Monday, August 27, 2012

Atur kerjaya seni

MESRA...bersahabat baik selepas digandingkan dalam Friday I’m In Love.
MESRA...bersahabat baik selepas digandingkan dalam Friday I’m In Love.

JADUAL penggambaran bagi pelakon memang tidak mengenal masa. Biarpun berada pada bulan Ramadan, mereka juga tidak terlepas daripada sebarang projek. Semestinya cabaran melaksanakan tanggungjawab itu lebih besar, apatah lagi penggambaran tidak mengenal panas terik dan diadakan dalam jangka masa yang panjang.

Bagi dua pelakon berbakat yang pernah bergandingan dalam siri hit, Friday I’m In Love di TV9, Ryzal Jaafar, 30, dan Bella Dally, 21, memilih untuk tidak menerima tawaran sepanjang bulan puasa tahun ini.

  • Foto

    RYZAL...lebihkan beramal pada tahun ini.

  • Foto

    BELLA...puas dengan tahap yang dicapainya sekarang.

Bertemu dua sahabat baik ini dalam satu sesi fotografi sempena lebaran, baru-baru ini, ternyata kedua-duanya gembira dengan keputusan yang diambil.

Bagi mereka, bulan puasa adalah masa terbaik untuk berehat daripada bebanan kerja di samping membuat persiapan sebelum menyambut lebaran.


Sudah dikira agak lama dalam industri lakonan, di samping ingin berehat, Ryzal mengakui inilah masa yang ditunggu-tunggu selama bertahun-tahun kerana kerap terbabit dalam penggambaran.


“Sejak menceburi bidang seni, sebenarnya inilah kali pertama saya menolak sebarang tawaran sepanjang bulan puasa. Bukan tiada tawaran, tetapi ini kemahuan saya sendiri untuk mengurangkan bebanan di samping ingin beramal lebih pada bulan mulia ini.

“Namun tidak bermaksud saya cuma goyang kaki saja di rumah kerana hampir setiap hari ada saja undangan untuk berbuka puasa terutama membabitkan anak yatim. Asal saja masa mengizinkan, saya tidak teragak-agak untuk memenuhi jemputan itu kerana saya terfikir bila lagi hendak meluangkan masa bersama mereka.

“Saya sedar, sudah tiba masanya untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan dengan cara ini saya temui kepuasan. Tidak sangka, bertemu dan menyelami hati insan kurang bertuah ini menjadi satu pengalaman yang cukup membuatkan saya lebih sedar mengenai kehidupan mereka,” katanya.

Merancang untuk kembali ke set penggambaran seminggu selepas raya, Ryzal bakal menggalas satu lagi watak yang pastinya tidak kurang mencabar untuk sebuah telemovie nanti.

“Bagaimanapun, saya belum lagi mendapat butiran mengenai pelakon lain yang bakal bergandingan dengan saya dalam telemovie berkenaan. Judulnya pun masih lagi dalam perbincangan, tetapi saya akui agak mencabar juga watak diberikan itu.

“Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak sebagai seorang suami, tetapi kali ini karakternya berbeza kerana saya perlu menjadi lelaki psiko. Gementar rasanya kerana untuk mencipta karakter itu bukan senang, apatah lagi saya perlu membuatkan penonton merasai sendiri tahap ‘psiko’ saya nanti,” kata pemegang watak Adam dalam siri Naziha di TV3 itu.

Ryzal juga menyambut raya bersama keluarganya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

“Bercerita mengenai raya tahun ini, tiada apa yang berbeza, namun sudah pastilah rasa teruja itu tetap meluap-luap maklumlah inilah masanya berjumpa sanak saudara. Sebagai anak sulung, saya juga kena mempersiapkan banyak perkara dengan dibantu ibu.

“Saya memang jenis yang mengutamakan keluarga dalam banyak hal dan untuk raya saja, sampai barang untuk diri sendiri terlupa beli kerana sibuk membelikan pakaian baru buat adik serta peralatan rumah,” katanya.

Tidak ketinggalan sempena lebaran kali ini, beberapa telemovie raya lakonannya ditayangkan termasuklah Hantu Susu 2 di Astro, Sejadah Dari Makkah (TV3) dan Meriahnya Raya (RTM).

Bagi pelakon jelita ini pula, dia bertindak menukar nama komersialnya daripada Nabilah kepada Bella Dally awal tahun ini sebagai penjenamaan semula dirinya.
Impak daripada itu, bagaikan ada hikmahnya, tawaran berlakon cukup banyak diterimanya sepanjang tahun ini.

Semakin popular dengan siri drama terbarunya, Miss Octopus di TV3 yang mendapat sambutan baik penonton, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu kini mengorak langkah demi memperkukuhkan lagi namanya di persada lakonan.

“Saya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus hingga saya terpaksa berehat seketika dalam bidang lakonan pada Ramadan lalu.

“Tetapi selepas berakhirnya raya, saya terus ke lokasi kerana ada penggambaran yang sudah sedia menanti,” katanya.

Sudah berada dalam industri selama tiga tahun sejak menyertai program realiti Pilih Kasih (PK) musim pertama, Bella mengakui, memang sukar untuk mengukir nama dalam bidang ini, apatah lagi dia bermula sebagai seorang yang langsung tidak ada asas dalam lakonan.

Namun, kesukaran itulah yang membuatkannya terus percaya walau dalam bidang apapun, usaha mesti didahulukan. Biarlah apa orang cakap mengenai kekurangan dirinya, itu baginya lumrah.

“Keputusan untuk menyertai program PK dulu pun hanyalah sekadar mencuba nasib.
Tidak pernah pula saya membayangkan akan sampai ke tahap ini dan nampaknya usaha setakat ini membuahkan hasil.

“Bagi saya, apa yang penting, kita kenalah mengikut rentak dan perkembangan industri di samping sentiasa memperbaiki segala kelemahan. Dari situ, barulah sedikit sebanyak orang akan mula menyedari kebolehan serta kesungguhan kita untuk berada terus dalam industri ini,” katanya.

Tidak terkecuali mengimpikan untuk berlakon filem pula, Bella yang sudah membuat kemunculan dalam filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2 berharap akan ditawarkan watak utama suatu hari nanti.

Ditanya sama ada dia sudah yakin untuk melakonkan watak utama dalam filem, dia berfikir sejenak sebelum mengangguk.

“Tiada apa yang mustahil sekiranya seorang pelakon itu sentiasa percaya pada
dirinya sendiri. Memanglah berlakon filem lebih susah berbanding drama, namun
jika diberikan peluang, masa itulah saya kena tunjukkan sesuatu.

“Saya seorang yang sentiasa optimis dan berfikiran positif. Jadi untuk diberikan watak yang lebih berat dalam filem, saya tidak gentar untuk menggalas apa jua peranan,” katanya.

Mengamalkan sikap bersederhana setiap kali berhari raya, Bella belum ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran pada tahun ini.

“Selalunya, sambutan hari raya kami di Sabah biasa saja. Tiada apa yang istimewa dan persediaan pun tidaklah besar-besaran. Kami sekeluarga memang sudah terbiasa dengan cara sebegini.

“Apa yang penting, bertemu saudara-mara. Saya paling suka apabila ramai yang datang bertandang terutama sekali rakan lama. Memang meriah seisi rumah pada waktu itu dan saya juga tidak ketinggalan untuk bertandang ke rumah yang lain pula,” katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: