Tuesday, March 2, 2010

Kurangkan lakonan demi Seniman


HARUN (lima dari kiri) bersama wakil daripada Le Deeja Enterprise dan Hot Buzz yang akan menganjurkan Karnival Ekstravaganza Sukan dan Muzik Melaka di Dataran Ayer Keroh.

Harun tidak tunggu lama untuk gerakkan persatuan

ENAM puluh empat hari memimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Presidennya yang baru dipilih, Harun Salim Bachik memang tidak perlu mengambil masa lama untuk menggerakkan pelbagai aktiviti persatuan ini.

Antara yang berjaya dilaksanakan Seniman sejak Harun memimpin persatuan itu ialah skim Simpanan Wang Pekerja (KWSP), mewujudkan insurans untuk artis, Senicare serta penubuhan koperasi.


Sejak menjadi Presiden juga, Seniman banyak menerima undangan daripada pelbagai pihak yang berminat menjalinkan kerjasama seperti Felda yang menganjurkan kempen Jom Ke Felda. Belum pun aktiviti itu berlangsung, Seniman diundang menjalinkan kerjasama menjayakan karnival selama 10 hari di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka yang dinamakan Karnival Ekstravaganza Sukan dan Muzik Melaka bermula dari 12 hingga 21 Mac.


Undangan Le Deeja Enterprise yang turut bekerjasama dengan Hotbuzz Resources itu diadakan bagi menyemarakkan lagi penganjuran Sukma ke-12 yang akan diadakan di Melaka pada tahun ini.

Harun berkata, Seniman bersetuju menyertai karnival berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap ahlinya yang terbabit dalam dunia perniagaan.



“Seniman akan sentiasa memberikan sokongan serta menghulurkan bantuan yang termampu kerana Seniman sendiri bukan bergerak pada laluan yang mudah.

“Persatuan ini juga mengalu-alukan ahli yang mempunyai perniagaan dan kita akan sentiasa cuba membantu apa yang termampu kerana Seniman sendiri pernah melalui saat sukar, jadi rasanya tidak salah jika kita memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak akhir-akhir ini Seniman menerima terlalu banyak undangan, bagaimanapun tidak semua undangan diterima kerana mereka juga memilih aktiviti yang bersesuaian dengan matlamat persatuan itu.

Harun menjelaskan, dia memenuhi undangan daripada pelbagai pihak bukan untuk menunjuk-nunjuk memandangkan beliau masih lagi baru memegang jawatan presiden. Tetapi ada ketikanya sukar untuk menolak pelawaan itu.

“Saya sedar Seniman bergerak agak pantas, kita nak menolak pun tak boleh. Bagaimanapun ada juga yang kita terpaksa tolak jika tak bersesuaian dengan matlamat kita. Bukan semua aktiviti dianjurkan oleh Seniman, setakat ini yang betul-betul diusahakan sendiri oleh Seniman ialah KWSP, Senicare dan juga koperasi yang lain-lain pula adalah jemputan dari pihak lain.

“Saya buat semua ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Saya korbankan masa dan tenaga semata-mata untuk memastikan kejayaan persatuan ini hingga sanggup menolak tawaran berlakon demi persatuan. Saya mahu dahulukan persatuan, selepas itu barulah saya akan tumpukan perhatian kepada lakonan pula.

“Saya berharap agar artis dapat luangkan masa untuk acara ini. Jangan mengejar cita-cita dan kerja saja, mereka juga harus rapatkan diri dengan masyarakat kerana tanpa mereka artis tidak akan ke mana. Mereka harus mengambil inisiatif untuk turun padang sebagai tanda penghargaan kepada peminat,” katanya.

Karnival Ekstravaganza Sukan dan Muzik bakal menyaksikan pembabitan artis dalam acara sukan yang akan dianjurkan. Antara acara sukan yang diadakan ialah pertandingan game ekstrim, bola jaring, tarik tali, street soccer dan banyak lagi. Selain itu, beberapa artis juga dijangka akan berniaga di gerai yang disediakan.

Sementara itu Pengarah Urusan Hot Buzz Resources, Mohd Amir Mohd Esa berkata, sebanyak 12 gerai diperuntukkan untuk artis yang berminat untuk berniaga sementara satu gerai lagi dikhususkan untuk Seniman.

Artis yang terbabit pada karnival itu nanti akan meluangkan masa untuk beramah mesra dengan peminat di gerai yang disediakan. Selain itu, mereka juga memberi kesempatan kepada artis yang hadir untuk mengadakan persembahan sebagai tanda penghargaan di atas kehadiran mereka.

“Kerajaan Negeri Melaka memberikan sokongan yang baik kepada penganjuran karnival ini. Selain itu juga, kita amat mengalu-alukan orang ramai yang ingin berniaga di gerai untuk turut serta dalam karnival ini bagi memeriahkan lagi acara selama 10 hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: