RAMA-RAMA sering dijelmakan dalam hikayat lama sebagai lambang kecantikan, keanggunan dan kelembutan.
Pergerakannya yang lemah gemalai turut mengilhamkan teknik rawatan kecantikan kuno yang dinamakan bebenang rama-rama.
Mengikut sejarahnya, teknik rawatan membuang bulu roma pada wajah ini telah menjadi amalan di kalangan wanita Cina sejak zaman dahulu lagi.
Kekal sehingga ke hari ini, ia kini diangkat sebagai salah satu rawatan kecantikan terbaru ditawarkan oleh rangkaian Herbaline Beauty & Spa.
Menurut pemilik Herbaline Beauty & Spa, C.K.Low, teknik bebenang rama-rama merupakan rawatan kecantikan kuno yang cukup terkenal di tanah besar China, Taiwan mahupun India.
"Malah di sana rawatan ini boleh dilihat di tepi-tepi jalan," katanya.
Menurut Low, teknik bebenang rama-rama yang secara tradisinya dilakukan dengan menggunakan gigi dan tangan itu masih kekal sebagai satu profesion biasa.
Bagaimanapun, ia seolah dilupakan dan tidak lagi dianggap penting apabila muncul salon atau pusat rawatan kecantikan moden yang lebih canggih.
"Apa pun teknik bebenang rama-rama ini kekal sebagai satu daripada ilmu persolekan inovatif dari amalan purba yang diwarisi daripada nenek moyang," katanya.
Seunik namanya, teknik mungkin dilihat mudah tetapi sebenarnya ia merupakan hasil gabungan gerakan tangan dan benang seumpama sayap rama-rama yang sedang berterbangan.
Antara kebaikan rawatan bebenang rama-rama ini ialah berkesan menyingkirkan kulit mati, jerawat, memperbaiki metabolisme kulit dan meningkatkan keupayaan penyerapan kulit.
Selepas rawatan kulit kelihatan lebih licin, cerah, gebu dan membolehkan mekap tahan lebih lama.
"Rawatan ini juga dapat mengecilkan liang roma, melancarkan peredaran darah di muka dan mencantikkan kontur wajah secara semula jadi," kata Low.
Katanya, teknik bebenang rama-rama sangat berkesan dan penting bagi setiap wanita yang ingin melangsungkan perkahwinan.
Mengikut tradisi rawatan, kejayaan teknik itu terletak dalam jarak titik tumpuan benang yang menyingkir rambut halus di wajah dengan lebih berkesan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: