
BUKAN mudah untuk menggabungkan 14 nama, jiwa dan fikiran bawah satu payung kerjasama yang digelar GX4.
Namun atas nama minat dan persahabatan, ahli daripada empat kumpulan muzik iaitu Nico, Kool, Shades dan A To Z bergabung bagi mencipta gelombang kedua dalam kerjaya mereka.
Mereka mengutip semula sinergi yang pernah terhasil pada era kegemilangan 16 tahun lalu.
Tidak dinafikan keempat-empat kumpulan tersebut mempunyai pengaruh masing-masing pada sekitar 1990-an.
Uniknya, nama GX4 dipilih kerana kesemua ahli grup ini dilahirkan pada 1960-an dan 1970-an. Individu yang lahir pada dekad itu dikenali sebagai generasi X.
Tidak hanya berdiri dalam sebuah grup atas faktor umur dan pengalaman yang hampir sama, gabungan ini juga mengekalkan genre muzik yang mengangkat nama kumpulan masing-masing.
Genre pop R&B diusung oleh Shades, rap gangsta oleh Nico, etnik pop fusion oleh A To Z dan dance pop oleh Kool. Bayangkan GX4 di atas satu pentas.
Cetusan idea GX4
Sesi fotografi GX4 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini diadakan di Restoran Golek-Golek Suasana Kampung, Gombak, Selangor. Segak berbaju Melayu, mereka kelihatan sama seperti dahulu.
Salah seorang anggota grup itu, Affa, begitu ceria dan ghairah menyusun pose untuk 13 orang rakannya yang lain.
"Idea GX4 sebenarnya datang daripada Saiful Azri atau nama glamornya Riot Kool. Selepas berbincang dengan Sheikh Qalam, akhirnya kami dapat merealisasikan projek ini.
"Selama ini pun kami tidak pernah bermusuh, cuma bersaing. Apabila Riot muncul dengan idea ini, kami berkumpul di Kampung Baru untuk bermesyuarat.
"Riot ambil inisiatif untuk telefon semua orang bagi meminta mereka berkumpul," cerita Affa mengenai idea awal GX4.
Menurut Riot, mereka pernah bersaing antara satu sama lain dan menyimpan cita-cita untuk membuat konsert bersama-sama. Malah hampir setiap kali berkongsi pentas dengan tiga kumpulan lain, cadangan sama turut disuarakan.
"Jujurnya, ini kali kedua dan terakhir kami masuk ke dalam industri muzik. Tidak akan ada kali ketiga, apa kata orang nanti.
"Kami kembali kerana minat yang mendalam terhadap muzik. Muziklah yang menyatukan kami," tambah Affa yang semakin mesra dan matang berbicara.
Ubah gaya

Setelah jambatan persahabatan dibina dan kata sepakat dicapai, kesemua nama yang pernah mekar ini keluar dengan dua buah single baharu.
Affa berkata, GX4 wujud sejak dua tahun lalu bagaimanapun mereka tidak mendapat promosi yang secukupnya.
"Saya tidak tahu di mana silapnya. GX4 kurang muncul dalam majalah, surat khabar mahupun program televisyen walhal kami sudah menghasilkan dua buah single," luahnya.
Dua single GX4 itu ialah Integriti dan Keranamu Kasih.
"Perkataan integriti yang bermaksud kejujuran sering diguna pakai oleh masyarakat sekarang, jadi kami mahu tunjukkan kejujuran GX4 untuk terus berada dalam arena muzik tanah air," kata Affa yang kini bekerja sebagai penjual kereta import terpakai.
Affa menambah: "Integriti adalah untuk semua rakyat Malaysia.
"Saya sarankan supaya ia dijadikan lagu tema untuk badan atau kempen tertentu sama ada yang dianjurkan pihak berkuasa mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
"Sedih juga kerana tema yang kami angkat ini tidak mendapat perhatian padahal lirik dan semangat lagu ini bagus."
Tegas Affa, jika ada pihak yang menganggap GX4 muncul dengan gaya dan lagu daripada resipi 1990-an, tanggapan itu salah sama sekali.
"Memang sudah 16 tahun kami tidak menyanyi. Tapi kami bukan duduk diam sahaja.
"Masing-masing sudah bekerja tetapi muzik adalah minat kami. Jadi kalau ada yang anggap kami membawakan muzik dan gaya zaman dahulu, itu salah.
"Kami meneliti dan belajar tentang muzik semasa. Ini bukan stail 1990-an. Ini produk baharu.
"Rentak persembahan, susunan muzik malah penampilan kami semuanya berlainan daripada dahulu," tegas Affa.
"Jika melihat persembahan kami, khalayak akan terkejut dengan tenaga yang kami salurkan. Lebih hebat dan bertenaga daripada dahulu.
"Contohnya, sewaktu mengadakan persembahan sempena acara Rock and Star di Lanchang, Pahang kendalian Universal Music Malaysia, ramai yang terkejut dan memberi komen positif terhadap kemunculan kami di atas pentas," luah Affa.
"Harapan kami agar dapat bertemu dengan kenalan lama dan membina semula empayar serta kepercayaan orang kepada GX4.
"Jika mengambil kami untuk persembahan, mereka akan dapat empat genre yang berbeza dalam satu," Affa mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: