Thursday, March 11, 2010

Berfungsi remajakan tubuh

GABUNGAN teknologi terkini dengan sentuhan tradisional dalam dunia spa memang jarang menghampakan.

Rawatan guna 99 peeratus oksigen bersifat antioksidan bantu kekal keanjalan kulit.
Rawatan guna 99 peeratus oksigen bersifat antioksidan bantu kekal keanjalan kulit.

SELESA...spa mendamaikan 2,000 meter dari aras laut. PILIHAN...pelbagai jenis rawatan menjadi pilihan pengunjung. MODEN...sentuhan rekaan moden ruang masuk ke spa.


SELESA...spa mendamaikan 2,000 meter dari aras laut.
Urutan tradisional yang mungkin sedikit sedikit menyakitkan, itu saja yang saya bayangkan apabila mula melangkah ke ruang M Spa di Genting Highlands itu.


Namun selepas diberi penerangan serba sedikit mengenai rawatan oksigen sebelum diri dibelai dengan urutan tradisional terbabit, saya memang langsung tidak dapat membayangkan bentuk rawatan permulaan pada sesi berkenaan yang memanfaatkan mesin ala bentuk kapsul itu.


Tubuh yang sedia penat, hanya menurut segala arahan dan sebaik membaringkan diri di dalam kapsul putih berkenaan, saya tidak mengambil masa lama untuk terlelap seketika.


Rawatan oksigen atau lebih dikenali sebagai spa Oxy itu sebenarnya memang popular dalam kalangan peminat spa terutama mereka yang kesuntukan waktu memandangkan rawatannya hanya 20 hingga 30 minit, begitu kata Pengarah Spa, M Spa & Fitness, Nur Rachmawati.


"Rawatan itu menggunakan 99 peratus oksigen. Ia bersifat antioksidan yang membantu mengekalkan keanjalan kulit.

"Fungsi rawatan antara lain adalah membantu meremajakan tubuh dengan menyediakan dua pilihan, sama ada untuk merehatkan badan atau menggalakkan penggunanya tidur.

"Kehangatan dan getaran alat terbabit membantu untuk meningkatkan peredaran darah serta merehatkan minda," kata wanita ramah kelahiran Bali, Indonesia ini.


Apa pun, menurutnya, kesan penggunaan mesin terbabit bergantung kepada individu yang lebih banyak berasaskan keadaan tubuh ketika menerima rawatan.


"Tubuh kita mempunyai penggera semula jadi. Bagi mereka yang keletihan, tubuh dan minda berada dalam mood 'senyap' yang membuatkan diri mudah terlena kerana enjin tubuh perlu 'dimatikan' seketika," katanya.


Dibuai lena biarpun hanya sebentar di dalam mesin berkenaan, seolah-olah menyediakan diri untuk peringkat seterusnya iaitu urutan tradisional.


Menerusi pilihan urutan Bali yang paling popular dalam kalangan pengunjung spa ini, urutannya menggunakan gaya mengurut yang panjang dan mendalam.

Tidak semua yang tahan dengan tahap tekanan jari yang mengurut justeru, pengunjung boleh memilih sama ada mahu tekanan urutan hanya sederhana atau kuat. Apa sekali pun pilihan, ia sememangnya membantu untuk mengusir rasa penat pada tisu otot.


Urutan yang membabitkan urutan hingga jauh ke dalam tisu ada kelebihannya tersendiri. Ia membawa keharmonian antara tubuh dan minda di samping membantu meredakan tekanan, meningkatkan peredaran darah serta merehat dan menyegarkan tubuh.


Jika ingin mencuba jenis urutan lain, M-Spa menyediakan beberapa pilihan termasuk Swedish, Aroma dan Shiatsu. Jenis urutan lain termasuk Empat Tangan, Terapi Batuan Hangat dan Sejuk dan refleksologi kaki.


Minyak urutan terapeutik pula melengkapi sebahagian daripada proses urutan berkenaan sekali gus merehatkan diri dan mengurangkan tekanan.


Sebelum memulakan rawatan tadi, sempat juga saya meninjau sekeliling. Persekitaran spa ini memang cukup bergaya terutama menerusi konsep serba moden, baik dari ruang legar hingga ke bilik rawatan manakala pilihan rawatannya juga pelbagai.


Disediakan untuk wanita mahupun lelaki, antara perkhidmatan spa lain termasuk sauna, jakuzi, menata rias kuku kaki dan tangan serta gimnasium.

Kira-kira satu setengah jam membelai diri di spa ini, saya tidak kisah jika terpaksa memandu sehingga ke puncak lokasi peranginan ini untuk ke Hotel Genting semata-mata mahu mendapatkan urutan kerana ia nyata berbaloi.


Tidak hairan jika spa yang terletak 2,000 meter dari aras laut ini turut mendapat pengiktirafan dengan meraih anugerah Pengalaman Spa Terbaik pada majlis Anugerah Spa dan Kesejahteraan Malaysia 2009 yang diadakan baru-baru ini.


Untuk maklumat lanjut mengenai spa ini terutama pengunjung Genting Highlands, layari www.mspa.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: