Saturday, August 25, 2012

Mencari hidangan halal di Taiwan


PENGGEMAR hidangan ala Thai yang panas dan pedas boleh menikmatinya jika berkunjung ke Thai Food House.


MEMILIKI ratusan tempat pelancongan menarik, khazanah antik tertua dunia, monumen dan seni bina menawan serta budaya yang unik sudah cukup untuk membuka mata pelancong dunia ke Taiwan.

Ditambah dengan kedudukan muka buminya yang dikelilingi pulau-pulau indah, Taiwan seringkali menjadi buah mulut pengembara dunia sehingga kelasi Portugis pernah menggelarkan pulau utamanya, Formosa sebagai Ilha Formosa yang bermaksud Pulau Cantik.

Taiwan juga terkenal sebagai syurga gastronomi. Di negara kepulauan itu, pengunjung tidak perlu bimbang jika berdepan situasi perut 'berbunyi' kerana di mana-mana sahaja terdapat restoran, kedai mahupun gerai makanan yang beroperasi sehingga larut malam.

Kehadiran komuniti Islam sebagai kaum minoriti sejak berdekad-dekad lalu khususnya di beberapa bandar utama seperti Taipei, Taichung, Changhua dan Taoyuan, menyebabkan ia menjadi destinasi pilihan bukan sahaja untuk kaum Cina malah umat Islam dari seluruh dunia.

Hari ini dikatakan lebih 150,000 umat Islam bermastautin di Taiwan termasuk penduduk tempatan dan pekerja asing dari 30 negara termasuk Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Bangladesh, Nigeria dan Mali.

Faktor itu menyebabkan pelancong Muslim tidak perlu khuatir kerana banyak pilihan restoran halal menawarkan hidangan halal tempatan, ala Thai, India, Pakistan, Turki dan Indonesia.

Antara yang terkenal di Taipei ialah restoran yang dikendalikan seorang warga emas tempatan berusia 80-an bernama Yusuf Ai bersama keluarganya. Restoran tersebut menghidangkan mi daging paling berkualiti dan enak. Ia pernah dinobatkan sebagai antara 10 kedai mi daging terbaik di Taipei.


SEJAK dahulu lagi Taiwan sememangnya terkenal sebagai syurga gastronomi.


Restoran yang berusia hampir 50 tahun itu menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan dan pelancong asing tanpa mengira latar bangsa mahupun agama.

Masakan India

Bagi yang meminati masakan India Utara pula, mereka boleh mengunjungi Ali Baba Indian Kitchen, Aaleja Pakistani & Indian dan Sarena Indian & Pakistani Halal Restaurant. Menawarkan puluhan hidangan ayam, kambing, roti nan dan tandoori berasaskan rempah-ratus asli, pengunjung pasti berpuas hati.

Tiga restoran berkenaan dilabel sebagai yang terbaik boleh diperoleh di sekitar bandar raya Taipei.

Bagi penggemar hidangan ala Thai yang panas dan pedas, bolehlah berkunjung ke Thai Food House di Jalan Beining. Antara yang boleh dicuba ialah ikan masak lemon, udang bercili, ketam goreng kari yang dihasilkan oleh chef-chef berpengalaman dari selatan Thailand.

Restoran yang dimiliki etnik Cina yang berasal dari Thailand itu sememangnya cukup luas dan selesa khususnya bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan.

Jika mahu merasai selera dari Asia Barat pula, Turkish Islamic Fine Cuisine adalah jawapannya. Terletak di bandar Taichung yang terkenal dengan keunikan kebudayaan dan keseniannya, restoran itu menjadi satu-satunya restoran yang menawarkan hidangan ala Turki di Taiwan.

Di samping hidangan lazat dan menyelerakan, pengunjung juga boleh mencuci mata melihat dekorasi restoran yang indah dengan pelbagai artifak dan hiasan yang dibawa dari Istanbul.


KUNJUNGAN ke Taiwan tidak sah sekiranya tidak mencuba mi daging Yusuf Ai.


Siapa kata di Taiwan tidak ada sate? Cubalah berkunjung ke Warung Sate Muslim yang terletak di Jalan Jianjun, Kaohsiung.

Premis itu menjual aneka sate yang diperap dengan rempah-ratus asli di samping pelbagai makanan tradisional dari Indonesia.

Pasar malam

Pasar malam adalah perniagaan yang menjadi satu kemestian di setiap wilayah iaitu dari skala kecil sehingga besar dengan kesemuanya beroperasi setiap malam.

Antara pasar malam yang paling terkenal dan kini telah berkembang francaisnya di Malaysia iaitu Pasar Malam Shilin yang terletak di daerah Shilin di Taipei.

Bukan sahaja pengunjung mempunyai variasi pilihan makanan yang dijual peniaga-peniaga di situ, malah harganya juga murah dan berpatutan.

Biarpun semuanya tampak enak dan menyelerakan, pastikan anda bertanya terlebih dahulu kepada peniaga-peniaga untuk menentukan status halal barangan yang dijual.

Untuk kemudahan pelancong Islam, buku panduan berjudul Melancong di Taiwan untuk Muslim turut menyenaraikan sebilangan restoran yang memiliki sijil pengiktirafan halal.

Bagi sesiapa yang bercadang melancong atau mendapatkan maklumat mengenai makanan halal di Taiwan, boleh hubungi pejabat Taiwan Visitors Association Kuala Lumpur atau layari www.welcome2taiwan.net.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: