Siti Saleha
Siti Saleha

Ibarat pepatah, sambil menyelam minum air. Begitulah yang dilakukan pelakon muda, Siti Saleha yang mengambil kesempatan hari raya ini dengan bercuti bersama keluarganya.

Baru tiga tahun dalam industri hiburan tanah air, gadis berusia 22 tahun ini mengakui tahun ini merupakan tahun tersibuk buatnya beraya sebagai selebriti.

Berkat penangan Nora Elena, pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum ini mengakui sepanjang bulan Ramadan lalu, jadualnya begitu padat dengan penggambaran drama mahupun filem.

“Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini semakin banyak. Boleh dikatakan sepanjang tahun ini saya begitu sibuk menjalani penggambaran drama dan filem jadi ruang untuk berehat sedikit terhad.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Apabila difikirkan kembali, usia muda seperti ini kita perlu banyak bekerja keras, namun saya masih lagi menitikberatkan soal penjagaan kesihatan.

“Jadi, kesempatan hari raya ini saya ambil untuk merehatkan diri dan bercuti bersama keluarga,” katanya yang berhari raya di Klang.

Mengakui raya tahun ini dirasakan lebih meriah, Siti Saleha berkata, kelainan rayanya kali ini adalah dengan kunjungan kakaknya, Rosnah Tracey yang sudah lima tahun tidak pulang beraya bersama keluarga mereka.

“Raya tahun ini begitu bermakna buat kami sekeluarga kerana selepas lima tahun kakak saya yang menetap di United Kingdom pulang berhari raya bersama kami sekeluarga.

“Jadi, dengan kepulangan itu kami sekeluarga merancang pelbagai perkara untuk dilakukan bersama sepanjang Syawal ini. Antaranya ialah dengan membawa kakak bercuti ke Pulau Perhentian memandangkan dia begitu gemarkan suasana pulau,” katanya yang merancang pergi ke spa semasa di pulau tersebut.


Beraya ke Terengganu

Selain perancangan bercuti, Siti Saleha berkata, mereka sekeluarga akan pergi menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka yang juga terletak di Terengganu.

Mengambil kesempatan cuti dua minggu, adik kepada penyanyi Sam Bunkface ini gembira kerana di majlis perkahwinan tersebut mereka sekeluarga sekali lagi bakal berkumpul.

“Suasana di pagi raya selalu meriah dengan kedatangan adik-beradik ayah saya seramai 14 orang. Tahun ini, salah seorang sepupu saya akan berkahwin pada 1 September ini, jadi kami mengambil kesempatan ke Terengganu untuk menghadiri majlis tersebut.

“Saya sudah dapat bayangkan bagaimana kemeriahan suasana semasa majlis perkahwinan itu nanti dengan keriuhan kami saudara mara,” katanya lagi.

Mengulas mengenai tema baju rayanya kali ini, Siti Saleha berkata, dia lebih suka menempah baju berbanding membeli baju yang sudah siap.

“Tahun ini, sejak awal lagi saya sudah menempah baju. Temanya adalah warna gelap kerana tahun lalu saya sudah memakai warna lembut,” katanya yang beraya dengan dua pasang baju tahun ini.


Duta Palmolive

Sememangnya tahun ini rezeki berganda buat Siti Saleha kerana dia baru sahaja dilantik menjadi jurucakap jenama terkemuka, Palmolive pada penghujung Ramadan lalu.

Berkesempatan menemui gadis ini semasa majlis memperkenalkannya sebagai jurucakap produk tersebut, Siti Saleha bersyukur dipilih menjadi duta pertama bagi produk itu.

Menganggap rezeki yang diterima sebagai rezeki bulan Ramadan, gadis berdarah kacukan Inggeris Melayu ini berkata, dia menerima tawaran tersebut sejak awal tahun ini.

Namun, disebabkan kekangan masa kerana jadual padatnya sebagai pelakon, pengumuman tersebut hanya dapat dibuat pada bulan puasa lalu.

“Sebenarnya saya menerima tawaran tersebut pada awal tahun ini tetapi disebabkan banyak proses yang perlu dilakukan, pada bulan lalu baru saya berkesempatan menandatangani kontrak dengan mereka.

“Saya memang pengguna produk mandian gel Palmolive, jadi rasanya tawaran itu datang tepat pada masanya,” katanya yang juga merupakan duta produk jenama Enchanteur.

Dalam perkembangan lain, Siti Saleha bakal muncul dengan enam filem pada tahun depan termasuk filem berjudul Kerat 14, Pak Pong, KL Zombie, Bravo, Pukul Habis dan Pencinta.