![]() |
| |
BIBIR mongel dan sikapnya yang cemerkap cepat menangkap pandangan setiap mata yang mengikuti siri drama terbaharu, Jane By Design.
Nama Erica Dasher sekarang sinonim dengan karakter bergaya Jane Quimby, seorang pelajar yang sanggup menipu usianya demi menjadi eksekutif fesyen.
Erica, nama baharu yang sedang mekar ini baru berusia 24 tahun. Dia bermula dengan drama bersiri The Lake. Bukan hanya beraksi di hadapan kamera, dia juga bergelar penerbit.
Dia dan sahabatnya, Sami Kriegstein menubuhkan syarikat yang dinamakan Not Just Bodies pada tahun 2007. Setahun kemudian, Erica menjadi pembantu penerbit untuk filem Reservations.
Siri Jane By Design yang disiarkan di saluran HBO (411) pada setiap hari Ahad pukul 8.55 malam, kini menjadi antara siri digemari ramai. Lantas, Erica berkongsi rasa hati terhadap situasi ini.
“Ia bagus dan saya masih boleh berjalan tempat awam. Saya sangat teruja melihat sokongan yang diberikan melalui laman Twitter dan Facebook,” katanya.
Melalui siri ini, Erica semakin diterima industri fesyen yang glamor itu. Katanya, dia melakukan penyelidikan khusus bagi menonjolkan kredibiliti watak Jane.
“Ya, saya buat kajian. Selama ini saya hanya bekerja sebagai pembantu pengarah tetapi drama ini menampilkan perbezaan dalam beberapa aspek.
“Pereka fesyen kami iaitu Olovia Miles-Payne adalah genius. Dia yang memberi pendedahan kepada saya tentang fesyen orang muda.
“Industri fesyen bergerak dengan pantas. Kini, ramai yang ‘hidup’ dengan dunia online. Kita perlu bijak mengikuti perkembangan fesyen.
“Saya juga banyak mendengar nasihat Andie kerana dia membesar dengan fesyen,” luahnya yang begitu mengagumi Andie MacDowell, sang aktres yang turut berlakon dalam siri ini.
Siri Jane By Design memberi impak yang bukan sedikit kepada Erica.
“Saya memang sukakan fesyen. Siri ini memberi kesan kepada gaya peribadi saya. Fesyen merupakan satu bentuk kreativiti dan ekspresi diri.
“Saya juga pergi menyaksikan pertunjukan fesyen kerana ia salah satu cara untuk saya mengetahui trend terbaru,” ujarnya.
Menyentuh sedikit tentang karakternya sebagai Jane, Erica menganggap watak itu sangat asli dan tulus.
“Jane cuma menipu tentang umurnya dalam siri tersebut,” terangnya mengenai Jane Quimby, seorang pelajar sekolah menengah yang bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pereka fesyen bernama Gray.
Akhir bicara, Erica memberi tip berkaitan bajet fesyen. “Saya sukakan perbelanjaan vintaj. Saya tidak berbelanja banyak untuk baju. Kebetulan, rumah saya berdekatan dengan sebuah kedai vintaj.
“Tip untuk mereka yang mahu membeli barangan berjenama tetapi tidak mampu ialah dengan mendapatkannya di kedai vintaj. Ada banyak jenama mahal di sana,” ceritanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: