Sunday, August 26, 2012

Ratu coklat 80 sen


SELAIN menguruskan perniagaan sendiri, Mazliana (kiri) turut berkongsi pengalaman dengan mengajar di Kolej Kominiti Kuala Langat, Banting, Selangor.


BERBEKALKAN prinsip rajin kenyang malas berlapar, Mazliana Mohien, 34, berazam untuk memiliki kilang menghasilkan produk coklat dalam tempoh lima tahun mendatang.

Figura yang merupakan ibu kepada dua orang anak ini memberitahu, walaupun persaingan dalam bidang pembuatan coklat kini semakin meningkat, pengetahuan baharu berkenaan coklat perlu dimiliki pengusahanya dalam memastikan keunikan produk yang dihasilkan.

“Sebut sahaja coklat, pasti semua orang terbayang kelazatan dan keenakan manisan yang diperbuat daripada koko itu. Ia kini bukan saja digilai kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.

“Saya mula mengusahakan coklat buatan tangan menerusi jenama Brilliant Chocolate di rumah sekitar tahun 2008. Idea membuat coklat timbul sewaktu menghadiri kursus pembuatan kek dan coklat buatan tangan anjuran Kolej Komuniti Mara di Kuala Langat, Selangor.

“Bertitik tolak daripada kursus itu, saya mula mengorak langkah dan berusaha memperkenalkan jenama coklat sendiri dengan memasarkannya dari rumah ke rumah. Tidak sangka coklat yang dihasilkan itu semakin mendapat tempat dalam hati pelanggan,” jelasnya.

Kreatif

Berkat galakan yang diberikan pelanggannya, beliau kemudian membuka kedai coklat di Lapang Niaga Sabarlatif, Kampung Sungai Lang, Banting. Pelbagai reka bentuk coklat yang dihasilkannya amat menarik dan mengagumkan sehingga ada yang tidak percaya ia coklat semula jadi yang boleh dimakan.

“Pada mulanya, saya sangka proses pembuatan coklat ini rumit, tetapi selepas mempelajari tekniknya, ia tidaklah susah mana. Kita hanya perlu menghancurkan kepingan coklat dan bentuk mengikut kreativiti sendiri.

“Antara reka bentuk coklat yang diilhamkan ialah gubahan coklat, lolichoc, coklat berbentuk hati, bunga, jambangan bunga dan watak kartun. Saya lebih menekankan kepada gubahan kreatif menggunakan coklat untuk tampil unik dan berbeza daripada pengusaha coklat yang lain,” ujarnya.

Khasiat coklat

Menurut Mazliana yang juga mempunyai kepakaran dalam membuat kek cawan bagi memberi variasi kepada pelanggannya, dia akan memastikan coklat buatannya berkualiti dan cuba menyuntik kreativiti segi reka bentuk dan adunan.

Selain itu, Mazliana turut memperkenalkan coklat gubahan untuk pelbagai acara seperti majlis perkahwinan dan pertunangan bagi pelanggan yang inginkan kelainan pada acara bersejarah masing-masing.

Coklat berkenaan boleh didapati dengan harga RM50 hingga ratusan ringgit dan ia bergantung kepada reka bentuk, bahan dan saiz. Ada juga coklat lain yang boleh didapati dengan harga serendah 80 sen.

Bagi penggemar coklat, ada sesetengah yang beranggapan makanan itu boleh meredakan tekanan dan menerbitkan perasaan gembira. Mungkin ia ada kebenarannya kerana coklat itu manis dan cantik sehingga ia dapat meredakan kekusutan seseorang.

Bukan itu saja, mengikut kajian, coklat sebenarnya makanan berkhasiat yang menyumbang kepada pemakanan seimbang berdasarkan kepada asas pemakanan.

“Coklat ialah makanan ringkas yang boleh dibawa ke mana saja dan dimakan pada bila-bila masa, selain mengandungi nilai tenaga yang tinggi. Oleh itu, coklat amat sesuai dijadikan makanan gantian ketika seseorang sibuk bekerja,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Mazliana menambah, coklat kini boleh diperoleh dalam bentuk bar dan pelbagai rekaan kreatif yang pastinya memikat sesiapa yang melihatnya. Disebabkan rekaan yang kreatif dan cantik itu jugalah mungkin ada yang berasa sayang untuk memakannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: