Ismail Mohd Ali
Presiden Peminat Kucing Malaysia, Ismail Mohd Ali

Kekejaman terhadap kucing bukan sahaja ketika memakan dagingnya, tetapi fikirkan bagaimana ketika membunuh binatang comel itu sebelum dijadikan hidangan atas meja.

Presiden Peminat Kucing Malaysia, Ismail Mohd Ali berkata, perbuatan segelintir manusia dipercayai warga asing yang memakan kucing adalah perbuatan sangat tidak berperikemanusiaan kerana haiwan tersebut perlu melalui tragedi pembunuhan yang cukup tragis sebelum dijadikan hidangan lazat.

“Cuba fikirkan bagaimana mereka yang memakan kucing itu perlu membunuhnya terlebih dahulu. Saya percaya mereka menangkap haiwan itu dan kemudian mematikannya sama ada dipukul dengan teruk atau apa cara pembunuhan sekalipun.

“Tentunya cara kematian kucing itu sangat ngeri dan pembunuhannya sangat kejam. Inilah yang kita kecam,” ujar Ismail yang mempunyai kedai kucing di Shah Alam.

Ketika wartawan Bicara Isnin berkunjung ke kedainya tempoh hari, Ismail sedang menyediakan ayam mentah untuk kira-kira 100 kucing yang dimilikinya.

“Kita jaga kucing bukan untuk dimakan. Haiwan ini untuk disayangi kerana ia membantu kita mengurangkan tekanan hidup.

“Tetapi nampaknya kehadiran warga asing di negara ini telah menimbulkan satu budaya baru yang lama kelamaan boleh menjadi kebimbangan masyarakat. Kita khuatir jika amalan memakan kucing berleluasa di kalangan peminat makanan eksotik.

“Nampak seperti remeh, tetapi kita perlu ingat bahawa ini membawa bahaya kepada keselamatan kucing domestik. Begitu juga perasaan pemilik kucing yang melepaskan kucing mereka, namun kemudian hilang, dan hakikatnya jadi hidangan lazat di atas meja warga asing. Keadaan ini sungguh kasihan,” katanya sambil tangannya ligat membersihkan ketulan peha ayam.

Katanya, warga asing seperti Myanmar dan Vietnam dikatakan paling gemar memakan kucing dan perlu kita fikirkan bahawa warga asing di negara ini semakin ramai.

“Sedarkah kita amalan itu seperti menjadi wabak yang menular di kalangan warga asing. Bayangkan mereka tinggal di negara ini dan memakan makanan eksotik yang enak secara percuma dengan menangkap serta mencuri kucing-kucing kita.

“Ini yang membimbangkan peminat-peminat kucing kerana kita takut budaya ini meluas dan akhirnya menjadikan kucing sebagai hidangan kegemaran selain anjing.

“Berdasarkan omongan orang, daging kucing juga sesedap daging arnab. Dagingnya kenyal dan lazat dimasak kari, rendang dan sambal. Semakin orang tahu rasa daging kucing, semakin ramai penggemar yang mahu memakannya,” ujarnya yang banyak mendapat pengetahuan tentang haiwan itu menerusi Internet.

Katanya, sedangkan dalam keadaan negara yang makmur dan mempunyai banyak makanan untuk santapan, tidak semena-mena hadir amalan yang seolah-olah mengheret masyarakat ke dalam kancah budaya memakan haiwan yang jika difikirkan tidak tergamak dimakan berdasarkan sifat dan keadaan tubuh haiwan itu.

Bahkan ujarnya, amalan warga asing itu sedikit demi sedikit membangunkan budaya kurang ajar kerana perbuatan menangkap kucing yang mungkin ada pemiliknya boleh kita anggap mencuri.

“Bayangkan sekiranya amalan memakan kucing terus berleluasa dan jadi amalan kebiasaan? Dibimbangi kucing domestik akan mudah pupus. Apabila yang berkeliaran sudah habis, bagaimana pula nasib kucing kita di rumah?.

“Saya mewakili peminat-peminat kucing yang lain membantah terhadap penggemar daging kucing. Mengapa kucing yang hendak dimakan, hanya orang kejam sahaja yang tergamak meratah daging haiwan sejinak itu,” tegasnya.

Dengan itu beliau berpesan, supaya pemilik kucing berhati-hati sekiranya tidak mahu kucing kesayangan menjadi hidangan di atas meja.

“Saya nasihatkan pemilik kucing supaya meletakkan kucing di tempat selamat. Bukan sahaja untuk penjagaan, tetapi juga bagi mengelakkan sebarang kekejaman serta kucing anda menjadi santapan si penggemar daging kucing,” akhiri beliau.