Thursday, August 9, 2012

Pelbagai gajet Muslim

Dalam kita berlumba-lumba membeli pelbagai jenis gajet, mungkin kita terlupa dengan gajet-gajet berkaitan kehidupan seharian seorang Muslim.

Sememangnya sukar gajet berkenaan untuk bersaing dengan gajet yang ada di pasaran tetapi dengan kelebihan tertentu tidak mustahil mendapat tempat di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Sepanjang Ramadan, sudah tentu ramai yang mengambil kesempatan bertadarus sambil memperbetulkan bacaan al-Quran beramai-ramai.

Bagi mereka yang mengaji sendirian di rumah mungkin al-Quran digital dapat membantu mereka menyempurnakan bacaan.

Justeru sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai produk digital muslim sejak 2002, Enmac Technology (M) Sdn. Bhd. tampil dengan kelainan tahun ini.

Bermula 10 tahun lalu, Enmac telah mengeluarkan beberapa versi al-Quran digital untuk pengguna Islam.

Pengarah Urusannya, Mohamed Azam Shah Aziz Mohammed berkata, walaupun terdapat banyak al-Quran digital di pasaran, pihaknya menawarkan kelainan dengan membolehkan pengguna mendengar bacaan ayat demi ayat.

"Teknologi ini boleh dikatakan pertama di dunia," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pembelajaran ayat demi ayat amat berguna bagi mereka yang mahu membetulkan bacaan al-Quran.

Mohamed Azam berkata, caranya amat mudah hanya dengan meletakkan hujung pen pada ayat di muka surat dalam al-Quran.

"Kami menggunakan teknologi barkod yang biasa digunakan di pasar raya.

"Menggunakan teknologi ini menyebabkan setiap muka surat al-Quran dicetak dengan tiga lapisan iaitu lapisan pertama muka surat al-Quran, lapisan kedua barkod dan ketiga laminasi," katanya.

Apabila pen diletakkan di atas muka surat al-Quran, kamera yang terdapat di hujung membaca barkod dan menukarkannya dalam bentuk audio.

Mohamed Azam berkata, segala operasi dilakukan di pejabatnya bermula dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga kepada perisian, reka bentuk muka surat, rakaman dan produk akhir.

"Kami mempunyai segala kepakaran terutama pengaturcara komputer bagi membina semua perisian," katanya.

Cuma cetakan saja dilakukan di luar kerana Enmac tidak mempunyai kemudahan untuk mencetak.

"Pengguna tidak rugi melabur dalam gajet Muslim kerana My Qalam mempunyai banyak kelebihan," katanya.

My Qalam, kata Mohamed Azam memberikan pengguna pilihan bacaan sembilan orang qari dengan tiga bahasa terjemahan yang boleh dipilih.

Pembaca juga boleh menyemak bacaan dengan merakam suara mereka selain mengawal volum pada al-Quran dan pen.

Pengguna tidak perlu gusar kerana naskhah al-Quran yang disertakan mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disertai kelulusan lajnah ustaz yang menyemak semua bacaan di dalamnya.

Pakej My Qalam mempunyai pen, pengecas, fon kepala dan satu kad indeks.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.enmac.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: