Sunday, August 26, 2012

Jelajah Lembah Klang

JAMU SELERA...menikmati hidangan di samping Anzalna tidak menang tangan melayani Izara dan Saleha.
JAMU SELERA...menikmati hidangan di samping Anzalna tidak menang tangan melayani Izara dan Saleha.
MESRA...seronok apabila Syawal ini Anzalna, Saleha dan Izara dapat beraya bersama.
MESRA...seronok apabila Syawal ini Anzalna, Saleha dan Izara dapat beraya bersama.

MERIAH di Aidilfitri apabila dapat berkumpul dengan ahli keluarga mahupun saudara mara. Tambahan pula jika ibu atau ayah mempunyai keluarga besar seperti pelakon sedang mencipta nama, Siti Saleha Mohd Baharom (Saleha), Izara Aishah Hisham (Izara) dan Nur Anzalna Md Nasir (Anzalna).

Sewaktu ditemui pada sesi fotografi khas sempena sambutan Syawal bersama Selebriti, Saleha menjelaskan, rutinnya pada hari raya pertama, selepas selesai bersembahyang dan mengunjungi pusara, mereka akan menjelajah seluruh Lembah Klang untuk beraya bersama keluarga ayahnya yang mempunyai 14 adik-beradik.

Biasanya, rutin mengunjungi rumah saudara maranya mengambil masa empat hari untuk selesai, bermula di kawasan Klang kemudian ke Shah Alam hinggalah
ke Gombak.

Begitupun, rutin itu memang dinantikan pelakon ini yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Nora Elena setiap tahun, memandangkan berbulan-bulan tidak ketemu kerana masing-masing sibuk dengan tugas.

“Hari raya yang mula disambut Ahad lalu menjadi lebih bermakna buat kami sekeluarga apabila kakak sulung saya, Rosnah Tracy yang menetap dan bekerja di Britain bersama ibu, pulang beraya bersama kami.

“Kakak memang pulang setiap tahun tetapi selalunya pada Mac atau April, namun kali ini dia berpeluang cuti panjang dan menyambut Aidilfitri bersama,” katanya.

Jelas pelakon utama filem Pencinta ini, dia bercuti dua minggu sepanjang Aidilfitri ini sebelum memulakan penggambaran filem terbaru dan meneruskan tugas barunya sebagai duta jenama Palmolive.

“Pengumuman saya sebagai duta jenama Palmolive dibuat akhir Ramadan lalu dan saya sangat berbangga apabila dipilih. Mana tidaknya, jenama mandian badan itu wujud hampir 200 tahun dan namanya semakin kukuh serta menjadi pilihan pengguna,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai tugas barunya, kata Saleha, dia juga berasa bangga kerana menjadi satu-satunya selebriti tempatan yang dipilih untuk mewakili jenama besar itu.

“Saya terkejut apabila diberitahu pihak pengurusan Palmolive. Saya sangka Sheila Majid orang pertama, rupa-rupanya telahan saya silap. Sheila mewakili jenama mandian lain. Jadi sudah tentu ia saya anggap satu penghormatan dan ini pencapaian terbaik dalam kerjaya saya sebagai model dan wakil jenama barangan ternama,” katanya.

Kata Saleha, kontrak selama setahun itu juga punya harga yang harus dibayar, iaitu memastikan namanya bersih daripada kontroversi.

“Saya dengar juga cerita, pemilihan dilakukan dengan teliti. Hendak jadi cerita, pada waktu sama, tersebar pula cerita mengenai hubungan saya bersama Adney (penjaga gol pasukan Sabah) dan berpakaian seksi.

“Seperti yang umum tahu, saya tidak pernah dan tidak suka isu berkaitan peribadi digembar-gemburkan. Namun sebagai selebriti, perkara itu ada ketika tidak boleh dielak.

“Ramai menghubungi saya untuk meminta penjelasan mengenai perkara itu, tetapi saya enggan melayaninya kerana menganggap ia hanya gosip biasa.

“Masalahnya, semakin didiam­kan, semakin merebak pula ceritanya. Mahu atau tidak, saya harus tampil dan itu juga saranan pihak pengurusan saya.

“Alhamdulillah, wakil Pamolive faham dan gosip terbabit tidak mempengaruhi keputusan dibuat mereka,” katanya.

Selain Palmolive, kontraknya bersama Enchanteur turut disambung dan bakal sibuk dengan tugas mempromosikan wangian baru yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.


Izara masih dapat duit raya

SAMBUTAN hari raya Izara pula berbeza pada tahun ini apabila mengikut bapanya beraya di Taiping, Perak pada 1 Syawal lalu. Ia lari daripada kebiasaan apabila setiap tahun sebelum ini pelakon yang popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat itu pulang beraya di Johor Bahru, Johor.

Katanya, walaupun ibunya berasal dari Pulau Pinang, tetapi sejak datuknya membina empayar perniagaan di negeri selatan tanah air itu, menjadi rutin semua keluarga berkumpul di sana apabila setiap kali tiba hari raya.

“Saya dibesarkan di sana bersama sepupu lain. Apabila tiba Syawal, suasana sangat seronok dan meriah. Tambahan pula, saya masih diberi duit raya sampai sekarang walaupun kini bergelar model dan pelakon.

“Bayangkan duit raya pula akan diberikan kepada saya mengikut perkembangan usia. Sepatutnya kalau dalam usia sekarang, kalau ada yang memberikan duit raya tidaklah banyak, tetapi berbeza dengan saya jumlahnya kadang­kala lebih daripada adik atau sepupu lain yang masih kecil,” katanya.

Kata Izara, perkara itu berlaku kerana mengikut usia berbanding sepupunya yang membesar bersama, dia paling muda dan kebanyakan pak cik dan mak ciknya masih menganggap Izara anak kecil walaupun di bawahnya ada yang lebih kecil dan muda.

“Saya memang dimanjakan mereka. Mungkin disebabkan itu saya masih mendapat duit raya hinggalah sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, tahun ini keluarganya memilih untuk beraya di Taiping kerana kebanyakan ahli keluarga mahupun sepupunya sudah berkahwin dan mereka memilih untuk berhari raya bersama keluarga mentua terlebih dulu.

Bermula minggu depan, baru mereka bersama dan saling me­ngunjungi antara satu sama lain.

Izara juga mengambil peluang sempena sambutan Aidilfitri ini untuk bercuti dua minggu selepas bekerja tanpa henti Ramadan lalu.

“Habis cuti, saya akan terus memulakan penggambaran filem Putra, terbitan produksi baru Element Pictures. Dalam filem itu, saya akan berganding dengan Beto Khusyairi. Turut membintangi filem ini Fauziah Datuk Ahmad Daud.

“Sebab utama saya menerima tawaran membintangi filem ini kerana jalan ceritanya bagus dan digandingkan dengan pelakon hebat.

“Ini peluang saya untuk menimba pengalaman daripada mereka, apatah lagi Ogy diberikan tugas menjadi tenaga pengajar untuk kami mengenal karakter,” katanya.

Izara mengakui sebelum ini ba­nyak tawaran filem diterima, tetapi dia agak memilih, terutama dalam memastikan cerita ditampilkan kuat dan mampu memberi impak kepada penonton.

Sebagai pelakon, elemen itu penting kerana ia boleh mempengaruhi kerjayanya. Andai jalan cerita tidak kuat, ia boleh memberi kesan kepada kerjaya seninya pada masa akan datang.


Anzalna tidak mahu kontroversi lagi

SAMBUTAN Syawal buat pelakon jelita yang semakin menjadi sebutan, Anzalna tidak kurang meriahnya apabila dapat beraya bersama keluarga sebelah bapa­nya di Muar, Johor yang mempunyai tujuh adik-beradik.

“Pada 1 Syawal lalu, saya beraya bersama keluarga ayah terlebih dulu sebelum pulang ke Pulau Pinang di kampung ibu. Memang hendak diikutkan keluarga ibu tidak besar iaitu tiga orang, tetapi kalau dikira dengan adik-beradik tiri, jumlahnya sama dengan keluarga bapa. Jadi secara tidak langsung sambutannya meriah,” katanya.

Anzalna yang pernah menetap di Australia mengikut bapanya melanjutkan pelajaran sana selama lima tahun menjelaskan, pastinya sambutan Syawal di tanah air jauh lebih meriah dan peluang bertemu sanak saudara memang ditunggu-tunggu.

“Ketika menetap di sana, dua tahun kami tidak pulang beraya di sini, namun pada tahun ketiga rezeki datang dan ia menjadi sambutan Aidilfitri yang sangat bermakna buat kami sekeluarga,” katanya.

Menariknya Syawal tahun ini, ia menjadi titik genap setahun pembabitan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Ramadan Terakhir sebagai pelakon.

Dalam tempoh itu, pelbagai pahit manis dirasai. Paling diperkatakan ialah hubungan tegangnya dengan pelakon, Nee­lofa berikutan kenyataan diberikan dan disiarkan di akhbar.

Menilai kembali apa yang berlaku, Anzalna menjelaskan, tidak dinafikan perkara itu memperkenalkan dirinya kepada umum.

Begitupun, dia berasa kurang selesa, apatah lagi sebelum melangkah kaki di dalam industri hiburan tempatan, dia bertekad tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi.

“Perkara sudah berlaku dan ia tidak boleh dielak. Saya malu apabila ada orang kenal saya kerana kontroversi itu. Sebagai anak seni, saya tidak mahu orang kenal saya kerana itu, sebaliknya mengharapkan bakat saya lebih diberi perhatian,” katanya.

Peluang untuk membersihkan namanya, sekali gus membina nama sebagai pelakon berbakat, datang apabila diberi ruang oleh penerbit Pena Creative, Ziela Jalil dan pengarah Michael Ang untuk memegang peranan utama dalam drama bersiri Sirrun yang kini ditayangkan di TV9.

“Saya bertuah dapat bekerja dengan mereka yang hebat dalam drama itu, termasuk Zarina kerana banyak perkara yang saya belajar daripada mereka. Selain itu, saya berasa lega apabila rata-rata memberikan maklum balas positif terhadap drama terbabit.

“Apabila ramai memuji, saya menganggap ia membuka ruang kepada saya untuk membersih­kan kembali nama, sekali gus membuka mata ramai pihak bahawa saya berbakat dalam dunia lakonan.

“Sekarang ini orang tidak lagi mengaitkan nama saya dengan kontroversi, sebaliknya menyebut drama Sirrun. Syukur sepanjang setahun ini usaha saya menampakkan hasil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: