Saturday, August 18, 2012

Sambut 1 Syawal di negara orang

Ketiga-tiga krew kabin MAS berkongsi pengalaman mereka menyambut 1 Syawal ketika bertugas di awan biru.



KETIKA sebahagian besar umat Islam bertakbir memuji kebesaran Allah dan sesetengahnya bersorak kegembiraan apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri, Norzaitulina Abd. Raham, 40, pula tidak dapat menyembunyikan emosinya.

Hatinya sebak. Kesayuan semakin menghimpit hati apabila van Malaysian Airline System Bhd. (MAS) tiba di depan pintu rumahnya pada petang raya. Biarpun berat hati untuk meninggalkan ahli keluarga dan saudara-mara pada hari yang cukup istimewa itu, namun demi tugas Norzaitulina tabahkan hati.

"Tahun ini merupakan kali kelapan saya beraya di dalam pesawat. Jika tahun lepas saya ke Melbourne, Australia tetapi malam ini saya dijadualkan ke Frankfurt, Jerman.

"Penerbangan yang mengambil masa 13 jam ini dijangka tiba pada keesokan harinya. Kalau diikutkan memang sedih kerana menyambut hari raya di dalam pesawat dan di negara orang," luah Norzaitulina yang merupakan Ketua Pramugari MAS kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini di Pusat Latihan MAS di Kelana Jaya.

Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, pada awalnya agak sukar baginya menyembunyikan perasaan sedih apabila perlu bertugas pada hari lebaran. Namun lama-kelamaan dia dapat membiasakan diri.

Norzaitulina yang sudah dua dekad berkhidmat sebagai pramugari memberitahu, tahun 1991 merupakan pengalaman pertamanya menyambut Aidilfitri jauh dari kampung halaman.

Tuntutan tugas membawanya ke Kuching, Sarawak pada pagi raya sekali gus meraikan lebaran di Bumi Kenyalang.

"Meskipun masih beraya di Malaysia tetapi suasana raya di sana tidak sama seperti di rumah kita sendiri. Kemeriahan raya di Sarawak dan di Semenanjung juga banyak bezanya dari segi budaya, etnik dan makanan.

"Namun saya bersyukur kerana berpeluang mempelajari adat dan budaya masyarakat setempat. Pada masa yang sama masih berkesempatan menikmati ketupat, rendang dan kuah kacang," kata anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.


MOHD. SAIFUL dan Norzaitulina tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih setiap kali dijadualkan bertugas pada hari lebaran.


Selain di Kuching, Norzaitulina juga pernah merasai pengalaman beraya di dalam pesawat yang menuju ke Hong Kong, India, Taipei, Taiwan dan London. Kerinduan kepada keluarga dan sanak saudara semakin menebal apabila mendengar koleksi lagu raya yang diputarkan di dalam pesawat.

Bagaimanapun, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di dalam pesawat kerana mereka terlalu sibuk melayan penumpang. Namun salah satu cara untuk memujuk hati, krew kabin akan menjamu selera dengan juadah raya yang dibawa dari Malaysia. Antaranya lemang, nasi himpit, kuah kacang, rendang dan biskut raya.

"Biarpun sambutannya ala kadar tetapi ia sudah memadai buat kami mengisi kemanisan Syawal. Bagaimanapun, bekalan juadah raya yang dibawa bergantung pada negara yang dikunjungi.

"Misalnya, menu berasaskan daging sukar dibawa masuk ke London dan ia memerlukan beberapa prosedur wajib di bahagian kastam di negara tersebut. Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, saya hanya membawa nasi himpit dan kuah kacang. Rendang daging atau ayam hanya dinikmati selepas kembali ke Malaysia," jelas ibu kepada seorang anak lelaki remaja yang berumur 15 tahun itu.

Bercerita mengenai memori sepanjang bertugas pada hari lebaran, Norzaitulina menyifatkan pengalaman di Taipei pada tahun 2008 sukar dilupakan. Sepatutnya dia dijadualkan pulang sehari sebelum raya namun lain pula jadinya.

"Ketika itu kami berada di Taipei selama tiga hari selepas penerbangan dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Jadi sehari sebelum pulang ke Kuala Lumpur saya sudah pun mengemas beg pakaian dek terlalu teruja dan tidak sabar menyambut hari raya bersama keluarga.

"Maklumlah, bukan senang untuk luang masa bersama keluarga pada bulan Syawal. Namun, manusia merancang Allah menentukan. Penerbangan ke Malaysia terpaksa dibatalkan ekoran taufan teruk yang melanda Taiwan pada masa itu," luah Norzaitulina yang berpeluang pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga.

Tidak mengeluh


KREW kabin menyifatkan hari raya di dalam pesawat disambut ala kadar sahaja.


Sementara itu, ketua pramugara Mohd. Saiful Daud, 39, menyifatkan tiada apa yang istimewa beraya di dalam pesawat berbanding di rumah sendiri mahupun lokasi transit. Sebahagian besar masanya diperuntukkan untuk memberi khidmat kepada para penumpang.

Meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai pengalaman pahit, semua itu sedikit pun tidak menyebabkan Mohd. Saiful menyerah kalah dengan kerjaya tersebut, bahkan dia terus meneroka bidang perkhidmatan pelanggan bahagian pesawat.

"Sebelum menyertai MAS pada tahun 1994, saya pernah bekerja di salah sebuah bank terkemuka tetapi pada satu tahap saya ingin mencuba pekerjaan lain. Berkat dorongan dan saranan kawan-kawan saya memilih untuk menjadi pramugara.

"Jadi tiada sebab untuk saya mengeluh apatah lagi merungut apabila perlu bekerja pada hari lebaran. Ini jalan yang saya pilih dan pendapatan yang diperoleh membantu menyara kehidupan. Lagipun bukan setiap tahun saya perlu bertugas pada hari raya kerana MAS mempunyai sistem jadual bekerja yang sistematik," tegas Mohd. Saiful yang dilahir dan dibesarkan di Kajang, Selangor.

Jelas anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu, sepanjang bertugas sebagai pramugara dia pernah beraya di Jepun, Sydney, Australia dan Rom, Itali. Baginya setiap destinasi yang dikunjungi mempunyai keistimewaan masing-masing.

Tahun ini sekali lagi nama Mohd. Saiful tersenarai untuk bertugas ke luar negara pada hari raya pertama.

"Destinasi penerbangan kali ini ke Seoul, Korea Selatan dan dijadualkan berlepas pada petang 1 Syawal. Sempatlah saya menunaikan solat sunat hari raya dan bermaaf-maafan bersama keluarga dan saudara-mara.

"Ibu pula bekalkan kuih biskut Arab hasil air tangannya. Sekurang-kurangnya dapat juga menikmati kuih raya ketika berada di dalam pesawat," jelas Mohd. Saiful yang sudah 18 tahun berkhidmat sebagai pramugara.

Tambah Mohd. Saiful yang berdarah Pakistan di sebelah ibu dan Melayu di sebelah bapa, setibanya di negara transit, krew kabin akan berehat seketika selepas menempuh perjalanan yang kadangkala melebihi 10 jam.

Menikmati juadah


BERTUGAS dalam bidang perkhidmatan pelanggan memerlukan krew kabin memenuhi dan melayan kerenah penumpang sebaik mungkin.


Pada sebelah petang atau malam barulah mereka berkumpul dan meraikan hari raya secara sederhana.

"Kami akan berkumpul bersama-sama dan menikmati juadah raya yang dibawa khas dari Malaysia. Suasana semakin ceria apabila masing-masing memakai baju raya yang sempat ditempah atau dibeli dua bulan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfiltri," ujar Mohd. Saiful yang turut memberitahu Malaysia Hall sentiasa menjemput krew kabin MAS meraikan hari raya bersama bersama rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar tinggal di sana.

Juruterbang MAS, Mohd. Seth Anuwa, 25, juga tidak terkecuali meraikan hari raya di dalam pesawat. Masih segar dalam ingatan anak kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimana dia terpaksa terbang ke Medan, Indonesia sewaktu umat Islam yang lain berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya.

"Pengalaman lima tahun lalu benar-benar mengajar saya erti ketabahan. Secara tidak langsung ia membuatkan saya sentiasa bersedia untuk bertugas tanpa mengira masa walaupun pada hari raya.

"Jika dikenang kembali, perasaan sedih memang menyelubungi diri namun memikirkan tanggungjawab yang dipikul saya tabah mengharunginya. Sekurang-kurangnya saya telah memberi peluang kepada juruterbang kanan dan mereka yang sudah berkeluarga meraikan hari lebaran bersama keluarga," jelas anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu yang bergegas memandu ke Johor Bahru, Johor untuk bersama keluarga selepas tugasannya selesai.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu menyatakan walaupun beraya di dalam pesawat tetapi mood raya masih dirasai apabila dikelilingi krew kabin yang sudah dianggap sebagai keluarga kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: