AZHAN dan Erma Fatima cukup hebat dengan watak masing-masing. |
Erma Fatima enggan beri komen balas kenyataan pengarah teater Antara yang mendakwa dia ibarat 'kuda tunggangan'
MELAKUKAN sesuatu yang baik dan murni itu pasti banyak halangan dan dugaannya terutama apabila ia berkaitan dengan soal mengingatkan kembali perjuangan Nabi Muhammad SAW. Begitu jugalah dengan kisah di sebalik pementasan teater Antara... sempena sambutan Maulidur Rasul yang melabuhkan tirai semalam.
Hakikatnya, ketika sidang media melancarkan pementasan teater ini, penerbitnya, Erma Fatima, Ellie Suriati selaku pengarah dan diikuti pelakonnya sendiri, Nasha Aziz bagaikan tak kering air mata tatkala mula bicara mengenai perjuangan Rasulullah. Memang syahdu kerana siapa yang tidak tersentuh apabila mengenang kembali perjuangan Nabi Muhammad dalam menegakkan syiar Islam.
“Saya tak mahu teater ini menjadi medan peperangan. Kalau dia (Ellie) nak memberi kenyataan itu terpulang kepadanya. Saya halalkan apa saja yang dilakukannya dan untuk saya membalas kenyataannya memang tidaklah. Saya rasa sangat berdosa jika memberi kenyataan balas.
“Niat saya mementaskan teater ini adalah perjuangan saya terhadap agama kita. Saya tak mahu merosakkannya. Tak timbul saya mengambil alih peranannya sebagai pengarah kerana hakikatnya saya sekadar menyelaras pentas ini supaya terlaksana mengikut aturan yang sepatutnya.
TEATER Antara... sempena Maulidur Rasul di Istana Budaya berakhir semalam. |
“Dia masih pengarah teater ini. Cuma ketika pementasan berakhir, dia sendiri yang meminta namanya tidak disebut. Bagi saya, masalah itu dan ini akan timbul di mana-mana saja. Apa yang anda lihat di pentas adalah hasil kerja tangannya, saya hanya memperbetulkan kekurangan yang ada,” kata Erma ketika ditemui selepas pratonton membabitkan media Khamis lalu.
Konflik yang melanda ini terjadi apabila Erma didakwa cuba mencampuri urusan Ellie sebagai pengarah. Lalu, benarkah wujud situasi di mana Erma cuba mengganggu kerja Ellie? Barangkali jawapan yang diberikan Erma ini seperti mengiyakan apa yang terjadi.
Yang jelas, katanya, dalam satu kapal memang tidak boleh ada dua nakhoda. Sebagai penulis skrip memang salah etikanya jika dia mencampuri urusan pengarah. Namun sebagai pengkarya, kakak kepada Umie Aida ini berhak untuk mempertahankan karyanya.
“Karya Antara ini bukan mengenai kisah cinta Rumi dan Juli atau kisah cinta membabitkan dua hati. Kalau karyanya sebegitu saya mungkin tak akan mengambil peduli. Tapi karya ini sebenarnya dibikin sebagai naskhah menyambut kehadiran Maulidur Rasul.
“Sebagai penulis skrip, saya sudah membayangkan bagaimana ia harus dipersembahkan. Saya bukan tulis skrip dan serah bulat-bulat kepadanya. Sebaliknya, saya duduk berbincang dengan dia untuk memberi gambaran daripada adegan pertama hinggalah yang terakhir.
“Saya serahkan kepadanya untuk menafsir apa yang ditulis. Itu tanggungjawab dia. Dengan apa yang terjadi, saya takkan mengaku ini hasil tangan sendiri. Naskhah ini mungkin berbeza hasilnya jika berada di tangan orang lain. Saya juga takkan mengaku ini arahan bersama kami,” katanya yang menafikan menghalau Ellie keluar set pementasan, malah tidak tahu pun Ellie meninggalkan set.
Bagi Erma, apa yang dilalui Ellie pernah dirasainya sewaktu mengarahkan teater Sirah Junjungan 1 beberapa tahun dulu. Oleh kerana kesibukannya hingga sekarang, maka tugas mengarah diberikan kepada Ellie. Tambah Erma lagi, dia sudah memaafkan Ellie sejak hari pertama dia meninggalkan produksi ini.
"Dia adik saya dunia akhirat"
“DI mata saya, Ellie memang seorang yang berbakat besar. Dia adik dan sahabat saya dunia akhirat. Jika sekali lagi, kami ditakdirkan bekerjasama, saya tak akan menolak. Lagipun sudah banyak kali kami bekerjasama dalam drama.
“Dia seorang yang sangat taksub dengan kerjanya. Komitmennya luar biasa dari pagi hingga ke malam. Ketika ini, saya dapat mengandaikan dia sebagai seorang pengarah yang sangat kecewa. Dia rasa dia berhak mempertahankan apa yang dilakukannya selama ini. Dia berhak buat tuduhan itu dan ini,” katanya.
Beralih kepada buah tangan terbaru Erma ini, ternyata pujian perlu diberikan kepada semua yang terbabit. Dihasilkan dalam tempoh masa yang singkat, proses menghasilkan empat empat set utama yang membabitkan Istana Iblis, Syurga, Alam Kubur dan Titian Siratul Mustaqim berjaya dihasilkan.
Malah, sehari sebelum pementasan teater ini dipersembahkan kepada media, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) datang menyaksikan raptai. Setiap teguran diterima dan diperbaiki untuk kelangsungan teater ini. Skrip teater ini turut diserahkan kepada Mufti Perak, Tan Sri Harun Sani.
“Jakim turut menerima skrip ini dan alhamdulillah ia mendapat kelulusan. Skrip memang tiada perubahan langsung. Cuma Jakim hanya menekankan tiga perkara iaitu babak membabitkan Adam dan Hawa yang perlu dipentaskan di belakang layar putih.
“Selain itu, tarian gelek penyanyi Wana yang menyanyikan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi juga dipantau supaya tidak terlalu berlebih-lebihan. Gerakan solat dan bersujud juga tidak boleh ada dalam pementasan ini,” kata Erma.
Serik bekerjasama dengan Erma
SEMENTARA itu, Ellie Suriati yang dihubungi Hip ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya. Dengan apa yang berlaku, pelakon berbakat besar ini juga mengakui sudah serik untuk bekerjasama lagi dengan Erma pada masa mendatang.
“Cukuplah sekali. Saya sendiri tak faham apabila penulis skrip mempunyai kuasa untuk menolak fungsi pengarah. Dalam perbincangan memang tak ada istilah pengarah raptai (latihan) dan pengarah pentas utama. Istilah sebegitu tak pernah wujud. Hakikatnya itu terjadi kepada saya.
“Dia (Erma) membuat pengumuman kepada semua yang terbabit bahawa dia yang akan memikul sebagai pengarah pentas. Moral ceritanya, kalau skrip dihasilkan sendiri, lebih baik mengarah terus. Jangan mempermainkan komitmen orang dengan memberi alasan saya tidak bersedia itu dan ini.
“Jangan beri alasan untuk menutup tindak tanduk diri sendiri. Saya ada masalah bekerja dengan orang yang mempunyai agenda. Saya juga tak perlu mengambil kredit nama di atas air tangan atau usaha saya yang dirobek. Kalau macam itu, kenapa tak ambil peranan mengarah dari awal,” tegas Ellie.
Ironinya, apa yang terjadi kepada Ellie dirumuskan ibarat baru nak tarik nafas kemudian nyawa direntap. Apa yang terjadi ini seperti memperlihatkan Ellie seperti bola yang boleh ditendang ke sana ke mari seperti Ellie tidak pernah wujud sedangkan dia yang diberi kepercayaan pada peringkat awal.
“Kenapa perlu buat cerita berlandaskan agama sedangkan berlaku penindasan yang tak sewajarnya. Adakah kita ini orang munafik yang ingin dipandang mulia. Dia tak perlu nak menghalalkan apa yang sudah terjadi kerana saya bercakap benar.
“Saya pergi bekerja dengan restu suami dan pandangan anak-anak. Lalu, kalau saya diperlakukan begini, kenapa perlu saya meneruskannya. Saya tarik diri bersebab. Bayangkan kalau penulisan anda diambil seseorang dan kemudiannya ia diubahsuai dan ditukar nama kepada orang lain, apa anda rasa?” katanya.
Hampir keseluruhan babak arahan Ellie sudah dirombak Erma. Apa yang anda tonton itu mungkin lahir daripada percanggahan pendapat dua wanita. Teater muzikal kerohanian ini turut menyajikan 16 lagu kerohanian yang dinyanyikan enam penyanyi popular seperti Jamal Abdillah, Hattan, Ziana Zain, Azlan & Typewriter, Iqwal dan Wana.
Lakonan Azhan Rani sebagai Ketua Iblis juga wajar dipuji apatah lagi, dia turut mempunyai asas dunia teater sebelum menerjah ke dunia lakonan TV. Erma Fatima yang turut berlakon juga selayaknya diberi penghargaan kerana lontaran vokalnya memang cukup jelas.
Teater muzikal ini turut dibantu Azizah Mahzan sebagai Maisarah, Fahrin Ahmad (Adam), Nasha Aziz (Hawa), Syammas (Qalik), Soosan Hoh (Paderi Wanita), Iqbal Mazlan (lelaki Barat) dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: