Tuesday, August 28, 2012

Bapa tekad tinggalkan 3 anak


NURUL SAFIZA (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan (tengah) dan Nur Masyita Amiera di rumah mereka di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: