BAHASA tubuh mereka bagai membicarakan cinta membuatkan mata yang memandang sangsi, tidak percaya hubungan yang berlanjutan hampir setahun itu hanya berlandaskan persahabatan.
Terlalu peribadi barangkali untuk berkongsi rahsia hati kepada umum, kerana keterbukaan bercerita ada kalanya memakan diri sendiri. Yang pasti baik Nabila Huda Suhaimi (Abil), 28, mahupun Johan Arrif As’ari, 26, mereka saling sayang menyayangi dan rasa itu tidak pernah disangkal kedua-dua pelakon berbakat besar itu.
Betapa akrabnya mereka, Johan sedikitpun enggan bereng�gang apatah lagi berjauhan apabila memohon untuk meraikan Aidilfitri bersama sahabat mesra disapa Abil oleh mereka yang terdekat.
“Johan mahu beraya dengan Abil, tetapi dia sudah berjanji dengan keluarganya untuk pulang ke Pulau Pinang. Dia bimbang Abil sunyi di sini. Begitulah Johan, sangat mengambil berat dan prihatin sehinggakan hari raya pun dia masih hendak fikirkan hal Abil ini.“Cinta? Beginilah, Abil dan Johan lebih senang ‘go with the flow’ dalam melalui persahabatan ini. Perasaan sayang sangat itu memang ada, Abil tak nafikan.
“Tapi kalau bercinta, baik Abil mahupun Johan kami tidak pernah ‘umumkan’ kerana bimbang perjalanan kami sebagai kawan, kemudian menjadi sahabat baik akan terjejas apabila kami mula mempunyai perasaan yang lebih daripada itu.
“Kadang-kadang ada orang baru kenal sudah mengaku bercinta. Abil kalau boleh tidak mahu begitu, tambahan pula Abil baru lepas bercerai, Abil sendiri takut akan komitmen. Abil berterima kasih kepada Johan kerana menjadi sahabat yang mengasihi Abil, terima baik buruk Abil. Abil juga, sudah faham sangat diri Johan.
“Cuma Abil ini agak misteri orangnya. Tak semua lelaki boleh menerima pemikiran Abil. Abil seorang yang sangat terbuka, ‘sporting’ dan ada kala orang lelaki sukar faham.
“Keterbukaan Abil itulah yang membuatkan Abil tiada sefahaman dalam perkahwinan lepas. Bukanlah maksud terbuka pada benda-benda yang tidak baik, sebaliknya Abil suka lelaki yang santai dan tidak mengongkong,” katanya.
Pulang beraya ke Klang bersama permaisuri hatinya, Keisha Laila, 2 tahun 3 bulan, untuk meraikan Aidilfitri dengan ibu tercinta, pada malam lebaran lalu Abil bergegas pula ke Johor Bahru, untuk menemui neneknya.
Belum memutuskan berapa lama, dia bagaimanapun harus pulang ke Kuala Lumpur pada 23 Ogos kerana keesokan harinya mahu berangkat ke Kenya selama 10 hari. Pemergian Nabila seorang diri ke negara itu luar daripada urusan kerja sebaliknya memenuhi hobinya yang gemar melancong juga sebagai ganjaran untuk diri sendiri sesudah lelah bekerja.
Mengapa negara pilihannya bukan Eropah? Sememangnya wanita berstatus ibu tunggal itu seorang yang unik dan gemar menimba pengalaman di negara yang eksotik.
“Sebelum ini Abil pernah melancong ke London, Paris dan Jepun, jadi Eropah memang bukan dalam senarai percutian Abil. Cadangnya, hendak ke India tetapi cuaca di sana hujan. Selepas ‘Google’ di internet, Abil dapati Kenya sangat menarik.
“Abil hendak menyelami kehidupan penduduk di sana yang didiami ramai golongan miskin. Dalam kekurangan itu, Abil hendak meneroka pula keunikan negara berkenaan sehingga ia menjadi tumpuan dunia. Selama 10 hari di sana, Abil sebenarnya tidak sabar-sabar untuk ke Blue Safari, terletak di Afrika Selatan untuk merasai pengalaman tidur di khemah sambil waktu siangnya dapat merakamkan foto binatang liar dari kawasan khemah.
“Aktiviti paling Abil tidak mahu terlepas semestinya ‘diving’. Sudah banyak pulau di negara (Malaysia) ini Abil kunjungi, kali ini hendak merasa pula menyelam di pulau indah negara orang.
“Kesempatan ini Abil hendak berterima kasih kepada rakan artis, Ayul, kerana meminjamkan Abil set kamera lengkap yang boleh diguna di darat dan dalam air. Insya-Allah, segala imej yang dirakamkan nanti Abil bercadang untuk membuat buku travelogue, tetapi itu sekadar perancangan saja,” katanya.
Beralih perbualan kepada Johan, Aidilfitri tahun ini banyak masanya dihabiskan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, untuk meraikan hari bahagia itu bersama neneknya yang dirawat ekoran mengidap penyakit barah.
“Kami sekeluarga pulang beraya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tahun ini kami akan menghabiskan banyak masa di Hospital Seberang Jaya kerana nenek (sebelah ibu) dirawat di situ. Dia mengidap barah peringkat 4 dan usianya 83 tahun.
“Sama ada raya kelima atau keenam baru kami sekeluarga pulang semula ke Kuala Lumpur. Saya ingatkan sekembalinya dari kampung boleh beraya dengan Abil, tetapi dia pula berangkat ke Kenya.
“Kalau boleh saya tidak mahu mengganggu dia bersama famili, jadi saya putuskan untuk bersama-sama menyambut lebaran sesudah Abil pulang nanti,” katanya.
Memerhati cara Johan yang begitu ‘penyayang’ pada Nabila, seperti menjelaskan bahawa hubungan mereka itu lebih daripada seorang sahabat. Namun, sengaja penulis membiarkan mereka dengan rela hati membuat pengakuan.
Sampai sudah rahsia hati mereka terkunci rapi, walaupun kenyataan Johan menyusuli coretan selepas ini sudah cukup untuk menjawab teka-teka.
“Saya tidak pernah berahsia, tetapi saya tidak mahu membicarakan sesuatu yang tidak pasti kerana saya belum melamar Nabila. Saya lebih suka perasaan itu datang dengan sendiri. Bagi saya cinta itu sangat agung.
“Cinta di mana penyatuan dua hati menjadi satu. Dua hati hendak disatukan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Justeru, manusia harus melalui proses di mana keserasian antara pasangan harus dipupuk, belajar terima kekurangan masing-masing.
“Andai kita dapat menerima buruk dan baik pasangan kita begitu juga sebaliknya, memahami sifat dan sikap pasangan dengan begitu arif barulah hubungan akan berjalan tanpa sebarang masalah. Apa yang boleh saya katakan untuk persahabatan yang baru berjalan hampir setahun ini, kami dalam proses mengenal hati budi.
“Saya hanya manusia biasa namun saya berharap jika saya sudah bersedia melangkah ke satu perhubungan yang serius, saya dapat pertahan masjid yang dibina selamanya, sekali seumur hidup.
“Dalam hadis ada menyebut, berkahwin ini seperti kita membina masjid. Hidup berkeluarga boleh memberi kedamaian dan ketenangan, namun kita haruslah mempersiapkan diri terlebih dulu untuk mengemudi rumah tangga yang bahagia kerana tanggungjawab seorang lelaki sebagai suami sangat besar,” katanya.
Tanpa berselindung, perasaan sayangnya buat Abil dikongsi bersama ibu tercinta, Datin Firdaus Kader. Hanya satu pesan ibunya, jika sayangkan Abil, dia haruslah fokus pada kerjayanya yang baru bermula.
“Ibu minta saya fokus pada kerjaya jika sayangkan Abil. Saya faham sangat maksud tersiratnya itu. Mendalami kata-kata ibu, dia berpesan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin, lelaki perlu menstabilkan kerjayanya terlebih dulu serta mental bagi menjadi pemimpin yang baik.
“Namun, andai jodoh datang dulu, saya tidak menolak kerana saya percaya ada orang lebih berjaya selepas berkahwin,” katanya akan memasuki set penggambaran filem Naga terbitan Tayangan Unggul, Ayahanda (KRU Motion Pictures) dan sebuah lagi filem belum berjudul arahan Ahmad Idham.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: