Monday, August 27, 2012

Rai ulang tahun kor di Lubnan

AntarA yang meraikan sambutan ulang tahun kor di Lubnan baru-baru ini.

SATU majlis sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) bagi Kor yang berkhidmat dengan Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) di Lubnan telah dilaksanakan baru-baru ini di Dewan Tibnine Junior Club.

Sambutan ini adalah untuk meraikan hari ulang tahun bagi Kor Perkhidmatan AM (KPA), Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dan Kor Ordnans Diraja (KOD).

Ia telah dihadiri semua anggota Malbatt yang terdiri daripada pelbagai cabang perkhidmatan untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun kor terbabit yang sama-sama menabur bakti di bumi Lubnan.

Bagi KPA, ini adalah sambutan ulang tahun yang Ke-54.

Menurut pegawai KPA yang turut serta dalam pasukan Malbatt 4 iaitu Kapten Shahizam Mohd. Sharif, beliau merasa amat terharu dengan majlis diadakan bagi meraikan anggota-anggota Kor KPA.

Walaupun jumlah anggota KPA dalam misi itu hanya empat anggota tetapi kesanggupan pihak pengurusan Malbatt 4 mengadakan majlis khas seperti itu menggambarkan bahawa kehadiran mereka amat dihargai.

Mengulas tentang sambutan yang dilaksanakan, Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad berkata, majlis itu diadakan untuk menghargai setiap anggota kor yang menganggotai pasukan Malbatt 4.

"Kehadiran mereka walaupun dalam bilangan yang kecil tetapi tetap memberi sumbangan yang cukup penting kepada Malbatt 4 bagi memacu tugas-tugas keamanan di bumi Lubnan," katanya.

Bagi Kor KPD, JLJD dan Ordnans Diraja, ini adalah merupakan sambutan ulang tahun mereka yang Ke-55.

Jurucakap KPD, Lt. Kol. Azmi Khairi berkata, sambutan yang diadakan oleh pasukan MALBATT 4 itu cukup bermakna kepada semua anggota KPD.

Katanya, walaupun mereka jauh di perantauan tetapi setiap jasa dan pengorbanan sentiasa dihargai.

Pegawai Kor JLJD Mejar Hashim Osman, mengucapkan terima kasih kepada Komander Malbatt 4 kerana telah menganjurkan satu majlis istimewa bagi meraikan hari ulang tahun itu bersama dengan seluruh warga Malbatt 4 di Lubnan.

"Sesungguhnya penghargaan ini telah membakar semangat mereka untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang sehingga tamat misi di Lubnan," katanya.

Bagi Kapten AtanMohamad Hassan, beliau mewakili semua warga Kor Ordnans yang berkhidmat dalam pasukan Malbatt 4 merasa amat terharu dengan sambutan yang diadakan bagi meraikan ulang tahun pasukan mereka.

"Dengan komitmen dan bebanan tugas yang banyak, pihak pengurusan Malbatt 4 masih sempat mengadakan majlis ini bagi mengingati tarikh penubuhan dan memberi penghargaan khidmat bakti kepada anggota Kor Ordnans yang bertugas dalam pasukan Malbatt 4.

Bagi penganjur majlis sambutan itu iaitu Timbalan Komander Malbatt 4, Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar, tujuan utama majlis itu diadakan bagi menghargai pengorbanan setiap anggota Kor yang berkhidmat di dalam pasukan itu.

"Ini merupakan salah satu bentuk pengiktirafan yang berupaya dilakukan oleh Malbatt 4. Walaupun majlis yang dilaksanakan adalah kecil dan ringkas tetapi ia memberi kesan yang besar dan semangat yang mendalam kepada setiap anggota yang terlibat.

"Selain daripada itu, sambutan yang diadakan juga merupakan satu simbol keutuhan pasukan Malbatt 4 yang sama-sama meraikan setiap hari ulang tahun secara bersama tanpa mengira latarbelakang perkhidmatan atau kor anggota yang terlibat.

"Sesungguhnya aktiviti sambutan yang dianjurkan ini telah dapat memberi kekuatan moral yang besar kepada setiap warga Malbatt 4 untuk terus bersatu dan berbakti dengan lebih cemerlang di bumi Lubnan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: