Tuesday, March 2, 2010

Dengarnya... Daripada jongang kepada juling pula



Julia Ziegler

SELEPAS Halimah Jongang yang mendapat pelbagai maklum balas, Cik Normah tengok Astro Prima sekarang ini sedang ligat pula buat promo untuk telefilem terbaru mereka berjudul Fatimah Juling.

Kalau tidak silap Cik Normah, Fatimah Juling juga diterbitkan oleh syarikat yang sama iaitu A Aida Production. Kalau Halimah Jongang dilakonkan oleh Sheera Iskandar, Fatimah Juling pula dibintangi oleh Julia Ziegler.

Cik Normah tak kisah cerita apa pun yang produser televisyen tempatan kita nak buat, tapi Cik Normah yakin lepas ini jenuh telinga Cik Normah nak menjawab panggilan telefon daripada penonton yang tak puas hati dengan judul Fatimah Juling.


Cik Normah bukanlah berfikiran tidak terbuka, cuma Cik Normah tertanya-tanya apa perlunya meletakkan judul drama yang boleh menyebabkan penonton kecil hati. Mentang-mentang Halimah Jongang dapat rating tinggi, penerbitnya dan juga Astro nak cipta rekod lagi apabila menerbitkan pula drama Fatimah Juling.


Tak kisah apa pun alasan penerbitnya, nak menaikkan martabat golongan itu atau sebagainya, pada Cik Normah alasan diberikan sedikit mengarut. Kita tak berada dalam kedudukan mereka, memanglah sedap mulut dan hati kita saja nak buat drama sedemikian.

Cuba kalau si produser itu sendiri bergigi jongang dan matanya yang juling diejek atau dipersendakan macam dalam kedua-dua drama itu, macam mana rasanya? Bukan setakat judul yang menjengkelkan, bahkan siap disertakan pula dengan lagu. Tapi Cik Normah kurang pasti adakah Fatimah Juling ada lagunya juga.

Cik Normah harap Astro pun sensitif sikit dengan pelanggannya. Cik Normah bukannya apa, cuma simpati pada orang yang menjadi bahan ejekan. Bimbang pula ia akan menjadi ikut-ikutan oleh penerbit drama lain pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: