TERKEJUT juga Cik Normah dengan kisah yang menimpa seorang pereka fesyen yang semakin meningkat naik. Secara kebetulan, pereka yang dimaksudkan ini turut terbabit buat kali kedua dalam Anugerah Pereka Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun ini.
Kisahnya begini, pereka fesyen itu sedikit terluka dengan kerenah seorang artis popular yang turut dicalonkan pada tahun ini. Sebelum ini, pereka fesyen itu cukup berbesar hati apabila dapat menaja rekaannya untuk aktor terbabit dalam sebuah fotografi yang diadakan.
Pada pertemuan sulung mereka itu, aktor yang dimaksudkan mengesahkan untuk menerima tajaan pereka fesyen itu pada malam kemuncak ABPBH 2009 pada 4 April nanti. Namun baru-baru ini, pereka fesyen itu memberi tahu aktor terbabit seperti bermain tarik tali.
Sudahnya, Cik Normah dapat tahu pereka fesyen itu sudah tak kuasa dengan aktor terbabit. Katanya, tak taja pakaian pun tak payahlah. Entahlah, Cik Normah pun kurang pasti apa masalah dengan aktor terbabit. Nak kata tak pernah berubah perangainya, dia dikatakan sudah mula memperbaiki kelemahannya.
Terlanjur menyebut mengenai pereka fesyen, Cik Normah nak tegur sikit pereka fesyen yang akan terbabit pada ABPBH tahun ini. Harapnya, anda semua perlu jelas dengan tema yang diperkenalkan pada tahun ini iaitu Cetusan Warna.
Pemilihan warna yang menyerlah mungkin antara pendekatan terbaik untuk menarik mata yang memandang pakaian artis pada malam kemuncak nanti. Pada sidang media baru-baru ini di Palace Of The Golden Horses, Cik Normah lihat ada yang betul-betul menepati konsep tetapi ada yang lari konsep. Boleh maaflah sebab semua ini pun persiapan ‘last minute’.
Yang paling Cik Normah nak tergelak ialah busana yang dipakai dua calon ABPBH 2009 Didie Alias dan Alliza Abdullah (Enot) sudah macam badut. Malah ada kawan Cik Normah sempat bergurau, gaya dua pelakon itu sudah macam pelakon teater muzikal Gamat.
Cik Normah harap Didie dan Alliza tak ambil hati. Begitu juga dengan pereka fesyen baru yang bertanggungjawab mereka pakaian mereka. Cik Normah harap mereka semua dapat menerima kritikan ini dengan hati terbuka. Pemilihan warna busana Didie dan Alliza sudah bagus, cuma rekaannya buruk sangat. Begitu juga dengan busana digayakan Rini, peserta Akademi Fantasia musim ketujuh, yang sudah macam gaya pengantin Muslimah. Tak sesuai dengan acara permaidani merah pun.
Bukan tak ada langsung yang menarik hati, tapi Cik Normah malas nak sebut. Biar Cik Normah tegur yang tak elok supaya dapat dijadikan peringatan untuk pereka fesyen menjelang malam kemuncak ABPBH 2009. Sekali lagi, Cik Normah harap teguran ini akan membuka mata mereka. Tegur-menegur untuk manfaat bersama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: