![]() |
| HARRIS ALIF muncul dengan single perdananya, Kisah Yang Terindah. |
SEGAK berbaju Melayu dan bersamping, juara Idola Kecil musim ketiga dan Juara Bintang Kecil RTM ini sememangnya berada dalam mood raya.
Harris Alif yang berasal dari Pulau Pinang rancak bercerita tentang perjalanan kariernya selepas melalui pentas pertandingan yang merupakan platform terbaik untuk kerjaya nyanyiannya kelak.
Mungkin belum ramai yang dapat mendekati wajah ini, namun dengan buah tangan pertama yang berjudul Kisah Yang Terindah, mungkin ia permulaan yang indah untuk penyanyi cilik ini.
"Lagu itu ditulis oleh Pepep, pemain dram grup dari Indonesia iaitu ST12. Saya merakamkan lagu ini di Studio King, Petaling Jaya," ujarnya yang gembira dengan kehadiran single ini.
"Lirik lagu Kisah Yang Terindah bukanlah lirik tentang kisah cinta. Melodi lagu ini rancak, jadi ia sesuai dengan trend sekarang," kata Harris Alif.
Anak ketiga daripada empat beradik itu bukan sahaja menyerlah dalam bidang nyanyian bahkan melibatkan diri dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
Harris muncul sebagai pengacara program Berita Adik di TV9 dan The VSquad di ntv7. Malah, penyanyi yang lahir pada 2 September 1999 ini turut mempamerkan bakat lakonan melalui drama Sunat 21 dan Maafkan Kami.
Selain itu, Harris yang kini bernaung bawah label Universal Music Malaysia membintangi filem Aku, Kau dan Dia terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Tidak hanya itu, Harris menyumbangkan suaranya untuk filem animasi, Bola Kampung The Movie bergandingan dengan Aznil Nawawi, Ezlynn, Harun Salim Bachik dan Afdlin Shauki.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah Harris kini bertambah apabila dia dipilih menjadi duta untuk Body Glove, D&D Beauty, Staedler Malaysia untuk Erra Art Club dan Exabytes.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: