Monday, August 27, 2012

Mariatie lasak + feminin

JADUAL waktu wanita tinggi lampai ini cukup padat. Usai saja waktu kerja, dia terus bergegas menukar pakaian sukan dan beraksi sama ada di gelanggang futsal, bola jaring, lorong boling mahupun kolam renang.

Di hujung minggu pula, awal-awal pagi lagi dia sudah membakar lemak dengan berjoging di trek joging bersama rakan-rakan.

Cerita pemilik nama Mariatie Mohd. Noor, dia menjadikan sukan sebagai gaya hidupnya kerana mahukan pengisian yang sihat.

“Sukan ternyata baik untuk kesihatan. Dalam masa yang sama ia juga sebenarnya baik untuk kecantikan.

“Apabila kita berpeluh, segala toksin di dalam badan keluar melalui peluh lalu membuatkan wajah kita kembali segar.

“Memang bersukan memenatkan. Tetapi apabila sudah biasa dan dapat momentum, anda pasti seronok dan ketagih untuk berpeluh," ujarnya yang aktif bersukan mewakili pejabatnya.

Terangnya lagi, apa yang penting adalah penjagaan wajah sebelum dan selepas bersukan.

Krim penghadang matahari merupakan kawan baiknya bagi memastikan warna kulitnya kekal sekata di sebalik sinar matahari.

Dia turut menafikan wanita yang aktif bersukan hilang sifat femininnya.

“Apabila bersukan sememangnya kita akan nampak lasak. Namun selepas itu, saya juga seperti wanita lain, suka bergaya dan mengenakan solekan agar tampak ayu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: