakaian tradisional Melayu, Cina dan India, Muzium Tekstil Negara turut menghimpunkan koleksi pakaian peribumi Sabah, Orang Asli dan Sarawak.


Di galeri Teluk Berantai, keunggulan tenunan songket Melayu diangkat menjadi lambang penyatuan rumpun Melayu dalam menghasilkan fabrik warisan yang berkekalan sehingga ke hari ini.

Pengunjung berpeluang mendekati kehalusan koleksi warisan Melayu seperti tekatan, kelingkan, kain tenun, kain limar, songket atau kain berayat.

Tambah Rosidah: "Tekstil dan aksesori bagai isi dan kuku. Sehelai busana yang membaluti tubuh seseorang tidak lengkap dan ceria dengan kehadiran aksesori yang bersesuaian. Menyedari faktor tersebut, di bahagian atas muzium ini terdapat galeri Ratna Sari yang menempatkan koleksi aksesori."

Menurutnya, Ratna Sari sesuai diberikan pada koleksi terpilih barang kemas. Di galeri ini, pengunjung dapat mengetahui seni kepakaran pelbagai kaum dan etnik yang kreatif dalam menghasilkan barangan kemas yang dipakai dan diwarisi zaman berzaman.

Antaranya ialah mahkota, cucuk sanggul, dokoh, pending, gelang tangan, caping dan gelang kaki."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: