Sunday, August 26, 2012

Merdeka karya



SATU hal yang jelas apabila berbicara dengan tiga rangkaian jiwa besar ini terletak pada susunan bahasanya. Jujur dalam melemparkan buah fikiran, tambah selesa apabila setiap ayat menjadi penjelas bait-bait yang ikhlas dan membina.

Mereka bukan sekadar berkongsi tetapi turut memberi pengamatan dan pengajaran tentang apa yang pernah mereka lalui. Itu satu hal yang sewajarnya dipelajari oleh anak-anak muda dalam berkomunikasi - bagaimana Pyan Habib, Ramli Sarip dan Khalid Salleh melontar kata dan memerdekakan jiwa yang mendengar ceritera mereka.

Masjid India di Kuala Lumpur menjadi saksi gaya santai tiga seniman ini disatukan.

Mereka berkongsi cerita dan waktu, walaupun bukan berjanji tetapi jodoh sering membawa mereka ke situ.

Kata Pyan Habib: "Selangor Mansion ialah tempat kutu. Dari tempat minum teh tarik di sini, kita boleh nampak KLCC," guraunya tentang keintiman berada di sebuah restoran mamak di Selangor Mansion.

Bebas intelek

Ditilik kronologi dan titik temu, Pyan Habib pernah berkolaborasi dengan Ramli Sarip dalam filem Kembara Seniman Jalanan. Khalid dan Pyan pula bergabung bawah satu payung bernama Anak Alam sejak awal tahun 1970-an lagi.

"Saya kenal Khalid tak lama, tapi rasa macam dah lama," tutur Ramli.

Mencelah sebelum lelaki dari Singapura itu bertutur lebih lebar, Khalid yang mesra digelar Wak itu mencelah: "Benda ini misteri. Kadang-kadang kita rasa kita kenal padahal hanya kenal dari jauh."

Disambung semula oleh Ramli: "Ada kerinduan dan kemesraan dan bila duduk bersama, kita ada penghormatan sesama sendiri. Itu yang paling best."

Tersenyum sebelum bahagiannya tiba untuk mula menyusun ayat, suara 'mahal' daripada kerongkong penyair luar biasa, Pyan pula menoleh saat mula mereka boleh bersatu jadi kawan.

"Wak pernah jadi teman serumah saya, masa itu kami sama-sama dalam Anak Alam. Tapak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan sekarang itu dahulu rumah kami.

"Dia juga pernah berlakon bawa karakter saya dalam drama Gelisah Seorang Seniman. Pertama kali jumpa Ramli dalam filem Kembara Seniman Jalanan," berbutir dan jelas kedengaran suara Pyan seperti terkenang kisah lama.


SEDAR ruang, sedar diri dan sedar Tuhan, itu antara lain kata mutiara yang dikongsi Wak Khalid.


Mukadimah kepada 'perikatan' Pyan, Ramli dan Khalid itu hanyalah persahabatan namun di sebalik pertemuan terancang itu juga, nawaitu kami adalah untuk menelaah erti kemerdekaan yang ada dalam alir darah seniman masing-masing.

Mendahului rakan-rakan lain, sebutir demi sebutir falsafahnya yang ampuh di dadanya mula keluar daripada mulut Wak Khalid.

Hukum alam

"Tidak semua orang boleh berkarya, sebaliknya orang yang diberikan anugerah dan kelebihan sahaja. Kelebihan itu pula harus difikirkan untuk hal yang bagaimana. Kalau buat filem, filem yang bagaimana, yang mendaulatkan agama, bangsa dan negara.

"Saya percaya setiap orang ada tanggungjawab untuk angkat sesebuah isu jadi bahan pemikiran, untuk dilihat dengan pandangan berilmu dan bukan sekadar 'pak turut'," katanya sarat memberi contoh perfileman Hollywood sebagai propaganda yang berjaya membentuk kuasa Amerika Syarikat sebagai negara terkuat dunia.

Menjawab persoalan terhadap rungutan bahawa anak Malaysia tidak cukup merdeka dalam berkarya dek kekangan kenegaraan, agama dan budaya, Wak tersenyum sinis.

"Setiap manusia bebas mengeluarkan pandangannya tapi sejauh mana erti kemerdekaan itu difahami dengan jelas, ia masih satu persoalan yang bersilang tindih. Bebaskah diri dan negara itu untuk beraja sebagai sebuah negara merdeka?

"Adakah amalan-amalannya itu merdeka dari segi agama, bangsa dan negara? Merdekakah orang yang melaung-laungkan ungkapan merdeka itu?" lontar Wak kembali kepada soalan asal.

Percaya aliran yang ada dalam jiwanya, sebagai pelakon, penyair bahkan juga penulis yang menghasilkan buku Melayu Hilang Di Dunia, Wak berasa dia seorang yang merdeka dan bebas membentuk acuan karyanya.

"Lepas buku itu diterbitkan, saya kena belasah balik oleh pemimpin ataupun ahli ulama. Saya terbuka untuk dikritik," katanya.

Mendengar dan kemudian mengangguk setuju dengan penyataan daripada Wak Khalid, giliran Ramli untuk berwacana.


'MENANGKAP' kata-kata mutiara mereka bertiga ini merupakan sebuah makanan jiwa buat yang mendengar.


"Kalau tujuan penulisan itu dilihat untuk menderhaka, saya percaya dia sudah kena tangkap. Maknanya tulisan dia ada logiknya dan dia ada kebebasan di situ.

"Bercakap soal bebas atau merdeka, di mana pun kita berada kita tidak bebas sepenuhnya. Apa yang boleh kita lakukan ialah menghormati kemerdekaan itu dengan cara terbaik. Ikut hukum alam. Di hutan atau di laut sekali pun, manusia masih kena ikut peraturan.

"Di pentas persembahan juga, kita kenal pentas, kenal masyarakat. Walau sehebat mana pun kita, tapi apabila kita ke Mekah misalnya, kita kena sujud di tempat yang sama," kata Ramli yang kemudiannya dipintas oleh Wak Khalid.

"Saya lihat perkara itu lebih kepada disiplin dan peraturan hidup. Peribahasa Melayu sendiri menyebut, masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Kita kena ikut tema. Macam hari ini, saya suka santai, tapi diminta pakai baju Melayu, saya kena akur," celah Wak.

Faham sisi diskusi dengan membaca gerak bibir dua sahabat, mahu lebih jelas, Pyan minta soalan yang sama ditulis atas buku catatan yang dikeluarkan dari beg sandangnya.

Ruang bercakap

Sebaik membuka mulut, lelaki berusia 54 tahun punya aura yang cukup besar. Seperti kata Ramli, daripada seorang kutu jalanan, dia baca puisi dengan keadaannya yang luar biasa. Pyan kemudian dikenali sebagai Osman Tikus, sebuah sejarah dan simbol.

Dia kemudian menjadi penyunting surat khabar sebelum berhenti demi meneruskan ruang berkarya ikut cara yang disukai. Insan-insan seni seperti Wak Khalid dan Pyan juga disifatkan Ramli sebagai spesies-spesies terakhir kerana lebih banyak mengalami kesusahan dalam hidup.

"Minta sikit ruang untuk bercakap, bila merdeka kena ruang untuk mengkritik. Saya cuma berkarya dan baca puisi tanpa dilihat sebagai pembangkang.

"Sejak dahulu lagi saya baca puisi, mengkritik apa sahaja tapi okey. Sekarang sahaja, kritik sikit, terus orang lihat kita sebagai pembangkang, tak semestinya.

"Saya boleh pergi kanan atau kiri, dahulu atau sekarang, saya masih orang yang sama. Tapi kalau orang tidak mahu panggil dan dengar puisi saya bagaimana mereka hendak tahu saya jenis yang hentam kerajaan atau tidak?


BUKAN hanya untuk sesi ini, tetapi restoran mamak di Selangor Mansion ini sering menjadi lokasi pertemuan jiwa dan bahasa ketiga-tiga seniman terkenal ini.


"Generasi baharu, budak-budak indie sebaliknya yang ada inisiatif hulur jemputan untuk saya. Dengar dulu, baru tahu. Lain-lain, saya setuju dengan pendapat Wak dan Ramli," lontar Pyan Habib.

Gema daripada lubuk jiwa Pyan banyak yang cuba diluahkan. Beroleh ruang sebegini juga satu penghormatan buatnya untuk masih dilihat relevan dengan arus damai dan kesejahteraan negara. Seorang penyair sepertinya ialah pemerhati yang tidak terikat oleh mana-mana kepentingan pihak lain.

"Saya berkarya dan baca puisi untuk beli beras," letusnya.

Menutup kembara dan keseniman daripada tiga jiwa ini, Wak Khalid sekali lagi membuat penyataan: "Kesenimanan dari kesedaran kemanusiaan itu perkara. Sempadannya ialah sedar ruang, sedar diri dan sedar Tuhan. Ada semua elemen yang saling berkait itu, selamatlah hidup tak kira dalam pengkaryaan apa pun."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: