SUDAH puas Pengasas dan Pengerusi Yayasan Inovasi dan Keusahawanan Global (GIEF) ini berkecimpung dalam bidang inovasi, dia kini beralih kepada usaha memelihara kehijauan alam sekitar pula.
Cerita Datuk Ghazi Sheikh Ramli, hijau itu luas dan dia memilih buluh untuk diterapkan dalam perjuangannya sejak tiga tahun lalu.
Bila menyebut tentang buluh, selalunya hanya beberapa produk yang bermain dalam fikiran seperti bahan kraftangan dan lemang sedangkan pelbagai lagi yang boleh dicipta daripada spesies rumput itu.
Di Barat, penghargaan serta inovasi mereka berasaskan buluh sudah jauh ke hadapan walaupun bahan itu sukar didapati berbanding negara-negara di Asia.
Ujarnya, atas sebab itu jugalah dia mula mengumpul pelbagai barangan yang diperbuat daripada buluh bagi memberi kesedaran tentang potensi buluh berasaskan kekreatifan dan inovasi.
Setiap apa yang kita lakukan perlu ada erti, kepuasan serta manfaat kepada semua dan sebagai individu, kita juga perlu ada tanggungjawab sosial terhadap alam.
Saya memilih buluh bagi mempromosi gaya hidup hijau untuk negara kerana pelbagai barangan sebenarnya boleh dicipta daripada buluh selain yang biasa kita lihat.
Bagi saya, koleksi barangan daripada buluh milik saya ini sedikit sebanyak dapat memberi ilham serta berkongsi ilmu supaya orang lain boleh memanfaatkan malah menaik taraf ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara umum.
Apa yang kita boleh lakukan, menumpukan kepada gaya hidup hijau kerana penduduk di dunia semakin padat dan alam sekitar kita mula tercemar akibat karbon dioksida," ujar bekas Senator ini.
Siapa sangka daripada buluh, pelbagai barangan harian dapat dihasilkan seperti sarung iPad, iPhone, komputer riba, kalkulator, tetikus dan bekas pemanas air melihatkan simpanan koleksi kesayangannya itu.
Kebanyakan produk yang dimilikinya itu dibeli dari luar negara dan Ghazi yakin penduduk tempatan juga mampu mencipta barangan sedemikian asalkan diberi bimbingan yang betul.
Koleksi kesayangannya sebuah gambus prototaip yang ditempah khas dari Sabah memandangkan dia juga amat gemar bermain alat muzik tradisional itu.
Saya berharap kerajaan dapat menjadikan buluh sebagai bahan ikonik untuk perubahan yang dapat memberi faedah kepada seluruh Malaysia," ujarnya yang sebelum ini pernah menganjurkan pertandingan mencipta kereta hibrid daripada buluh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: